Thursday, April 5, 2012

JELAJAH JOM UBAH DEMI RAKYAT NEGERI SEMBILAN



Gelombang kesedaran rakyat untuk membuat perubahan landskap politik Negeri Sembilan semakin membara apabila Program Jelajah Jom Ubah Demi Rakyat NS memulakan siri jelajahnya bermula pada 1 April 2012 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Siri jelajah ini tidak hanya tertumpu dengan program ceramah umum kerana buat pertama kalinya ia disertai oleh Maskot Jom Ubah Demi Rakyat NS - Rusa yang memegang tiga bendera parti di dalam Pakatan Rakyat. Maskot Rusa diperkenalkan sebagai manifestasi kecerdikan di mana rakyat Negeri Sembilan adalah bijak di dalam membuat pemilihan di dalam Pilihanraya Umum ke 13 nanti di mana kebobrokan UMNO/BN sudah jelas terserlah.

Maskot Rusa ini telah mendapat sambutan masyarakat di setiap tempat ia pergi seperti di Pasar Tani, Pasar Malam, kawasan perumahan dan pelbagai tempat dengan mengedar risalah yang berkaitan mengenai isu semasa. Hebahan dengan menggunakan kenderaan bersama Maskot Rusa ini juga telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari pelbagai lapisan masyarakat. Ramai di antara orang ramai termasuk anak-anak mahu bergambar dengan Maskot Rusa Jom Ubah Demi Rakyat NS. Kehadiran maskot dalam aktiviti politik merupakan satu kaedah pembaharuan yang amat menarik di dalam siri penjelajahan ini.

Kehadiran di lokasi siri pertama di dalam kawasan DUN Pilah amat memberangsangkan walaupun pada masa yang sama pelbagai program lain termasuk Solat Munajat di Batu Kikir anjuran PAS berlangsung. Jelajah siri kedua di DUN Chembong, Rembau pada 4 April 2012 amat membanggakan kerana menurut petugas-petugas tempatan, inilah buat pertama kalinya orang lebih ramai dari biasa berbanding dengan program-program sebelum itu. Lebih menarik walaupun ada penceramah-penceramah di peringkat nasional seperti Dato’ Chua Jui Meng di Kuala Pilah dan Dr. Mujahid Yusof Rawa di Rembau, hampir kesemua penceramah yang lain adalah penceramah tempatan yang diketuai oleh Dr. Mohamad Rafie Ab Malek, CheguBard, YB Taufek Abdul Ghani (ADUN Paroi), YB Teo Kok Seong (ADUN Bahau), YB Aminuddin Haron (ADUN Sikamat), YB Ravi (ADUN PD), Dr. Rosli Yaakob, Dr. Alinor Abdul Kadir, Sdr. Rusli Abdullah, Ustaz Norazman Mohamad, Ustaz Khairil Anuar Wafa, Tunku Harmy Tunku Abdul Hanan dan ramai lagi. Sokongan dan komitmen Tunku Harmy yang merupakan kerabat DiRaja Negeri Sembilan di dalam Jelajah Jom Ubah Demi Rakyat NS ini telah mendapat sambutan memberangsangkan dari masyarakat tempatan.


Di dalam program siri jelajah kedua di Rembau, Negeri Sembilan, ia dimeriahkan lagi dengan sambutan secara simbolik dengan sambutan ke 13 ulangtahun Parti Keadilan yang telah dilancarkan pada 4 April 1999 di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur. Sebelum acara pemotongan kek, sejarah penubuhan Parti Keadilan Nasional diungkap kembali. Ramai tidak mengetahui sejarah sebenar penubuhan Parti Keadilan apatah lagi hakikat pengasasan parti diperingkat nasional dilakukan oleh penggerak-penggerak dari Negeri Sembilan. Kehadiran Dr. Mohamad Rafie Ab Malek, Presiden Penaja Parti Malaysia Baru (PMB) yang juga pemimpin yang bertanggungjawab mengasaskan parti dan melancarkan parti di Hotel Renaissance, Sdr. Norizam Yassin, Presiden Penaja Parti Himpunan Angkatan Keadilan (HAK) dan Sdr. Suhaimi Salleh, Setiausaha Agong Penaja Parti Angkatan Reformasi Malaysia (ARM) telah memeriahkan program pada malam itu.

Adalah dijangka kesemua program siri Jelajah Jom Ubah NS akan mendapat sambutan memberangsangkan dari orang ramai. Kesemua program ceramah bermula jam 9.00 malam telah di atur adalah seperti berikut:



• 1 April 2012; Pelancaran Jelalah Jom Ubah Demi Rakyat; Pejabat PKR K. Pilah
• 4 April 2012; Jelajah DUN Chembong; Bilik Gerakan PR, Kg Mulia, Rembau
• 7 April 2012; Jelajah DUN Pertang; Dewan Kg Petasih, Jelebu
• 11 April 2012; Jelajah DUN Sikamat; Pasti Al-Falah, Taman Desa Rhu, Sikamat
• 14 April 2012; Jelajah DUN Johol; Kg. Kabong, Jalan Inas-Senaling, Johol
• 18 April 2012; Jelajah DUN PD Bandar; PD Walk (sebelah The Store, PD), PD
• 21 April 2012; Jelajah DUN Gemencheh; Markas Pas Felda Bukit Jalor, Gemencheh
• 22 April 2012; Jelajah DUN Labu; Pekan Bt.8, Labu, Rasah
• 24 April 2012; Jelajah DUN Palong; Felda Palong 2
• 25 April 2012; Jelajah DUN Rantau; Pusat Khidmat PKR DUN Rantau
• 29 April 2012; Kemuncak Jelalah Jom Ubah Demi Rakyat NS; Seremban


Umumnya siri jelajah bermula pada jam 3.00 petang apabila Maskot Rusa beserta aktivis-aktivis Pakatan Rakyat turun menemui rakyat di kawasan ceramah tersebut di adakan.


Sambutan kemuncak Jelajah Jom Ubah Demi Rakyat Negeri Sembilan akan diadakan di Seremban pada 29 April 2012 (Ahad) dijangka akan dihadiri ribuan masyarakat dari pelbagai lapisan di Negeri Sembilan dirancang untuk di adakan di Padang Majlis Perbandaran Seremban. Pihak sekretariat Jom Ubah Demi Rakyat Negeri Sembilan telah mengemukakan permohonan dengan Majlis Perbandaran Seremban (MPS). Permohonan juga telah dibuat agar Kompleks Belia dan Sukan Paroi yang terletak di Ampangan dibenarkan untuk digunakan sebagai Tapak Karnival Jom Ubah Demi Rakyat Negeri Sembilan yang dirancang bermula dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang pada 29 April 2012 tersebut. Walaubagaimanapun jika MPS menolak permohonan ini, pihak sekretariat akan mengusahakan mana-mana tempat lain yang bersesuaian di dalam DUN Ampangan, Seremban. Seluruh rakyat Negeri Sembilan dijemput hadir di dalam program kemuncak ini sebagai tanda makluman kepada pimpinan UMNO/BN bahawa rakyat Negeri Sembilan telah bersedia untuk membuat perubahan kepimpinan demi kepentingan rakyat di negeri ini. Program yang di atur sehari selepas program Bersih 3.0 yang dijadualkan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 28 April 2012 ini juga akan menjadi sambutan kemuncak untuk sokongan rakyat peringkat Negeri Sembilan di dalam usaha pembersihan sistem pilihanraya negara yang telah tercemar.