Thursday, March 28, 2013

Pemimpin Pakatan Rakyat akan berlaku adil dan membela nasib rakyat

Pemimpin Pakatan Rakyat akan berlaku adil dan membela nasib rakyat
Pemimpin rasuah dan salahguna kuasa tidak mempunyai tempat di dalam PR


     Ramai masyarakat tertanya-tanya adakah pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) boleh dipercayai untuk mengemudi teraju kepimpinan negara. Persoalan ini penting kerana mereka bimbang adakah pemimpin-pemimpin PR berkemampuan dan berkebolehan untuk dipertaruhkan di dalam mereka membuat keputusan di dalam mencorakkan keputusan PRU ke 13 ini. Adakah pimpinan PR akan sama melakukan rasuah sebagaimana pimpinan Umno/BN sekarang ini?

     Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah acap kali menegaskan bahawa pemimpin rasuah dan salahguna kuasa tidak akan mempunyai tempat di dalam barisan kepimpinan PR. Beliau menegaskan pemimpin-pemimpin PR akan berlaku adil dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membela nasib rakyat. Malahan Anwar kerap menyatakan bahawa dasar PR bukan untuk membalas dendam setelah PR memenangi PRU ke 13 ini.

Dr. Mohamad Rafie Ab Malek
 
     Mengulas perkara yang sama, Dr. Mohamad Rafie Ab Malek, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Keadilan menyatakan kepimpinan PR akan memberi perhatian serius di dalam proses pemilihan calon-calon pilihanraya PR untuk memastikan pemimpin-pemimpin yang dipilih berwibawa dan mempunyai sahsiah diri yang baik. Beliau menegaskan latarbelakang individu, keluarga serta kemasyakaratan prospek calon akan dinilai secara teliti. Seorang pemimpin masyarakat yang berjaya sudah sewajarnya telah berjaya secara individu, keluarga serta menunjukkan “track record” yang baik di dalam kehidupan calon berkenaan.
     “Kita telah mempelajari dari sejarah di dalam PRU ke 12 apabila beberapa orang pemimpin PKR dan DAP meloncat keluar parti dan kita akan memastikan perkara ini tidak akan berlaku lagi,” kata Dr. Rafie. Malahan beberapa pemimpin yang telah memenangi pilihanraya di bawah tiket PR pada PRU 12 yang lalu akan digugurkan jika kita dapati mereka tidak mencapai tahap prestasi yang baik, tegas Dr. Rafie. Ini untuk memastikan kesemua pemimpin-pemimpin PR benar-benar jujur, amanah dan bertanggungjawab serta berkebolehan untuk meneraju negara.
     “Jujur, amanah dan bertanggungjawab, satu perkara; berwibawa dan berkebolehan adalah satu perkara lain. Kedua-dua ini perlu untuk memastikan pemimpin-pemimpin mampu meneraju dengan keupayaan kemahiran untuk membuat reformasi ekonomi, pendidikan, sosio-budaya di dalam usaha melonjakkan Malaysia ke arena antarabangsa. Di dalam masa yang sama, tanpa salahguna kuasa dan tanpa rasuah hasil sikap jujur, amanah dan bertanggungjawab akan memastikan kekayaan negara diagihkan secara adil dan saksama dan boleh diekploitasi secara maksimum untuk dilonjakkan ke peringkat tertinggi yang bakal meningkatkan tahap hidup rakyat di negara ini ,” ujar Dr. Rafie.
     Kejayaan PR mentadbir Putrajaya dan negeri-negeri di Malaysia akan membolehkan prestasi yang lebih baik dicapai oleh negeri-negeri yang telah dimenangi oleh PR sekarang seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Pentadbiran negeri PR sekarang banyak mendapat kekangan dari kerajaan pusat BN yang menyebabkan usaha-usaha merakyatkan ekonomi terbatas. Di antara contoh terbaik  adalah permasalahan isu air di Selangor apabila kerajaan pusat BN membela Syabas yang merupakan kroni mereka. Barang sudah pasti, perbekalan air akan dapat diuruskan dengan lebih baik dengan harga yang lebih berpatutan jika ia diurus oleh kerajaan negeri Selangor berbanding Syabas yang mengutamakan keuntungan peribadi beberapa individu tertentu sehinggakan gaji Pengerusi Syabas, Tan Sri Rozali Ismail bernilai RM425,000 sebulan.
     “Justeru rakyat tidak perlu bimbang untuk memilih calon-calon PR di dalam PRU ke 13 ini kerana ia akan memberi manafaat kepada rakyat dan negara. Kesemua faktor akan diambil kira termasuk kebolehan (ability), kewibawaan (charisma) serta sahsiah diri yang baik calon-calon tersebut. Faktor kebolehan amat penting kerana di dalam persaingan di dalam dunia globalisasi tanpa sempadan, Malaysia memerlukan pemimpin-pemimpin yang mampu mengharungi selok-belok dan liku-liku cabaran antarabangsa untuk meletakkan Malaysia di antara negara terbaik di dunia,” ulas Dr. Rafie. Memilih Umno/BN bermakna kita memilih untuk meneruskan kepimpinan yang korup/salahguna kuasa dan tidak berkemampuan untuk melonjakkan ekonomi negara, tegas Dr. Rafie.