Wednesday, November 11, 2009

PKR: Cabaran Dan Halatuju

Setelah hampir dua tahun Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang dengan prestasi yang memberansangkan didalam Pilihanraya Umum (PRU) Ke 12 pada 8 Mac 2008 yang lalu, kini kepimpinan PKR nampak seolah-olah serba tak kena. Didalam PRU ke 12, PKR menjadi parti pembangkang yang paling dominan dengan memperolehi 31 kerusi parlimen dan 40 kerusi dewan undangan negeri.
Keputusan PRU 12
Pada hari ini, PKR telah kehilangan empat kerusi DUN; satu di Kedah, dua di Perak dan satu di Selangor. Kepimpinan parti disemua peringkat berkecamuk dan sokongan rakyat semakin pudar. PKR yang sepatutnya menjadi parti yang paling dominan dan menjadi model didalam barisan Pakatan Rakyat (PR) kini terumbang-ambing didalam pelbagai bentuk permasalahan. Kewujudan PR sewajarnya menjadi alternatif kepada Barisan Nasional (BN) dan sepatutnya mampu melonjakkan Malaysia menjadi negara yang maju dan sejahtera dengan membawa perubahan positif didalam semua aspek – politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan sebagainya kini dipersoalkan kemampuan mereka oleh banyak pihak.

Didalam menganalisa permasalahan ini, Anwar Ibrahim dan keseluruhan barisan tertinggi kepimpinan PKR wajar untuk berlapang dada dan merendah diri untuk melakukan muhasabah dan membuat pembetulan. Jika tidak, PKR akan terjerumus dan ia akan membawa bersama dua lagi rakan PKR iaitu PAS dan DAP ke ambang kejatuhan PR dan memanjangkan lagi jangka hayat BN yang sudah kronik dengan penyakit barahnya. Perasaan angkuh dikalangan ramai kepimpinan PKR yang merasakan bahawa seolah-olah rakyat bersama PKR adalah merbahaya kerana rakyat meneliti secara terperinci apa yang sedang berlaku.

Kelemahan Ketara

Anwar Ibrahim yang menjadi tunggak kepada kepimpinan PKR dan PR sememangnya diakui cukup berwibawa serta mempunyai karisma pidato yang amat dikagumi. Namun selaku manusia biasa, Anwar mempunyai kelemahannya yang tersendiri dan ini menjadi lebih parah kerana kegagalan rakan-rakan kepimpinan yang lain didalam PKR untuk mengisi kekosongan atau mengatasi kelemahan-kelemahan tersebut. Kelemahan yang paling ketara didalam PKR adalah:
1. Pengurusan yang lemah
2. Kelemahan perancangan strategik
3. Disiplin berorganisasi yang longgar

Pentadbiran pengurusan PKR cukup lemah. Ini jelas dari banyak aspek termasuk didalam mengurus kepimpinan negeri yang cukup berkecamuk. Pimpinan-pimpinan negeri ditukar ganti begitu sahaja menurut kumpulan pelobi yang mana paling kuat tanpa menilai secara terperinci kepada kebolehan seseorang itu untuk memimpin. Mana-mana negeri yang bermasalah kepimpinannya tetapi cuba menyelesaikan permasalahan secara berhemah mungkin terpinggir pandangan mereka kerana kecenderungan Anwar untuk menerima pandangan orang-orang yang berada disekelilingnya sahaja. Lebih malang lagi, tiada langsung langkah serius untuk melatih pemimpin-pemimpin yang telah dilantik ini. Langkah Anwar yang cenderung untuk mengecilkan kumpulan kepimpinannya dengan melantik orang-orang dikelilingnya atau orang-orang yang telah memegang jawatan utama parti sebagai pimpinan negeri bakal mengundang masalah. Kepimpinan parti politik perlu dikembangkan bukan untuk dikecilkan. Kemampuan seseorang untuk mengurus cara yang terbaik ada batasan dan hadnya. Bagaimana seorang Ahli Majlis Pimpinan Pusat atau ketua kepada gerakan pemuda sebagai contoh mampu untuk mentadbir negeri dengan baik jika mereka dibebani dengan dua tugas yang berat sekali gus?

Perancangan strategik PKR juga amat lemah. Sebagai contoh, didalam menangani permasalahan imej yang mula merudum kini, Anwar menyarankan untuk mengadakan “convention” atau persidangan diperingkat negeri di semua negeri-negeri. Ini dimulai dengan negeri Pulau Pinang yang telah diadakan 9 November 2009 yang lepas. Malangnya, hasil dari persidangan di Pulau Pinang, hasilnya lebih memburukkan imej PKR dengan berlakunya pertelingkahan diantara Zulkifli Nordin, ahli parlimen PKR untuk Kulim Bandar Baru dan Sivarasa, Naib Presiden PKR.

Sewajarnya, menyedari hakikat masalah tiada kesatuan dikalangan kepimpinan dikesemua peringkat, program yang pertama perlu diatur bukannya “convention” tetapi program “retreat”. Didalam pengurusan strategik, ada perbezaan diantara “convention” dan “retreat”. “Convention” lebih berbentuk “formal” dan ia mungkin lebih untuk mempromosi PKR kononnya ingin memaklumkan kepada masyarakat kedudukan kepimpinan PKR masih kukuh. Corak program lebih kepada “one way communication” dimana kepimpinan tertinggi parti membentangkan kertas-kerja masing-masing. Manakala “retreat” lebih berbentuk dalaman untuk memperbaiki atau membaikpulih permasalahan kepimpinan yang sedia ada. Corak program lebih berbentuk “two ways communication” dan ini membolehkan mereka memperhalusi permasalahan kepimpinan yang sedia ada dan Anwar sewajarnya ada bersama untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk memulihkan dan meningkatkan kepimpinan mereka. Malangnya, Anwar tanpa mengambil kira perancangan strategik memilih untuk mengadakan “convention” yang mana ia lebih berbentuk “kepuraan” kerana permasalahan sebenar didalam parti tidak dapat diperbincangkan secara terperinci. Ini bermakna masalah-masalah sebenar kepimpinan “masih terdampar di bawah permaidani”.

PKR juga wajar mewujudkan kumpulan-kumpulan “task force” untuk meneliti, memikir dan mengkaji altenatif-alternatif baru didalam pentadbiran negara. Setakat ini, PKR hanya dominan didalam isu politik sahaja tetapi aspek-aspek yang lain seperti ekonomi, sosial, pendidikan, seni dan budaya serta pelbagai aspek-aspek kehidupan yang lain masih lagi terpinggir. Mereka wajar sedar bahawa negara sejak merdeka 52 tahun yang lalu, ianya telah didominasi oleh UMNO dan BN. Mahu tidak mahu, gaya dan corak mereka mempengaruhi pemikiran ramai orang ketika ini termasuk ramai pemimpin-pemimpin PKR itu sendiri. Justeru untuk mengemukakan alternatif yang lebih baik, ianya memerlukan penelitian dan pengkajian secara serius dan bukan hanya dilakukan secara semborono sahaja.

Lebih malang lagi, pentadbiran Najib mengambil langkah bijak dengan mencuri banyak idea-idea politik yang dicanangkan oleh PKR didalam usaha untuk memulihkan imej mereka pada pandangan rakyat jelata. Walaupun ini baik secara umum untuk rakyat keseluruhannya tetapi ia akan menyumbang untuk melemahkan PKR. Setakat mana keihklasan Najib untuk bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib rakyat tidak diketahui kerana kepimpinan UMNO dan BN jelas mengutamakan diri mereka sendiri atau kroni-kroni mereka.

Didalam berorganisasi, untuk memastikan kejayaan, disiplin amat penting. Malangnya didalam PKR, disiplin berorganisasi amat lemah. Mana-mana pihak boleh membuat kenyataan dan ini tidak dipantau oleh pimpinan tertinggi parti. Jika kenyataan-kenyataan tersebut satu nada dengan keputusan parti ianya tidak menjadi masalah tetapi didalam banyak hal ianya bertentangan diantara satu sama lain.

Sebenarnya, terlalu banyak contoh-contoh yang menunjukkan kelemahan-kelemahan kepimpinan didalam menangani aspek-aspek pengurusan, perancangan strategik dan disiplin didalam berorganisasi didalam PKR jika dianalisa secara terperinci. Walaubagaimanapun, cukup sekadar beberapa contoh di atas sebagai permulaan untuk kesemua kepimpinan PKR disemua peringkat mengambil langkah segera untuk bermuhasabah dan mengambil langkah serius memperbaiki kelemahan-kelemahan mereka.

Tuesday, November 3, 2009

Penangkapan Dr. Asri: Salah Siapa?

Pada hari Ahad, 1 November 2009, ramai pihak terpinga-pinga dengan isu penangkapan bekas Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dato’ Dr Mohamad Asri Zainul Abidin oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan bantuan Polis di sebuah rumah banglo di Hulu Kelang. Penangkapan dilakukan atas dakwaan bahawa Dr Asri tidak mempunyai tauliah ketika beliau menyampaikan kuliah agama kepada lebih kurang 300 orang di rumah berkenaan.

Dr. Asri

Dr Asri bukan sahaja seorang ilmuan Islam dengan kelulusan ijazah doktor falsafah dalam pengajian Al-Qur'an dan Sunnah, beliau adalah bekas Mufti Kerajaan Negeri Perlis dan merupakan pensyarah bahagian pengajian Islam di Universiti Sains Malaysia. Dr Asri dijangka akan didakwa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, Seksyen 119 (1) yang menyebut mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam di negeri itu perlu mendapatkan tauliah daripada JAIS.

Soalannya, jika kita lihat dari segi rasional, orang-orang JAIS ini menuntut ilmu dari mana. Jika mereka pergi belajar di universiti, yang mengajar mereka adalah orang-orang seperti Dr. Asri yang ada berkelulusan ijazah doktor falsafah. Menurut enakmen ini, mana-mana tokoh besar Islam walaubagaimana hebatnya sekalipun termasuk pensyarah yang pernah mengajar Pengarah JAIS - Datuk Mohammed Khusrin Munawi semasa beliau menuntut ilmu dahulu, mereka tidak boleh berceramah di Selangor tanpa kelulusan dari JAIS. Persoalannya, undang-undang apakah ini – tuk guru boleh didakwa oleh anak murid berlandaskan undang-undang seperti ini.

Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Abdul Razak ketika memberi komentar mengenai penangkapan Dr. Asri menyatakan ia tiada kena mengena dengan kerajaan pusat manakala Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menyatakan beliau tidak menahu mengenai isu penangkapan Dr. Asri ini. Samada Najib benar atau Khalid yang benar, masih tidak kita ketahui. Tetapi umum masih tidak lagi lupa dalih dan alasan Najib apabila ditanya mengenai mengapa Mohd Saiful Bukhari Azlan berada bersamanya yang jelas tersimpul penipuan disebalik senyuman Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah orang yang mendakwa beliau telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Cara penangkapan Dr. Asri juga dikritik dengan kehadiran jumlah pegawai JAIS dan anggota polis yang ramai

Ada tiga isu yang perlu kita perhalusi yang boleh kita ambil iktibar didalam meneliti perkara ini. Pertama, kesemua undang-undang yang sedia ada telah dirangka dan diluluskan oleh pembuat dasar undang-undang (legislator) iaitu ahli-ahli dewan undangan negeri (DUN) diperingkat negeri dan ahli-ahli parlimen di peringkat kerajaan pusat yang terdahulu. Hakikatnya, terbukti didalam kes ini, terlalu banyak enakmen-enakmen atau undang-undang yang tidak bersesuaian yang masih wujud samada diperingkat negeri dan diperingkat kerajaan pusat. Malangnya, walaupun beberapa negeri jatuh dibawah Pakatan Rakyat dengan melebihi dua pertiga kerusi DUN namun oleh kerana kelemahan mereka serta ketidaksediaan mereka untuk mentadbir, mereka tidak berkebolehan untuk meneliti secara terperinci samada kesemua legislatif yang sedia ada masih bersesuaian atau tidak.

Kesibukan mereka untuk berpolitik melalaikan mereka dari tugas sebenar iaitu untuk menggubal undang-undang. Sewajarnya, Pakatan Rakyat menjadi alternatif yang lebih baik dan bukan menjadi penyambung kepada kebobrokan kepimpinan Barisan Nasional. Undang-undang adalah dasar paling asas bagi sesebuah negeri atau sesebuah negara. Mengimbas semula didalam isu Dr. Asri ini, mengapa kerajaan pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim yang memimpin Pakatan Rakyat di negeri Selangor tidak mengambil inisiatif untuk meneliti semula dan menggubal undang-undang tubuh kerajaan negeri samada ia masih bersesuaian atau tidak. Semenjak, PR mentadbir Selangor lebih dari satu tahun setengah yang lepas apakah langkah yang telah diambil untuk pengkajian semula mengenai perkara perkara dasar ini – mengkaji, meneliti dan memperbetulkan mana-mana undang-undang bobrok peninggalan Barisan Nasional.

Kedua, umum mengetahui bahawa ramai diantara ahli-ahli DUN dan juga ahli-ahli Parlimen bukan golongan yang terpelajar. Banyak diantara mereka ini jahil dalam banyak perkara. Mereka jahil dalam bab agama dan ramai juga yang jahil dalam bab dunia. Persoalannya, mengapa cerdik-cerdik pandai yang terdiri dari cendiakwan-cendiakawan termasuk mufti-mufti tidak menasihati golongan lesgislator ini. Tidak dinafikan mungkin ada golongan cendiakawan-cendiakawan yang telah memberi nasihat atau pandangan tetapi diketepikan begitu sahaja oleh para penggubal undang-undang yang duduk dikerusi empuk di Dewan Undangan Negeri atau di Parlimen ini. Ini tidak menghairankan jika penggubal-penggubal undang-undang itu orang UMNO atau orang MCA atau orang MIC.

Tetapi mengapa ahli-ahli DUN tersebut terdiri dari Pakatan Rakyat tidak mengambil inisiatif untuk menimba ilmu dari bijak pandai yang ada didalam atau diluar negara supaya mereka terarah didalam membuat keputusan betul. Sebagai contoh, berapa banyak “intellectual discourse” yang telah diadakan di Negeri Selangor untuk mendidik ahli-ahli DUN mereka semenjak mereka mengambil alih kerajaan negeri. Lebih mengharukan ramai diantara mereka yang telah terpilih sebagai Ahli-ahli Yang Berhormat ini merasa angkuh yang kononnya mereka golongan bijak pandai dan tidak perlu belajar lagi. Mereka lupa bahawa rakyat memilih mereka pada bulan Mac 2008 yang lalu bukan sebabnya kerana mereka bagus tetapi lebih kerana kebencian mereka kepada Barisan Nasional.

Ketiga, sudah banyak kali kita melihat jentera pentadbiran negeri atau kerajaan pusat iaitu para eksekutif tidak melakukan sesuatu perkara secara bijaksana. Ini ternyata didalam kes Datuk Mohammed Khusrin Munawi – Pengarah JAIS yang bertanggungjawab didalam isu penangkapan Dr. Asri ini. Kita tidak mengetahui samada ada “tangan-tangan ghaib” disebalik tadbir didalam isu ini atau semata-mata kerana kebodohan pegawai-pegawai JAIS membuat tindakan tanpa memikirkan kesan yang besar kepada imej Islam itu sendiri. Mereka wajar mengerti untuk menggunakan kebijaksanaan didalam menjalankan tugas dan tidak sewajarnya berselindung disebalik undang-undang yang sedia ada.

Datuk Mohammed Khusrin Munawi

Mereka sewajarnya mengetahui banyak undang-undang yang sedia ada telah ketinggalan zaman dan tidak lagi bersesuaian tetapi masih lagi tidak dipinda kerana kebejatan penggubal undang-undang yang asyik bersengketa mengenai hal politik sehingga alpa terhadap tugas sebenar mereka.

Didalam masa yang sama, kita selaku rakyat didalam negara ini perlu prihatin untuk sama-sama membantu untuk meningkatkan kemajuan negara kita didalam menyumbang untuk membetulkan semua permasalahan yang sedia ada. Para legislator yang tidak menjalankan tugas mereka perlu kita tegur, cendiakawan yang leka perlu kita ingatkan mereka bahawa mereka ada tugas besar disebalik tugas rutin mereka mendidik anak bangsa secara formal dan para pentadbir iaitu eksekutif perlu sentiasa dinasihati untuk menjalankan tugas mereka secara berhemah dan bijaksana.