Thursday, March 28, 2013

SATU RUMAH, SATU ALAMAT, SATU KELUARGA TETAPI MENGUNDI DI TIGA TEMPAT BERBEZA


SATU RUMAH, SATU ALAMAT, SATU KELUARGA TETAPI MENGUNDI DI TIGA TEMPAT BERBEZA
Suruhanjaya Pilihanraya Perlu Telus Dan Adil

     Satu keluarga Cina tiga beranak iaitu bapa, ibu dan anak di No. 679, Jalan Nenas 4, Taman Rahang, Seremban hairan mengapa Suruhanjaya Piliharaya Malaysia (SPR) meletakkan mereka di tiga tempat mengundi yang berbeza walaupun mereka tinggal di alamat yang sama dan alamat mereka di dalam kad pengenalan juga adalah sama. Alamat tempat tinggal mereka berada di dalam lokaliti DUN N14 Ampangan di bawah Parlimen P128 Seremban.

     Malangnya, si bapa diletakkan di tempat mengundi di DUN N21 Bukit Kepayang di bawah Parlimen P130 Rasah manakala si ibu di letakkan di tempat mengundi di DUN N22 Rahang juga di bawah Parlimen Rasah. Manakala si anak di letakkan di tempat mengundi di DUN N14 Ampangan di bawah Parlimen P128 Seremban. Ini bererti hanya si anak didaftarkan di tempat mengundi yang betul iaitu di DUN N14 Ampangan berdasarkan tempat tinggal mereka seperti dalam kad pengenalan dan alamat sebenar mereka.

     Dr. Mohamad Rafie Ab Malek, Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan yang membuat lawatan di Taman Rahang baru-baru ini kesal dengan kegagalan SPR untuk bertindak telus dan adil. Beliau menegaskan sewajarnya ketiga-tiga beranak ini mengundi di tempat yang sama iaitu di Sekolah Kebangsaan Taman Dusun Nyiur di dalam DUN Ampangan kerana mereka tinggal di dalam DUN Ampangan dan alamat mereka juga di tempat yang sama.

Dr. Mohamad Rafie bersama penduduk warga emas di Taman Rahang ketika melawat untuk meneliti permasalahan tempat mengundi penduduk

     Kegagalan SPR di dalam pengendalian mereka telah dibuktikan oleh pelbagai pehak. Sebagai contoh, seorang rakyat Filiipina yang telah didapati bersalah kerana menggunakan kad pengenalan palsu pada penghujung tahun 2011 didapati di dalam rekod terkini SPR masih boleh mengundi.

Penama Salleh Bin Samsul No KP 670110-12-5035 di dapati bersalah kerana menggunakan Kad Pengenalan palsu oleh mahkamah
 
     SPR wajar memberi penjelasan mengapa penama yang di dapati bersalah menggunakan Kad Pengenalan palsu oleh mahkamah masih disahkan sebagai pengundi.
Sungguh menganehkan kerana penama Salleh Bin Samsul No. KP 670110-12-5035 masih terdaftar sebagai pengundi menurut laman SPR terkini
 
     Siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan Projek IC di Sabah yang sedang berlangsung sekarang membuktikan bahawa Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun terbabit dalam memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing untuk menjamin kuasa politik Umno/BN. Malahan pada 17 Januari 2013 yang lalu, mantan Perdana Menteri itu mengaku bahawa beliau bertanggungjawab memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah semasa mentadbir negara. Lebih mengaibkan beliau dilihat cuba mengalih pengakuannya dengan mendakwa bapa kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman melakukan perkara ‘lebih teruk’ dengan memberi lebih banyak kerakyatan kepada mereka yang tidak layak.
Pendedahan RCI Projek IC di Sabah mengesahkan penipuan ke satu penipuan yang dilakukan pentadbiran BN
 
     Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing, menerima kecaman pelbagai pihak termasuk pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari. Menyifatkan kenyataan itu biadap dan mengarut, Aziz berkata, kewarganegaraan yang diberi oleh bapa kemerdekaan itu berbeza ketika Mahathir berkuasa sebagai perdana menteri. “Tunku beri kewarganegaraan bukan dengan tujuan menipu pilihan raya. Apa yang Tunku buat sebahagian tuntutan dan persetujuan kemerdekaan. Ada syarat tertentu yang diakui undang-undang sebagaimana negara-negara lain. Mereka tidak datang ke sini sebagaimana Pendatang Tanpa Izin (PATI) sekarang, tetapi kesan pentadbiran British. Faktor menipu dalam pilihan raya, tidak ada dalam kes Tunku,” katanya.
 
Pertambahan pengundi secara mendadak di banyak tempat khususnya di Selangor dan Wilayah Persekutuan membimbangkan kemungkinan Umno/BN menggunakan pengundi hantu untuk memastikan mereka terus kekal berkuasa selepas PRU ke 13 ini

     Di dalam sisatan ini, dua bekas orang kanan Mahathir didapati terbabit dalam Projek IC apabila saksi-saksi memberi keterangan dalam siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang asing di Sabah. Saksi-saksi ini mengaku memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing untuk menjadi pengundi. Bekas Ketua Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tamparuli, Yakup Damsah memberi keterangan dia dan beberapa orang lain menginap di rumah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, yang merupakan Setiausaha Politik kepada Mahathir pada masa itu untuk mengeluarkan kad pengenalan biru kepada pendatang asing. Seorang lagi saksi, bekas Pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, Ramli Kamaruddin mengaku menerima arahan dari Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub untuk mengeluarkan resit kad pengenalan sementara (resit JPN), dengan tarikh luput kepada warga asing, semata-mata untuk tujuan pilihan raya. Kewibawaan SPR jelas tercemar dengan pengakuan ini.

     Dalam perkembangan terbaru, Mahathir kini menuduh Anwar Ibrahim pula mungkin turut terbabit dalam proses pemberian kad pengenalan Malaysia kepada pendatang asing di Sabah pada 1990-an. “Bagaimanapun, saya tidak mempunyai bukti, tetapi kadang kala kita tahu apa yang berlaku,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Malaysia Strategic Outlook 2013 pada 31 Januari 2013 baru-baru ini. Tindakan Mahathir yang cuba membabitkan Anwar walaupun beliau mengetahui bahawa beliau tiada bukti menunjukkan sikap penipu Mahathir makin terserlah.

     Dr. Mohamad Rafie menyeru rakyat Malaysia untuk menolak Barisan Nasional secara besar-besaran di dalam PRU 13 yang akan datang ini kerana beliau bimbang persekongkolan antara Umno/BN, Jabatan Pendaftaran Negara dan SPR seperti yang terbukti di Sabah mungkin telah merebak di seluruh negara. Mereka telah menyalahguna kuasa yang ada pada mereka untuk terus berkuasa. Rakyat tidak wajar untuk terus diperbodohkan oleh pemimpin-pemimpin Umno/BN kerana selama 55 tahun mereka memerintah, mereka terus angkuh dan sombong menipu rakyat jelata. Di dalam masa yang sama, mereka merompak hasil negara untuk kepentingan mereka, tegas Dr. Rafie.