Pada hari Ahad, 1 November 2009, ramai pihak terpinga-pinga dengan isu penangkapan bekas Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dato’ Dr Mohamad Asri Zainul Abidin oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan bantuan Polis di sebuah rumah banglo di Hulu Kelang. Penangkapan dilakukan atas dakwaan bahawa Dr Asri tidak mempunyai tauliah ketika beliau menyampaikan kuliah agama kepada lebih kurang 300 orang di rumah berkenaan.
Dr. Asri
Dr Asri bukan sahaja seorang ilmuan Islam dengan kelulusan ijazah doktor falsafah dalam pengajian Al-Qur'an dan Sunnah, beliau adalah bekas Mufti Kerajaan Negeri Perlis dan merupakan pensyarah bahagian pengajian Islam di Universiti Sains Malaysia. Dr Asri dijangka akan didakwa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, Seksyen 119 (1) yang menyebut mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam di negeri itu perlu mendapatkan tauliah daripada JAIS.
Soalannya, jika kita lihat dari segi rasional, orang-orang JAIS ini menuntut ilmu dari mana. Jika mereka pergi belajar di universiti, yang mengajar mereka adalah orang-orang seperti Dr. Asri yang ada berkelulusan ijazah doktor falsafah. Menurut enakmen ini, mana-mana tokoh besar Islam walaubagaimana hebatnya sekalipun termasuk pensyarah yang pernah mengajar Pengarah JAIS - Datuk Mohammed Khusrin Munawi semasa beliau menuntut ilmu dahulu, mereka tidak boleh berceramah di Selangor tanpa kelulusan dari JAIS. Persoalannya, undang-undang apakah ini – tuk guru boleh didakwa oleh anak murid berlandaskan undang-undang seperti ini.
Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Abdul Razak ketika memberi komentar mengenai penangkapan Dr. Asri menyatakan ia tiada kena mengena dengan kerajaan pusat manakala Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menyatakan beliau tidak menahu mengenai isu penangkapan Dr. Asri ini. Samada Najib benar atau Khalid yang benar, masih tidak kita ketahui. Tetapi umum masih tidak lagi lupa dalih dan alasan Najib apabila ditanya mengenai mengapa Mohd Saiful Bukhari Azlan berada bersamanya yang jelas tersimpul penipuan disebalik senyuman Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah orang yang mendakwa beliau telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Cara penangkapan Dr. Asri juga dikritik dengan kehadiran jumlah pegawai JAIS dan anggota polis yang ramai
Ada tiga isu yang perlu kita perhalusi yang boleh kita ambil iktibar didalam meneliti perkara ini. Pertama, kesemua undang-undang yang sedia ada telah dirangka dan diluluskan oleh pembuat dasar undang-undang (legislator) iaitu ahli-ahli dewan undangan negeri (DUN) diperingkat negeri dan ahli-ahli parlimen di peringkat kerajaan pusat yang terdahulu. Hakikatnya, terbukti didalam kes ini, terlalu banyak enakmen-enakmen atau undang-undang yang tidak bersesuaian yang masih wujud samada diperingkat negeri dan diperingkat kerajaan pusat. Malangnya, walaupun beberapa negeri jatuh dibawah Pakatan Rakyat dengan melebihi dua pertiga kerusi DUN namun oleh kerana kelemahan mereka serta ketidaksediaan mereka untuk mentadbir, mereka tidak berkebolehan untuk meneliti secara terperinci samada kesemua legislatif yang sedia ada masih bersesuaian atau tidak.
Kesibukan mereka untuk berpolitik melalaikan mereka dari tugas sebenar iaitu untuk menggubal undang-undang. Sewajarnya, Pakatan Rakyat menjadi alternatif yang lebih baik dan bukan menjadi penyambung kepada kebobrokan kepimpinan Barisan Nasional. Undang-undang adalah dasar paling asas bagi sesebuah negeri atau sesebuah negara. Mengimbas semula didalam isu Dr. Asri ini, mengapa kerajaan pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim yang memimpin Pakatan Rakyat di negeri Selangor tidak mengambil inisiatif untuk meneliti semula dan menggubal undang-undang tubuh kerajaan negeri samada ia masih bersesuaian atau tidak. Semenjak, PR mentadbir Selangor lebih dari satu tahun setengah yang lepas apakah langkah yang telah diambil untuk pengkajian semula mengenai perkara perkara dasar ini – mengkaji, meneliti dan memperbetulkan mana-mana undang-undang bobrok peninggalan Barisan Nasional.
Kedua, umum mengetahui bahawa ramai diantara ahli-ahli DUN dan juga ahli-ahli Parlimen bukan golongan yang terpelajar. Banyak diantara mereka ini jahil dalam banyak perkara. Mereka jahil dalam bab agama dan ramai juga yang jahil dalam bab dunia. Persoalannya, mengapa cerdik-cerdik pandai yang terdiri dari cendiakwan-cendiakawan termasuk mufti-mufti tidak menasihati golongan lesgislator ini. Tidak dinafikan mungkin ada golongan cendiakawan-cendiakawan yang telah memberi nasihat atau pandangan tetapi diketepikan begitu sahaja oleh para penggubal undang-undang yang duduk dikerusi empuk di Dewan Undangan Negeri atau di Parlimen ini. Ini tidak menghairankan jika penggubal-penggubal undang-undang itu orang UMNO atau orang MCA atau orang MIC.
Tetapi mengapa ahli-ahli DUN tersebut terdiri dari Pakatan Rakyat tidak mengambil inisiatif untuk menimba ilmu dari bijak pandai yang ada didalam atau diluar negara supaya mereka terarah didalam membuat keputusan betul. Sebagai contoh, berapa banyak “intellectual discourse” yang telah diadakan di Negeri Selangor untuk mendidik ahli-ahli DUN mereka semenjak mereka mengambil alih kerajaan negeri. Lebih mengharukan ramai diantara mereka yang telah terpilih sebagai Ahli-ahli Yang Berhormat ini merasa angkuh yang kononnya mereka golongan bijak pandai dan tidak perlu belajar lagi. Mereka lupa bahawa rakyat memilih mereka pada bulan Mac 2008 yang lalu bukan sebabnya kerana mereka bagus tetapi lebih kerana kebencian mereka kepada Barisan Nasional.
Ketiga, sudah banyak kali kita melihat jentera pentadbiran negeri atau kerajaan pusat iaitu para eksekutif tidak melakukan sesuatu perkara secara bijaksana. Ini ternyata didalam kes Datuk Mohammed Khusrin Munawi – Pengarah JAIS yang bertanggungjawab didalam isu penangkapan Dr. Asri ini. Kita tidak mengetahui samada ada “tangan-tangan ghaib” disebalik tadbir didalam isu ini atau semata-mata kerana kebodohan pegawai-pegawai JAIS membuat tindakan tanpa memikirkan kesan yang besar kepada imej Islam itu sendiri. Mereka wajar mengerti untuk menggunakan kebijaksanaan didalam menjalankan tugas dan tidak sewajarnya berselindung disebalik undang-undang yang sedia ada.
Datuk Mohammed Khusrin Munawi
Mereka sewajarnya mengetahui banyak undang-undang yang sedia ada telah ketinggalan zaman dan tidak lagi bersesuaian tetapi masih lagi tidak dipinda kerana kebejatan penggubal undang-undang yang asyik bersengketa mengenai hal politik sehingga alpa terhadap tugas sebenar mereka.
Didalam masa yang sama, kita selaku rakyat didalam negara ini perlu prihatin untuk sama-sama membantu untuk meningkatkan kemajuan negara kita didalam menyumbang untuk membetulkan semua permasalahan yang sedia ada. Para legislator yang tidak menjalankan tugas mereka perlu kita tegur, cendiakawan yang leka perlu kita ingatkan mereka bahawa mereka ada tugas besar disebalik tugas rutin mereka mendidik anak bangsa secara formal dan para pentadbir iaitu eksekutif perlu sentiasa dinasihati untuk menjalankan tugas mereka secara berhemah dan bijaksana.