Thursday, March 28, 2013

BR1M 2 – RM500 menjadi gula-gula pilihanraya Barisan Nasional

Rakyat berhak memperolehi lebih dari RM500 setahun

      Di dalam kegairahan pemimpin-pemimpin Umno/BN menyerahkan BR1M 2 yang bernilai RM500 ketika ini, rakyat tidak sewajarnya melupakan bahawa kroni Umno, Tan Sri Tajudin Ramli dapat RM589 juta sedangkan rakyat berpendapatan rendah sekadar hanya mendapat RM1,000 setelah dicampur BR1M 1 dan BR1M 2 semenjak 55 tahun Umno/BN memerintah negara. Pada Februari 2012, pengurusan Danaharta Nasional Bhd telah melupuskan hutang Tajudin sebanyak RM589 juta sebagai sebahagian daripada penyelesaian luar mahkamah yang dicapai dengan beberapa syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Hutang kroni jutaan ringgit boleh dilupus, tetapi PTPTN untuk pelajar tidak boleh dilupus
     Dengan segala riuh rendah yang tidak terkawal, rakyat berpendapatan rendah digula-gulakan dengan hanya RM500 untuk buat kali kedua tetapi rakyat tidak lupa bahawa hartawan Tajudin Ramli telah memperolehi sebesar RM589 juta diberikan percuma kepadanya oleh pentadbiran Umno/BN. Malahan sehingga hari ini hutang RM250 juta yang diberi kepada keluarga keluarga Ketua Wanita Umno Malaysia masih juga belum berbayar. Kesemua wang ini adalah wang yang diperolehi dari titik peluh rakyat dan bukannya wang hak milik Umno/BN.
Hingga kini RM250 juta yang diserah kepada NFC masih tidak diserah semula kepada negara
          Jelas kerajaan pimpinan Umno/BN hanya mengutamakan kroni-kroni mereka sedangkan nilai RM500 yang diberi amat kecil untuk menampung kesukaran rakyat dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup yang amat tinggi ketika ini. Kos nilai wang ketara amat merosot hari demi hari dan dari tahun ke setahun yang lain. Peningkatan pendapatan rakyat amat kecil berbanding dengan peningkatan harga kos barangan.
Nilai harga wang semakin menurun dari tahun ke setahun
 
     Malangnya, pentadbiran Umno/BN gagal melihat permasalahan rakyat dan dalam masa yang sama dana negara secara sewenang-wenangnya dibazirkan untuk kroni-kroni mereka. Pelbagai skandal yang melibatkan ribuan juta ringgit berlaku di bawah pentadbiran mereka seperti skandal Port Klang Free Zone (PKFZ) yang bernilai lebih dari RM12 bilion, skandal tukaran wang asing (Bank Negara Forex Scandal) yang mengakibatkan kehilangan RM30 bilion dan pelbagai skandal lain seperti Scorpene, Perwaja, dan lain-lain yang bernilai ribuan juta ringgit.
Salahguna kuasa amat berleluasa di bawah pentadbiran Barisan Nasional
Skandal tukaran wang asing dianggarkan bernilai RM30 bilion
     Pemberian RM500 kepada rakyat amat kecil berbanding dengan pembaziran yang dilakukan oleh pimpinan Umno/BN yang telah memberi puluhan atau ratusan atau ribuan juta ringgit kepada individu-individu terpilih dikalangan mereka. Kekayaaan negara gagal diagihkan secara tidak adil dan secara tidak saksama oleh pemimpin-pemimpin yang korup di negara ini yang sekarang bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan mereka di dalam PRU ke 13 yang akan datang ini.
     Media-media perdana Umno/BN samada media cetak mahupun elektronik memperbesar-besarkan berita kononnya pimpinan Umno/BN cukup berjasa kepada rakyat dengan menyumbang RM500 yang sedang giat dilakukan mereka sekarang ini. Malahan pimpinan politik ini mengambil kesempatan untuk mengadakan ceramah-ceramah kepada orang ramai sebelum RM500 di dalam BR1M 2.0 ini diserahkan kepada orang ramai. Hakikatnya rakyat berhak mendapat lebih dari RM500 setahun dan pimpinan Umno/BN gagal menyalurkan nilai sebenar hak rakyat dalam pengagihan harta kekayaan negara.