Tuesday, March 20, 2012

Ceramah Umum 25 Mac 2012 Jam 9.00 Malam



Dr Mohamad Rafie Ab Malek


SEREMBAN 16 Mac KeadilanDaily: Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak didesak menjelaskan kerugian di dalam empat syarikat yang dilabur oleh Khazanah Nasional.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Dr Mohamad Rafie Abdul Malek berkata empat syarikat itu berkaitan dengan pertanian dan ia adalah Malaysian Agrifood Corporation Berhad (MAFC), Blue Archipelago Berhad (BAB), Biotropics Malaysia Berhad (BMB) dan Langkawi Tuna Corporation Berhad (LTCB).

"MAFC ditubuhkan pada 2006 mempelopori sektor pengedaran bahan makanan tetapi penubuhan MAFC dipersoalkan pelbagai pihak kerana peranan dan fungsinya bertindih dengan Federal Agriculture Marketing Authority (FAMA). Ia juga dilaporkan tidak menyumbang kepada keuntungan Khazanah Nasional.

“Blue Archipelago diwujudkan pada 2007 terbabit dalam bidang akuakultur khususnya penternakan udang. Ladang ternak udang di Kerpan, Kedah membabitkan seluas 420 hektar dengan suntikan modal sebanyak RM50 juta dari Khazanah setelah mengambil alih ladang ternak udang Kumpulan Bin Laden yang kerugian dan seluas 1,000 hektar tanah di Setiu, Terengganu yang membabitkan kos sebanyak RM256 juta. Blue Archipelago Berhad dilaporkan tidak pernah mengalami keuntungan setakat ini.

"Biotropics Malaysia Berhad pula ditubuhkan pada 2007 dengan pengkhususan dalam sektor sumber bio untuk produk kesihatan. Manakala maklumat mengenai Langkawi Tuna Corporation Berhad tidak lagi dilaporkan di dalam website Khazanah kerana projek perikanan tuna ini dimaklumkan telah tidak lagi beroperasi.

“Projek yang difahami membabitkan RM50 juta ini juga gagal kerana kegagalan perancangan dan pelaksanaan untuk membawa ikan tuna dari Lautan India dan dibawa balik dengan kapal di dalam sangkar untuk diternak dan dibesarkan di Langkawi.

“Dilaporkan sejumlah RM12 juta dibelanjakan untuk membeli empat buah kapal termasuk sebuah kapal yang berusia lebih 30 tahun. Malangnya semua kapal ini langsung tidak digunakan dan masih tersadai di limbungan kapal,” kata Mohamad Rafie.

Mohamad Rafie yang juga merupakan Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Seremban berkata Khazanah Nasional berada di bawah tanggungjawab Najib yang juga Menteri Kewangan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Nor Mohamed Yakcop dan Menteri Kewangan Kedua, Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Manakala pengurusan Khazanah Nasional diketuai oleh Tan Sri Dato' Azman Mokhtar.

“Najib, Nor Mohamed dan Ahmad Husni wajar tampil menjelaskan kepada rakyat dan negara kerana butiran mengenai empat syarikat ini tidak dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara sebab kesemua projek Khazanah Nasional ini dipertanggunjawabkan terus kepada Perdana Menteri.

“Maklumat tidak rasmi menyatakan bahawa setakat ini kesemua operasi empat syarikat ini berada didalam kerugian dan rakyat berhak untuk mengetahui perkara yang sebenar didalam isu ini. Dianggarkan Khazanah Malaysia telah membelanjakan lebih dari RM500 juta untuk empat buah syarikat ini sahaja dan ia adalah satu jumlah yang cukup besar untuk dibazirkan," ulas Mohamad Rafie.