Media
memainkan peranan penting untuk mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap
sesuatu isu yang akhirnya menentukan kepimpinan di dalam sesebuah negara. Di
dalam negara demokrasi, ia perlu memastikan setiap rakyat bermaklumat untuk
memastikan rakyat boleh membuat pemilihan yang tepat semasa pengundian
pemilihan pemimpin di dalam pilihanraya. Maklumat yang diperolehi mesti tepat
dan benar tanpa manipulasi untuk kepentingan pihak-pihak tertentu. Maklumat
yang salah diterima oleh masyarakat akan menyebabkan rakyat tidak boleh memilih
secara tepat dan akhirnya memundurkan negara.
Umumnya,
terdapat tiga kategori media, pertama media cetak. Media cetak terbahagi kepada
dua kategori iaitu media cetak edaran seperti akhbar, majalah dan media cetak
statik seperti papan tanda (billboard). Kategori media kedua adalah media
elektronik penyiaran seperti siaran tv dan radio dan ketiga adalah media siber
seperti akhbar internet, blog, twitter dan sebagainya. Secara dasarnya kesemua
media ini dikawal oleh kerajaan yang memerintah kecuali media siber yang sukar
dikawal kerana kemajuan teknologi menyebabkan internet melintasi sempadan
secara pantas dengan kemudahan peralatan seperti komputer dan talipun pintar
(smart phone).
Persoalannya, adakan media di Malaysia jujur dengan melaporkan sesuatu
perkara secara tepat dan benar. Dalam konteks media cetak yang dimonopoli oleh
akhbar-akhbar perdana seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian, ia jelas
bersikap berat sebelah dengan menonjolkan pimpinan Barisan Nasional (BN)
sebagai baik manakala pimpinan Pakatan Rakyat (PR) sebagai jahat. Tindakan
memihak ini cukup ketara sehingga berita fitnah menjadi lumrah kerana media
cetak perdana ini menjadi jurucakap kepada pemimpin-pemimpin BN. Justeru tidak
menghairankan akhbar seperti Utusan Malaysia disaman dan dalam hampir kesemua
kes Utusan Malaysia kalah kerana berita yang siarkan tidak betul dan berniat
jahat.
Walaupun
terdapat media cetak alternatif yang diterbitkan oleh PR seperti Harakah dan
Suara Keadilan namun pengeluarannya terbatas dan masih mendapat kekangan dari
pimpinan BN yang menyebabkan ianya tidak tersebar meluas berbanding dengan
media cetak perdana seperti Utusan Malaysia. Dalam masa yang sama, olehkerana media
cetak perdana sudah lama berada di pasaran, ada dikalangan golongan tertentu
yang sudah termakan tohmahan yang didendangkan untuk sekian lama oleh media
cetak perdana bahawa media cetak terbitan pembangkang tidak baik tanpa menilai
sendiri kandungan akhbar-akhbar alternatif ini.
Manakala media
cetak statik di Ampangan khususnya atau mana-mana tempat di Negeri Sembilan ini
sememangnya menonjolkan imej pimpinan BN yang membayangkan seolah-olah mereka
amat berjasa kepada negara. Kita tidak pernah melihat mana-mana aktiviti atau
sumbangan pemimpin PR dipamerkan di mana-mana “billboard” besar di negeri ini.
Mereka berbelanja besar untuk mempromosi parti mereka dan menghalang sebarang
promosi PR dengan menggunakan petugas-petugas Majlis Perbandaran Seremban (MPS)
untuk menurunkan mana-mana papantanda PR dalam apa bentuk sekalipun termasuk
kain rentang (banner) dan bendera.
MPS yang
diketuai oleh Abd. Halim Bin Abdul Latif jelas memihak kepada Umno/BN dengan
memastikan setiap kain rentang atau bendera PR di Seremban diturunkan. Lebih
pelik, operasi menurunkan dilakukan ditengah malam dari jam duabelas tengah
malam sehingga ke awal pagi. Pembayar cukai di Seremban wajar mempersoalkan
tindakan Halim yang menyebabkan kos operasi MPS menjadi lebih mahal dengan
terpaksa membayar kerja lebihmasa pekerja semata-mata kerana “dengki politik”.
Juga amat menghairankan, bendera-bendera Umno dan BN yang sudah koyak rabak
seperti “roti kirai” dalam cerita P. Ramlee yang menyakitkan mata memandang
serta menjadi “eyesore” tidak pula diturunkan.
Bendera
BN yang koyak rabak macam “roti kirai” tidak pula diturunkan oleh petugas MPS
Media elektronik penyiaran khususnya RTM, TV3 dan Astro jelas berusaha untuk mempengaruhi pemikiran rakyat yang kononnya pemimpin BN amat berjasa kepada negara dan mengubah kepimpinan negara kepada yang baru khususnya kerajaan PR akan menyebabkan negara menjadi porak peranda dan bankrap dari segi ekonominya. Malahan jelas siaran-siaran tv di negara ini sudah terlampau “overdo” memburukkan pembangkang dan mengagungkan BN menyebabkan ia sudah tidak mempunyai nilai dari sudut maklumat dan berita sehingga ia meloyakan penonton-penonton yang menontonnya.
Media
baru iaitu media siber kini menjadi alternatif untuk pelbagai maklumat yang
kini menjadi kebimbangan pemimpin-pemimpin BN untuk bagaimana mereka boleh
menyekatnya atau jika tidak boleh, mereka sendiri cuba mendahuluinya dengan
mengupah individu-individu tertentu untuk menulis bagi pihak mereka. Malangya
setakat kini, media siber masih didominasi oleh pehak-pehak yang ingin membawa
berita alternatif yang tepat dan betul serta berbeza sama sekali dengan
maklumat yang disampaikan oleh media-media yang dikawal oleh kerajaan
memerintah.
Memahami
hakikat ini maka tidak menghairankan kita melihat polarisasi atau perbezaan
yang cukup ketara untuk mereka yang bermaklumat iaitu mendapat sumber dari
semua samada media perdana yang dikawal kerajaan dan media alternatif khususnya
media siber berbanding dengan mereka yang hanya terdedah kepada maklumat
bersumberkan RTM, TV3, Astro atau Utusan Malaysia. Mereka yang bermaklumat
secara jelas memilih Pakatan Rakyat dan menolak Barisan Nasional. Manakala
mereka yang mendapat maklumat yang tidak tepat terus kekal untuk memilih Barisan
Nasional.
Ini
menjelaskan mengapa BN masih mempunyai pengaruh di kebanyakan kampung-kampung kerana maklumat di kampung-kampung masih
terbatas dimana TV3 dan Utusan Malaysia menjadi satu-satunya sumber maklumat
kepada mereka. Di samping itu, suasana politik yang masih tidak matang di mana
mana-mana individu yang menyokong PR di sisihkan menyebabkan ramai diantara
orang-orang kampung takut untuk membuat perubahan kerana ada segelintir Ketua
Kampung dan kuncu-kuncunya akan
memandang serong dan mengenepikan mereka. Sewajarnya, berbeza fahaman politik
tidak seharusnya mengwujudkan perpecahan jika kita saling hormat-menghormati di
antara satu sama lain. Untuk meningkatkan tamadun bangsa, perbezaan pandangan
atau kefahaman politik tidak sepatutnya menghalang untuk kita bekerjasama untuk
kemajuan bangsa dan negara.
Setiap
rakyat di dalam sesebuah negara demokrasi mempunyai hak untuk membuat pemilihan
siapa yang menjadi pilihan mereka untuk memimpin negara ini. Ini adalah hak
asasi rakyat Malaysia yang tidak boleh dihalang oleh mana-mana pemimpin
Umno/BN. Mendapat maklumat yang tepat juga adalah hak kepada setiap warganegara
Malaysia. Di dalam sistem demokrasi yang adil, semua pihak samada pemerintah
atau pembangkang berhak mendapat ruang di dalam semua bentuk media. Monopoli BN
dalam media cetak dan elektronik penyiaran di negara ini mengesahkan mereka
tidak berlaku adil dan ada sesuatu yang mereka ingin sembunyikan daripada
rakyat jelata. Apa yang penting kepada mereka ialah mereka mesti terus berkuasa
walaupun di dalam proses tersebut mereka perlu menipu rakyat.
PR akan
memastikan media bebas dari pengaruh mana-mana parti politik. Rakyat akan
diberi peluang untuk memperolehi semua maklumat secara tepat dan benar.
Ketelusan dasar PR ini akan memastikan kepimpinan PR akan bekerja keras untuk
berkhidmat yang terbaik demi agama, bangsa dan negara. Pemimpin PR menghormati
rakyat kerana rakyat adalah matang dan rakyat boleh membuat keputusan sendiri
secara terbaik apabila semua saluran maklumat dan ilmu didedahkan secara benar,
jujur dan ikhlas. Polisi ini barang sudah pasti akan melonjakkan ekonomi negara
kerana dasar ketelusan (transparency) akan memacu kepada pendedahan ilmu untuk
membina tamadun bangsa. Kehidupan akhirat yang abadi menjadi matlamat kehidupan
kita di atas dasar kecermelangan kehidupan di dunia ini akan memacu kepada
kecemerlangan kehidupan di akhirat nanti. Setiap amalan kita di dunia akan di
nilai dan ini adalah asas mengapa prinsip ketelusan menjadi dasar kepada PR.