Thursday, January 8, 2009

Doa Untuk Palestine

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. "
al-Baqarah 120

1. Ya Allah Ya Tuhan kami, kami mohon kepada Mu, selamatkanlah saudara-saudara kami di bumi Palestine, dibumi kelahiran para anbiya.

2. Ya Allah Ya Tuhan kami, satukanlah bangsa Palestine supaya mereka utuh untuk bangkit berjuang.

3. Ya Allah Ya Tuhan kami, satukanlah bangsa Arab untuk mereka bangkit berjuang mempertahankan bumi Palestine

4. Ya Allah, Ya Tuhan kami, satukanlah umat Islam dan pandulah kami untuk memperjuangkan saudara-saudara kami di Palestine

5. Ya Allah, Ya Tuhan kami, berikanlah kesedaran kepada umat Islam, baik pemimpin mahupun rakyat jelata untuk kami kembali kepangkuan Mu dan sedia untuk berkorban demi kerana agama Mu.

6. Ya Allah, Ya Tuhan kami, berikanlah kekuatan kepada kami untuk memboikot kesemua barangan keluaran mana-mana negara mahupun mana-mana negara yang bersekongkol dengan Israel seperti rokok, Coca Cola, Mc Donalds, Pizza Hut, KFC dan pelbagai lagi yang sekarang ini melimpah luah memenuhi di pasaran negara kami.

Aamin, aamin, Ya Rabbal Aalamin


Ini adalah sebahagian dari produk syarikat-syarikat di Amerika Syarikat.
Kita tidak punya senjata untuk melawan Israel dan juga Bangsa-Bangsa Bersatu (UN)
tidak berdiri diatas paksi keadilan. Namun demikian, umat Islam seluruh dunia boleh
membantah tindakan Amerika Syarikat dengan memboikot kesemua produk mereka


Kita perlu berkorban untuk tidak mengguna mana-mana produk yang dikeluarkan
oleh mana-mana syarikat atau mana-mana negara yang bersekongkol
dengan Israel. Setiap pembelian bermakna sumbangan untuk
membunuh saudara-saudara kita di Palestine

Friday, January 2, 2009

Gelombang Kemelesetan Ekonomi: Cabaran 2009

Kedatangan tahun 2009 diselubungi dengan kelembapan ekonomi yang bakal memberi impak besar kepada rakyat jelata. Mahu tidak mahu, Malaysia terpaksa akur bahawa tempias kemelesetan ekonomi negara-negara maju khususnya di Amerika Syarikat akan sudah pasti menular di Malaysia. Kita tidak perlu berdolak-dalik kerana keperitannya telah mulai dirasa oleh rakyat sejak suku keempat tahun 2008.

Ungkapan-ungkapan bahawa negara tidak banyak terjejas, ekonomi negara masih baik adalah ungkapan-ungkapan sumbang walaupun ia diluahkan oleh pemimpin-pemimpin besar negara. Hakikatnya, rakyat bawahan telah mula merasa peritnya akibat kemelesetan ekonomi. Malahan ungkapan kita akan berjaya mempertahankan negara dari bahang kemelesetan ekonomi dunia adalah ungkapan politik semata andaikata tiada perancangan yang konkrit dan menyeluruh didalam menangani kemelesetan ekonomi dunia sekarang ini.

Sektor Perindustrian Terjejas Teruk

Pekerja-pekerja yang bekerja disektor perindustrian yang banyak bergantung kepada kerja lebih masa sebagai pendapatan utama kerana gaji pokok yang kecil telah mengurang pendapatan mereka seawal Oktober 2008 kerana ketiadaan kerja lebih masa. Kebanyakan kilang-kilang dilaporkan terpaksa mengurangkan pengeluaran sehingga 70% dari kapasiti biasa kerana kekurangan permintaan. “Mass Vacation” atau cuti secara beramai-ramai atau didalam ertikata lain penutupan kilang sehingga 2 minggu didalam satu bulan telah menjadi satu amalan biasa sejak kebelakangan ini.

Adalah dijangka, puluhan ribu pekerja kilang dan mungkin malahan ratusan ribu pekerja akan diberhentikan kerja pada suku pertama tahun 2009. Pengurusan kilang-kilang terpaksa mengambil langkah tersebut untuk mengurangkan kos kemungkinan kerugian yang lebih besar. Kemelesetan ekonomi dunia yang dijangka berpanjangan dan masih tiada kepastian penghujungnya telah menyebabkan kebimbangan pelabur-pelabur untuk mengambil langkah drastik mengurangkan pekerja-pekerja mereka.
Permintaan global yang mengurang menjejaskan pengeluaran
dan pengilang-pengilang berusaha untuk mengurangkan kos dengan mengurangkan jumlah pekerja
Didalam masa yang sama, sektor perindustrian yang selama ini menampung sebahagian besar pencari-pencari kerja baru yang merupakan lepasan sekolah, kolej dan universiti dijangka akan membekukan kesemua pengambilan pekerja-pekerja baru pada tahun 2009.

Sektor Pertanian Menguncup

Hasil pertanian utama negara, kelapa sawit dan getah mengalami penurunan harga yang mendadak. Harga kelapa sawit ketika ini adalah sekitar RM1600 satu tan berbanding sekitar RM4,000 bagi setiap tan pada awal tahun 2008.

Turun naik harga Kelapa Sawit dari tahun 2000 sehingga 2008.
Pada Januari 2008, harga sawit adalah sekitar USD1,200 atau RM4,200 dan harga telah
merosot lebih 60% ke sekitar USD450 atau RM1,600 bagi setiap tan pada awal Januari 2009

Harga getah juga telah menguncup lebih dari separuh berbanding sebelum ini. Pekebun-pekebun kecil mahupun ladang-ladang besar menghadapi suasana sukar kerana penurunan harga yang begitu mendadak.

Harga getah menguncup sekitar 50% ketika ini berbanding dengan awal tahun 2008

Sumber Perolehan Negara Mengurang

Kesan kemelesetan ekonomi sudah pasti akan menjejas perolehan negara kerana hasil kutipan cukai akan mengurang. Petronas yang menyumbang lebih dari 50% pendapatan negara juga akan menguncup pendapatannya kerana harga minyak dunia telah menurun secara mendadak dari USD147 pada pertengahan tahun 2008 ke hanya sekitar USD40 bagi setiap “barrel” (Setiap 1 barrel adalah sekitar 159 liter) pada pembuka tahun 2009.

Harga minyak mentah dunia jatuh lebih 70% dalam tempoh 6 bulan
iaitu dari USD147 ke sekitar USD40 bagi setiap satu “barrel

DIANTARA JALAN-JALAN PENYELESAIAN

Untuk mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan ekonomi negara bukan satu perkara yang mudah kerana Malaysia adalah sebuah negara perdagangan dan permasalahan ekonomi global sudah pasti akan memberi kesan negatif kepada kita. Simpanan negara yang berjumlah USD128 billion pada pertengahan tahun 2008 telah merosot diawal tahun 2009. Dasar Fiskal (Fiscal Policy) dan Dasar Kewangan (Monetary Policy) perlu digubal untuk menghadapi persediaan kemelesetan ekonomi yang dijangka akan berpanjangan (sama seperti Kemelesetan Ekonomi Dunia pada tahun 1930 yang telah menyebabkan 13 juta orang di Amerika Syarikat kehilangan pekerjaan) serta merangsang semula ekonomi .

Ini bermakna kita tidak boleh berpeluk tubuh atau tidak melakukan apa-apa dan apatah lagi cuba menyembunyikan atau menafikan permasalahan besar yang kita hadapi sekarang ini kerana ia boleh membawa malapetaka kepada negara. Pendekatan Keynesian menekankan bahawa kerajaan perlu bertindak untuk mengalakkan perbelanjaan didalam usaha untuk memulihkan semula ekonomi. Namun demikian, perbelanjaan perlu dijalankan secara terancang untuk menjana ekonomi tempatan. Dasar perbelanjaan perlu berbentuk tempatan demi menjana ekonomi dalaman.

Rakyat jelata atau pengguna perlu digalakkan untuk membeli barangan hasil tempatan kerana pembelian barangan tempatan akan memberi kesan kepada pengeluar, pembungkus, peniaga dan seterusnya. Perkitaran ekonomi akan menjadi rancak didalam negara apabila rakyat berbelanja membeli barangan buatan tempatan yang mengandungi kandungan tempatan “local content” keseluruhannya atau sekurang-kurangnya melebihi 90% hasil tempatan. Andaikata, rakyat berbelanja membeli barangan buatan luar negara, penjanaan ekonomi hanya setakat tertumpu kepada peniaga sahaja.

1. Jangkamasa Kemelesetan Ekonomi

Ketidakmenentuan “uncertainties” akan mengundang padah kerana ia akan menyebabkan kita tidak boleh merancang secara terbaik. Justeru, pembuat dasar perlu optimistik berdasarkan risiko dijangka “calculated risk” untuk menduga bila kemungkinan akan berakhirnya kemelesetan ekonomi dunia. Sebagai contoh, kita perlu menetapkan - katakan bahawa ekonomi akan mula pulih pada akhir suku keempat tahun 2009. Maka perancangan perlu dibuat untuk membuat dasar mempertahan dan merangsang ekonomi dari tempoh Januari hingga Disember 2009.

Turun-naik ekonomi adalah didalam satu putaran.
Untuk merancang kehadapan, kita perlu menetapkan jangkamasa kemelesetan ekonomi
untuk merangka langkah-langkah seterusnya
Didalam kaedah pengurusan, keutamaan perlu diberi untuk menyelesaikan masalah terdekat “short term problems” dan kemudian baru menekankan kepada masalah yang mendatang “long term problems”.

2. Minimakan Ketiadaan Pekerjaan “Unemployment”

Usaha perlu diambil kerajaan untuk meminimakan pembuangan pekerja tempatan yang dijangka akan berlaku secara meluas pada suku tahun pertama 2009 setelah kebanyakan pekerja asing dihentikan pada suku akhir 2008 khususnya didalam sektor perkilangan. Langkah perlu diambil dengan memberi insentif kepada pengusaha dalam bentuk yang bersesuaian samada dalam bentuk pengurangan cukai atau apa-apa bentuk yang lain untuk menggalakkan mereka untuk tidak membuang pekerja.

Gaji minima yang mungkin lebih kurang dari gaji pokok biasa boleh diperkenalkan dan pekerja-pekerja perlu menerima hakikat tersebut kerana permasalahan ekonomi ketika ini adalah parah. Namun, AKta Pekerjaan perlu dirubah untuk memberi ruang tersebut kerana akta yang sedia ada tidak mempunyai peruntukan didalam hal ini. Didalam masa yang sama, sebarang bentuk ekploitasi untuk mengurangkan gaji pekerja tanpa sebab yang munasabah perlu dibendung.

Pengangguran secara besar-besaran akan memberi kesan buruk kepada negara
3. Latihan

Untuk pekerja yang tidak dapat dielak dari dihentikan kerja kerana penutupan operasi atau sebab-sebab kritikal yang lain, mereka perlu dibantu dengan diberi latihan. Begitu juga, kesemua lepasan sekolah, kolej atau universiti yang tidak mendapat pekerjaan, program latihan beserta elaun perlu diberi kepada mereka.

Andaikata, kita menjangka ekonomi akan berlarutan sehingga akhir tahun 2009, program latihan selama satu tahun perlu dirangka. Walaubagaimanapun, program latihan yang diatur bukan merupakan projek “lepaskan batuk ditangga” sahaja kerana ia mesti benar-benar bermanafaat dan memberi faedah kepada kesemua peserta-peserta yang terbabit. Meneliti usaha-usaha yang sama sebelum ini, kebanyakan skim-skim latihan yang diadakan kurang berkualiti dan hanya menjadi rebutan pengusaha-pengusaha latihan untuk membuat wang segera.

Penumpuan program latihan perlu diberi untuk keusahawanan dengan memanafaatkan perkembangan teknologi maklumat. Sebagai contoh, “e-commerce” yang boleh menjangkau perniagaan diseluruh pelosok dunia dengan kos perbelanjaan yang minima. Walaupun demikian, Bank Negara serta bank-bank komersial perlu memastikan infrastruktur “b2b” (business to business) atau “b2c” (business to consumer) disediakan dan dipermudahkan, sebagai contoh, pengeluaran dan penerimaan pembayaran secara “online”.

Sememangnya, kos latihan ini amat besar. Jika dianggarkan kos latihan sebanyak RM500 dan jumlah elaun RM500 sebulan diberi kepada setiap peserta untuk jangkaan seramai 500,000 orang yang terlibat, ia akan memakan belanja sebanyak RM6 billion untuk program latihan selama satu tahun.

4. Pertanian

Sektor pertanian mampu untuk memberi ruang pekerjaan serta menjana ekonomi dalaman

Tanah-tanah terbiar perlu dicari jalan untuk diusahakan didalam usaha mengurangkan pengimpotan makanan. Sebahagian dari pencari kerja baru dan pekerja yang telah diberhentikan kerja yang terpilih dan sanggup berkecimpung didalam sektor pertanian perlu diberi suntikan modal untuk merangsang ekonomi tempatan.

Kesepakatan perlu dicari bersama tuan-tuan punya tanah atau tanah-tanah pusaka yang terbiar untuk diusahakan secara komersial khususnya untuk pengeluaran pemakanan untuk jangkamasa pendek seperti sayuran, perikanan, penternakan dan sebagainya.

5. Pemberhentian Kemasukan Buruh Asing Baru

Adalah agak aneh, didalam suasana kemelesetan ekonomi sekarang ini, jika kita pergi kemana-mana pintu masuk negara seperti KLIA, masih ada pekerja-pekerja asing baru memasuki negara. Kesemua kemasukan pekerja asing baru mesti dihentikan serta-merta dan sebarang keperluan untuk pekerja ianya perlu dimanafaatkan untuk pekerja tempatan atau pekerja asing yang sedia ada didalam negara.

Puluhan dan mungkin ratusan ribu pekerja asing telah dan akan dihentikan kerja dan sebahagian dari mereka masih dibawah kurang dari kontrak 2 tahun yang telah dijanjikan kepada mereka. Mereka yang masih tidak mencukupi 2 tahun ini perlu diberi keutamaan untuk mengisi sebarang kekosongan jika ia tidak dapat dipenuhi oleh pekerja tempatan. Ini kerana, kita wajar menepati janji untuk memberi pekerjaan selama 2 tahun seperti yang termaktub didalam perjanjian jika kita masih mempunyai ruang untuk berbuat demikian. Manakala, pekerja-pekerja yang telah melebihi 2 tahun dan kesemua pekerja yang tidak sah perlu dihantar pulang kenegara mereka. Justeru, kesemua kemasukan pekerja asing baru adalah tidak perlu.

6. Pinjaman Untuk Perusahaan/Perniagaan

Bank Negara perlu memastikan kesemua bank-bank dinegara ini memberi sokongan kepada peniaga-peniaga yang berpotensi dan berasas dengan diberi pinjaman secara mudah. Namun, pinjaman yang boleh menyebabkan “bubble economy” seperti pembinaan ruang-ruang pejabat atau kedai-kedai perlu dielak dan usaha perlu diambil untuk memanafaatkan sepenuhnya bangunan-bangunan terbiar yang sedia ada.

Peniaga-peniaga serta pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana perlu diberi perhatian utama. Peruntukan juga perlu diperbesarkan untuk membantu pengusaha-pengusaha kecil-kecilan menerusi skim-skim seperti Amanah Ikhtiar Malaysia. Didalam statistik yang ada, mereka adalah golongan yang membayar penuh hutang-hutang mereka berbanding dengan peniaga-peniaga besar.
Bank Negara perlu memainkan peranan untuk merangsang ekonomi negara

7. Penurunan Harga Barangan

Satu mekanisma perlu diwujudkan untuk memastikan harga barangan diturunkan. Ini bermakna, peniaga-peniaga tidak dibenar untuk mengambil untung secara melampau. Sudah pasti peniaga berniaga untuk mendapat untung tetapi harga melampau akan melembabkan ekonomi. Dasarnya adalah untuk menggalakkan pembelian dan akhirnya menggalakkan pengeluaran. Akhirnya, keuntungan bukan sahaja diperolehi oleh peniaga tetapi juga petani, penternak, pengeluar atau sesiapa sahaja yang terlibat menghasilkan barangan tersebut.

Pusingan ekonomi dapat dijana apabila pengguna membeli barangan dan pengeluar dapat mengeluarkan barangan.

8. Pakej Rangsangan Ekonomi "Stimulus Package”

Kerajaan perlu mengkaji dari masa kesemasa dan menggunakan simpanan negara untuk merangsang ekonomi dalaman negara. Ia perlu dilakukan secara hati-hati dan terancang untuk memastikan rangsangan tersebut memberi impak maksima untuk menjana ekonomi.

Kesimpulan

Usaha sungguh-sungguh semua pehak khususnya kepimpinan negara samada dari Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat perlu untuk menyelamatkan rakyat dari permasalahan besar kemelesetan ekonomi wajar dilakukan secara satu hati dan jujur. Gelombang kemelesetan ekonomi dunia adalah permasalahan kita bersama. Untuk menyelesaikan permasalahan rumit ini, kita perlu menggunakan segala kepakaran dan kebolehan yang kita ada untuk menempis secara “real” dan bukan secara “gimik politik” untuk menyelesaikannya.

Kita bersyukur, Malaysia adalah sebuah negara yang kaya berbanding dengan kebanyakan negara membangun yang lain. Ini membolehkan kita mempunyai simpanan antarabangsa yang agak besar ketika ini yang boleh kita manafaatkan didalam suasana yang genting ketika ini. Namun, kita perlu belajar bahawa harta perolehan negara tidak boleh diboroskan dengan rasuah atau salahguna kuasa khususnya sewaktu ekonomi baik kerana wang negara ini amat diperlukan didalam keadaan tertentu seperti sekarang ini. Jika kita berhemah sebelum ini, adalah dijangka simpanan negara adalah jauh lebih besar berbanding dari yang sedia ada sekarang ini.