Sunday, March 24, 2013

Isma Memutuskan Untuk Bertanding Di Parlimen Seremban


    Ikatan Muslim Malaysia (Isma) telah memutuskan untuk bertanding di Parlimen Seremban dan mereka akan menggunakan lambang Parti Berjasa. Isma adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan penggunaan lambang Berjasa membayangkan dasar mereka yang cenderung untuk bersama Umno  dan mereka juga telah menjelaskan bahawa mereka tidak akan bertanding di mana-mana DUN atau Parlimen yang Umno akan bertanding.

    Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) ialah sebuah parti politik yang diasaskan oleh Dato' Haji Muhamed bin Nasir, bekas Menteri Besar Kelantan, pada tahun 1977 ketika beliau dipecat oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Pemecatan Mohamed Nasir disebabkan sebahagiannya oleh krisis dalam parti campuran Barisan Nasional. Ketika itu, PAS adalah sebuah parti komponen dalam parti campuran ini. Akhirnya PAS menarik diri daripada Barisan Nasional dan hilang penguasaan negeri Kelantan ketika Berjasa membentuk kerajaan gabungan dengan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno).

    Berjasa bersekongkol dengan Umno untuk mempertahankan gabungan bersama BN untuk mentadbir Kelantan setelah PAS menolak hubungan dengan Umno/BN pada ketika itu. Pada tahun 1978, Berjasa menyertai pilihanraya umum dengan bekerjasama dengan BN. Dalam keputusan Pilihanraya Umum pada masa itu, Berjasa memenangi 11 kerusi DUN dan membentuk kerajaan bersama dengan UMNO/BN dimana Allahyarham Tan Sri Mohammad Nasir dilantik sebagai Senator menjawat Menteri Kabinet di Jabatan Perdana Menteri. Pilihanraya Umum pada 1982, sekali lagi Berjasa berjaya membentuk kerajaan bersama dengan Barisan Nasional dan menjadi salah satu parti komponen dalam BN.

    Persoalannya mengapa Isma yang kononnya ingin menonjolkan calon-calon yang Islamik memilih Parti Berjasa yang bersekongkol dengan Umno? Ini adalah kerana jelas mereka juga bersekongkol dengan Umno. Walaupun mereka menyatakan bahawa mereka kononnya Islamik dan ramai diantara mereka lulusan belajar dari Timur Tengah tetapi mengabungkan diri mereka dengan sebuah parti yang korup dan bergelumang dengan salahguna kuasa adalah menyalahi dasar prinsip yang sewajarnya.

    Lebih malang, dalam kempen mereka, mereka berusaha untuk memburukkan PAS dan Parti Keadilan Rakyat yang membabitkan 3 DUN di Seremban iaitu Lenggeng, Sikamat dan Ampangan. Ini bermakna mereka berhasrat secara tidak langsung untuk memenangkan Umno dikerusi-kerusi berkenaan. Walaupun mereka mengetahui bahawa sukar untuk mereka memenangi Parlimen Seremban yang ditandingi DAP dan MCA yang mewakili BN tetapi yang jelas sudah cukup kepada mereka jika MCA memenangi Parlimen Seremban dan akhirnya mengagalkan kewujudan sebuah kerajaan Pakatan Rakyat.

    Mengulas perkara ini, Dr. Badrulamin Bahron menjelaskan bahawa menyokong DAP bererti menyokong sebuah gabungan yang menolak sebuah barisan (BN) yang rasuah dan salahguna kuasa. Gabungan Keadilan-PAS-DAP akan melahirkan sebuah negara yang berprinsipkan nilai-nilai kebenaran dan keadilan maka adalah menjadi kewajipan untuk kita menolak Isma dan mengundi DAP kerana Isma bersekongkol dengan Umno-MCA-MIC yang jelas akan merosakkan masa depan negara. Kita tidak sewajarnya dikelirukan dengan kononnya identiti Islam Isma kerana mengundi Berjasa yang mewakili Isma bermakna kita akan memenangkan Barisan Nasional dan ini bermakna kita mengekalkan kemungkaran Umno/BN di negara ini yang bakal merosakkan masa depan rakyat dan negara dengan lebih parah di masa yang akan datang.