Sunday, March 24, 2013

DUN Negeri Sembilan Terbubar Secara Automatik Pada 28 Mac 2013

    Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar secara automatik pada 28 Mac 2013 dan ini bererti pilihanraya mesti dilakukan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh ini. Jangkamasa DUN dikira bermula apabila DUN NS bersidang pada 27 Mac 2008 dan ini menyebabkan tempoh 5 tahun itu hanya berakhir pada 27 Mac 2013. Ini bermakna ada lebihan 20 hari setelah tempoh 5 tahun setelah PRU 12 berakhir pada 8 Mac 2013. Olehkerana SPR menegaskan untuk mengadakan pilihanraya serentak diseluruh negara, maka pilihanraya umum ke 13 perlu diadakan menjelang 28 Mei 2013 apabila mengambil kira tempoh 60 hari selepas NS terbubar pada 28 Mac 2013.

    "Dalam pada itu, ini bermakna kerajaan negeri juga turut terbubar tetapi sebuah kerajaan sementara boleh dilantik oleh Yamtuan Besar NS dan dalam hal ini MB sebelum ini boleh dilantik sebagai “caretaker government” tetapi kuasa MB ini terbatas hanya sebagai pentadbir sahaja tanpa boleh membuat keputusan yang melibatkan perkara pokok dalam pentadbiran negeri,” ujar Dr. Mohamad Rafie Ab Malek, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat ketika diminta mengulas mengenai pembubaran DUN NS pada 28 Mac 2013.

Dr. Mohamad Rafie Abdul Malek

    Kebimbangan Najib untuk mengadakan PRU13 lebih awal adalah di atas kegusaran sokongan terhadap Barisan Nasional semakin merudum walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk memikat hati rakyat. Malangnya saban hari, populariti parti memerintah semakin merosot kerana pembongkaran demi pembongkaran telah menunjukkan pentadbiran lebih 55 tahun Umno/BN dipenuhi dengan pelbagai isu rasuah dan salahguna kuasa yang mengkhianati amanah rakyat kepada mereka.

    “Kelahiran Pakatan Rakyat yang dipimpin bersama oleh Keadilan, PAS dan DAP benar-benar untuk buat pertama kalinya berlaku integrasi nasional dalam sejarah negara dimana rakyat tanpa mengira bangsa dan agama sepakat untuk mengwujudkan sebuah negara Malaysia yang adil, aman dan maju,” ulas Dr. Rafie. Kesepakatan dalam BN lebih berupa kepuraan kerana parti-parti yang wujud dalam BN jelas bersifat perkauman iaitu Umno untuk Melayu, MCA untuk Cina dan MIC untuk India, tegas Dr. Rafie.

    “BN cuba memutarbelitkan hakikat PR wujud di atas kesatuan matlamat iaitu untuk kesejahteraan dan keharmonian Malaysia berpaksikan kepada prinsip ketelusan dan jelas kesemua negeri di bawah pimpinan PR seperti Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah pesat membangun kerana pemimpin-pemimpin PR mengutamakan kepentingan rakyat dan bukan kepentingan peribadi atau kroni. Malangnya media BN berusaha bersungguh-sungguh untuk memburukkan imej negeri-negeri PR walaupun Ketua Audit Negara sendiri mengesahkan prestasi negeri-negeri PR amat memuaskan berbanding dengan negeri-negeri yang ditadbir oleh BN,” tegas Dr. Rafie.

    “Sebagai contoh isu air – media perdana BN seperti RTM, TV3, Berita Harian dan Utusan Malaysia menyatakan air bermasalah di Selangor tetapi pada hakikatnya isu air lebih bermasalah di NS. Kualiti air yang bermasalah di NS menyebabkan  orang ramai terpaksa menggunakan alat penapis yang mahal. Tekanan air yang kurang dan adakalanya terhenti khususnya semasa hari-hari perayaan sememangnya menjadi lumrah di NS. Lebih malang lagi, banyak tempat di negeri-negeri di bawah pentadbiran BN termasuk negeri PM sendiri iaitu Pahang, masih ada yang tidak mendapat bekalan air paip,” ulas Dr. Rafie. Namun olehkerana peranan media yang didominasi oleh BN maka segala yang buruk ditonjolkan di negeri-negeri di bawah PR walaupun sebenarnya negeri-negeri di bawah PR lebih cemerlang prestasinya.

    “Saya berkeyakinan dengan barisan kepimpinan PR yang mantap di NS yang akan diketengahkan dalam PRU13 ini, kemenangan PR di NS akan membawa kepada kemajuan dinegeri ini. Selama lebih 55 tahun BN mentadbir NS tetapi malangnya walaupun terletak berhampiran Lembah Kelang dan berdekatan dengan lapangan terbang utama negara - KLIA dan pelabuhan utama negara – Pelabuhan Kelang tetapi amat menyedihkan kerana kesemua MB NS sebelum ini gagal melonjakkan ekonomi di negeri ini,” hujah Dr. Rafie.

    “Kegagalan BN mengembangkan ekonomi di NS berpunca kerana Umno/BN telah berpenyakit dan penyakit mereka adalah barah yang berkait dengan salahguna kuasa dan rasuah. Kita lihat saja pelbagai kes yang melibatkan wakil-wakil rakyat mereka seperti ADUN Lenggeng, ADUN Seri Menanti dan ramai lagi. Yang lebih parah yang menjadi amalan BN ialah yang terbukti terbabit rasuah seperti Isa Samad maka yang itulah yang diagongkan oleh mereka semula. Ini bermakna rasuah dan Umno/BN tidak boleh dipisahkan, maka sebab itu rakyat perlu menolak mereka dan memberi peluang kepada PR mentadbir NS selepas PRU13 ini,” tegas Dr. Rafie.