Sunday, March 24, 2013

Seorang Kanak-Kanak Perempuan Maut Terkena Bilah Helikopter Kawalan Jauh

Iklan perasmian padang bola sepak sintetik yang menunjukkan Mohamad Hasan mengelecek bola

    SEREMBAN - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas terkena kipas helikopter kawalan jauh ketika menyaksikan majlis perasmian padang bola sepak sintetik di Kompleks Belia dan Paroi di sini, kira-kira jam 9.55 malam pada 20 Mac 2013 baru-baru ini. Nurdamia Husnina Banee Yamin meninggal sejurus tiba untuk rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban. Alat mainan itu turut mengenai bapanya Banee Yamin Idris, 35, di kepala dan dia turut menerima rawatan di hospital yang sama.

Inilah helikopter kawalan jauh yang menjunam dan menyebabkan kematian Nurdamia.
Kelihatan kain rentang yang masih terikat yang menyatakan “We Love MB”

     Dalam kejadian tersebut, bayi terbabit dikatakan sedang tidur nyenyak di bahu bapanya yang berdiri tidak jauh dari pentas utama ketika majlis perasmian padang rumput tiruan jenis ‘field turf’ bernilai RM2.5 juta yang disempurnakan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah serta diiringi Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan. Sebuah helikopter kawalan jauh diterbangkan sebagai sebahagian daripada gimik pelancaran, malangnya pengendali peralatan itu hilang kawalan menyebabkan ia jatuh menimpa penonton.

    Keseluruhan saf kepimpinan Pakatan Rakyat NS mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan sebahagian besar pemimpin PR turut hadir semasa jenazah adik Nurdamia Husnina Banee Yamin disolatkan. Di antara yang hadir di rumah keluarga mangsa ialah Dr. Mohamad Rafie Abdul Malek – Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan, YB Mohd Taufek Abdul Ghani – Pesuruhjaya PAS NS yang merupakan ADUN Paroi, YB Aminuddin Haron – ADUN Sikamat dan Ustaz Norazman Mohamad – Ketua Penerangan PAS NS.

Selepas Solat jenazah untuk Adik Nurdamia Husnina Banee Yamin
Dari kiri  –YB Taufek dan Dr. Rafie

    Keghairahan pemimpin-pemimpin BN mengadakan pelbagai program untuk menarik orang ramai hadir seperti perasmian padang bola sintetik ini menjelang PRU13 amat mengecewakan kerana diragui tujuannya lebih bersifat politik kerana ia disertakan dengan hiburan artis. Lebih malang lagi, kita dimaklumkan bahawa program hiburan ini diteruskan walaupun setelah berlaku kemalangan yang menyebabkan kematian kepada adik kecil ini dan mencederakan bapanya.

    Aksi gimik helicopter kawalan jauh tanpa menghiraukan aspek keselamatan penonton amat tidak wajar berlaku didalam program awam seperti ini. Apatah lagi helicopter berkenaan hanya membawa kain rentang “We Love MB” yang jelas membuktikan bahawa majlis ini berunsur politik. Kes kemalangan berkaitan helicopter kawalan jauh telah kerap berlaku dan sewajarnya penganjur program tidak memasukkan aktiviti ini dalam program awam seperti ini yang membabitkan anak-anak kecil dan orang ramai yang tidak memakai sebarang alat keselamatan PPE (Personal Protective Equipment).