Wednesday, December 31, 2008

Demi Masa Depan, Kita Perlu Bersatu:Sejarah Sedih Palestine Perlu Kita Pelajari, Fahami Dan Teladani

Serangan rejim Zionis di Semenanjung Gaza, setakat ini telah mengorbankan ratusan jiwa
manakala ribuan lagi telah cedera. Jumlah korban, semakin meningkat dari setiap jam ke jam.

Penghujung 1429 H telah dicemari dengan kebiadapan rejim Zionis yang telah menyerang Semenanjung Gaza dan telah telah menyebabkan kematian ramai rakyat awam Palestine. Terlakarnya peta Israel dipeta dunia pada 14 Mei 1948 dan berkekalan sehingga hari ini adalah hasil perancangan jahat Zionis beserta kesemua sekutu mereka untuk memastikan kewujudan mereka ditengah-tengah benua Arab.


Kewujudan negara Israel adalah secara haram tetapi ia tetap berkembang kerana sokongan kuasa-kuasa besar dunia

Namun faktor penyebab utama kewujudan Israel pada tahun 1948 adalah kerana perpecahan umat Islam khususnya di benua Arab. Persengketaan serta ketidakjujuran sesama sendiri dikalangan negara-negara persekitaran seperti Mesir, Jordan, Lebanon, Iraq dan Syria telah membolehkan Israel lahir dan akhirnya menjadi kuasa besar.

Sejarah menunjukkan bahawa negara-negara Islam disekitar negara Palestine mengambil langkah segera untuk bertindakbalas terhadap Israel sebaik sahaja apabila Tel Aviv mengumumkan kelahirannya pada jam 4.00 petang, 14 Mei 1948. Tentera Lebanon, Jordan, Mesir dan Iraq telah menyerang balas dan memasuki sempadan seawal 15 Mei 1948, diikuti oleh Syria keesokan harinya. Namun tanpa kesepakatan yang padu, kejayaan awal mereka menawan semula beberapa kawasan akhirnya kecundang. Walaupun mereka bertindak tetapi tindakan yang tidak sepakat serta penuh dengan kecurigaan diantara satu sama lain jelas membawa padah kepada negara-negara Arab dipersekitaran negara baru Israel.

Umat Islam perlu mempelajari bahawa perpecahan akan pasti membawa padah yang amat berat khususnya kepada generasi yang akan mendatang. Perpaduan seutuhnya perlu diwujudkan untuk mempertahankan maruah agama dan bangsa.

Nyawa manusia menjadi begitu murah dengan kedurjanaan rejim Zionis didalam
serangan udara di Gaza pada pengakhir tahun 1429 H

Kezaliman Zionis

Rejim Zionis terbukti didalam sejarah sebagai rejim yang amat zalim. Sejarah moden Zionis bermula apabila Theodor Herzl yang berbangsa Austria-Hungary memulakan gerakan politik untuk mengwujudkan sebuah negara Yahudi di Palestine pada akhir abad ke 19 M. Rejim ini telah bertanggungjawab membunuh ribuan kanak-kanak dan wanita serta beratus ribu pula telah menjadi pelarian semenjak sebelum negara Israel rasmi ditubuhkan lagi.

Didalam peristiwa Deir Yassin pada 9 April 1948, beratus orang awam dibunuh. Menachem Begin yang mengetuai serangan ini telah membunuh mereka dengan menggunakan segala kelengkapan ketenteraan secara sistematik.

Pembunuhan beramai-ramai didalam Peristiwa Deir Yassin

Peristiwa Sabra dan Shatila yang berlaku pada 16 September 1982 yang dilakukan oleh kumpulan militia Lebanon tetapi didalangi oleh rejim Zionis telah mengorbankan jumlah korban yang besar dikalangan masyarakat pelarian Palestine. Jumlah sebenar tidak diketahui sehingga jurang angka anggaran adalah terlampau besar iaitu diantara 328 sehingga 3,500 orang dianggarkan telah dibunuh secara kejam.

Mangsa korban Zionis didalam Peristiwa Sabra dan Shatila. Kanak-kanak yang tidak berdosa menjadi korban utama.

Untuk kita menyorot sejarah satu persatu kezaliman zionis tidak akan dapat habis ditulis tanpa kehabisan satu dakwat pena kerana mereka merancang kezaliman secara tersusun dan secara berterusan. Umat manusia yang bertamadun tanpa mengira agama dan bangsa mengakui hakikat kebiadapan rejim zionis tetapi negara Israel yang didokong oleh pemimpin-pemimpin Amerika Syarikat ini terus semakin mengukuh dan membuas.

Kesatuan Umat Islam di Malaysia

Umat Islam di Malaysia yang rata-rata majoritinya orang Melayu perlu mempelajari sejarah Palestine dan bagaimana mereka boleh ditindas dinegara mereka sendiri. Perbezaan pandangan dan politik tidak sewajarnya menyebabkan perpecahan dikalangan kita. Untuk sekian lama dengan pelbagai aliran politik yang ada dinegara ini, kita telah melihat tindas-menindas berlaku semata-mata kerana perbezaan kefahaman politik.

Lawan politik mesti “dibunuh” agar lumpuh dan tidak boleh berlawan lagi. Pembangunan untuk kawasan yang majoritinya dari parti lawan mesti dilambatkan atau tidak dibangunkan sama sekali. Matlamat utamanya adalah untuk memastikan yang memerintah akan terus memerintah dan berkuasa walaupun kepimpinannya dan pemerintahannya penuh dengan kecurangan, tipu daya dan salahguna kuasa untuk kepentingan peribadi dan kaum kerabat mereka.

Hakikatnya, perbezaan cara yang lahir dari pandangan yang berbeza bukan bermakna kita mempunyai matlamat yang berbeza. Kita perlu mencari titik-titik persamaan dan bersama-sama membina kekuatan diatas matlamat yang murni. Perbezaan kaedah akan mematangkan proses dan memberi ruang untuk kita saling bermuhasabah untuk memperbaiki diri didalam proses kemajuan secara bersama.

Apabila disebut kesatuan dan perpaduan ia sewajarnya kesatuan dan perpaduan sepenuh dan seutuhnya. Sejarah Palestine membuktikan walaupun negara-negara Arab sekitar bermatlamat sama iaitu membenci Israel dan menyerang Israel sebaik sahaja negara Israel diisytiharkan tetapi keseluruhan mereka akhirnya tetap tewas kerana tiada kesatuan dan perpaduan sepenuh dan seutuhnya dikalangan mereka. Malahan lebih malang lagi, didalam sejarah, ada negara Arab yang akhirnya sanggup bersengkokol dengan musuh mereka sendiri iaitu negara Israel untuk “menikam” negara Arab yang lain.

Masyarakat Pelbagai Bangsa Dan Agama

Kesatuan umat Islam di Malaysia bukan bermakna bangsa-bangsa yang lain dimusuhi atau diabaikan. Islam mencintai keamanan. Perpaduan umat Islam dinegara ini secara utuh akan merancakkan pertumbuhan pembangunan. Masa yang begitu banyak terbuang kerana perbalahan boleh dimanafaatkan untuk pembangunan negara. Malahan keindahan Islam menunjukkan bahawa apabila umat Islam mentadbir Jerusalem, bukan hanya setakat umat Islam malahan umat Yahudi dan Kristian dibenarkan mengamalkan agama mereka masing-masing secara aman.

Malaysia perlu melihat bahawa kepelbagaian bangsa dan agama dinegara ini sebagai satu aset besar yang perlu dimajukan. Ianya adalah satu sumber besar yang wajar dimanafaatkan didalam kita mengharungi era globalisasi. Persaingan kita sebenarnya adalah untuk diperingkat global dan kewujudan Melayu Islam yang boleh mempengaruhi dunia Islam, masyarakat India dengan negara India dan masyarakat Cina dengan negara Cina serta keseluruhan jalinan hubungan antarabangsa mereka akan memberi kelebihan kepada Malaysia untuk berada ditangga teratas didalam pelbagai bidang khususnya didalam jalinan pembangunan ekonomi.

Bantuan

Peristiwa Gaza yang berlaku sekarang sepatutnya menginsafkan kita untuk berusaha untuk bersatu secara jujur dan ikhlas. Perpecahan akan membawa padah. Sekali padah melanda, badai derita akan tiada kesudahannya. Kita bertanggungjawab untuk memastikan generasi mendatang tidak menderita kerana keangkuhan dan perpecahan sesama kita.

Didalam masa yang sama, masalah umat Palestine wajib dibela dengan apa cara sekalipun. Kezaliman apatah lagi terhadap kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa yang dikorbankan begitu sahaja perlu kita tentang. Bukan setakat rejim Zionis, malahan mana-mana pehak yang bersekongkol dengan mereka adalah musuh kita.

Rejim Zionis bukan setakat musuh umat Islam tetapi mereka adalah musuh kepada setiap manusia yang bertamadun didunia ini. Tiada siapa yang merelakan pembunuhan secara membabi-buta demi keangkuhan mereka untuk terus wujud disebuah negara haram yang bernama Israel.

Monday, December 29, 2008

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1430

Selamat Menyambut Maal Hijrah
1430


Semoga semangat hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. 1430 tahun yang lalu akan meresap kedalam jiwa kita dan memberi kekuatan baru didalam memperjuangkan yang hak dan kebenaran tanpa merasa gentar dan khuatir.

Kita berdoa agar Allah s.w.t. akan memberi kekuatan kepada kita untuk terus istiqamah didalam perjuangan.