Sunday, March 24, 2013

Musa Hitam Akui Dasar PR Tidak Akan Membankrapkan Negara


    Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam mengakui Pakatan Rakyat mampu mentadbir negara dengan baik dan tidak akan menjadikan negara ini bankrap, jika berjaya mengambilalih tampuk pemerintahan daripada BN selepas PRU13 nanti. Malah, beliau menegaskan, tidak adil menganggap negara akan bankrap jika pembankang berjaya memerintah negara, sebaliknya Pakatan pasti akan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan negara berkembang dengan baik.

    Menurutnya, perkara penting yang perlu diberikan perhatian oleh semua pihak adalah memberikan gambaran baik terhadap ekonomi negara supaya mampu menarik pelabur. Musa berkata, jika Pakatan memerintah, mereka tidak akan membuat pelabur dari luar negara lari, malah mereka tidak akan bertindak demikian dan membuat ekonomi bankrap.

    “Itu kenyataan politik, bagi pendapat saya tidak. Malah saya telah ulas perkara ini secara terbuka, termasuk kepada pihak bank dan orang luar. Ini adalah pendapat dan pendirian peribadi saya,” katanya. Musa menegaskan hal ini dalam wawancara Sinar Harian pada 13 Mac lalu, bagi mengulas dakwaan pemimpin Umno/BN yang menuduh negara akan bankrap jika Pakatan Rakyat memerintah selepas PRU13 nanti.

    Beliau menegaskan, Pakatan tidak akan melakukan tindakan yang boleh menyebabkan negara bankrap jika dapat memerintah negara nanti, sebaliknya gabungan itu pasti mahu terus kekal sebagai pilihan rakyat dalam pilihanraya akan datang. “Ini harapan mereka. Itu sebab mereka masuk pilihanraya. Mereka akan kata, kami yang terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat. Jika anda menerima konsep demokrasi, maka anda tidak akan kata pihak lain akan membuat negara bankrap,” tegasnya.

    Menyentuh tentang is pencerobohan tentera Sulu di Lahad Datu, Musa berkata, isu itu tidak wajar diambil mudah seperti isu lain kerana ia berbeza dengan isu-isu lain. Katanya, kerajaan Umno-BN perlu mengkaji dengan lebih mendalam serta melihat isu itu dengan lebih jauh dan tidak harus ditangani seperti dahulu menerusi kaedah ketenteraan tanpa mengira kesan sampingannya.

    Sehubungan itu, beliau yang bukanlah agen politik mana-mana pihak mengingatkan semua pihak di negara ini agar jangan mengucapkan syabas terlalu awal atas dakwaan kejayaan “Ops Daulat” kerana isu tersebut adalah isu yang belum pernah berlaku di negara ini. “Isu ini bukan hanya perang menembak, (tetapi) peperangan psikologi. Apa yang kita boleh buat dengan mereka (pengganas) kerana mereka ada di sana. Jika isu ini jadi negatif dan anggap semua orang Sulu adalah musuh, anda akan menghadapai masalah, kerana mereka sudah ada di sana,” ujarnya sambil melahirkan kekhuatirannya dengan isu itu menjadi serius.