Monday, March 18, 2013

Kementerian Pertahanan Lubuk Pemimpin BN Mengkayakan Diri

Zefry Dahalan – Free Malaysia Today
    SEREMBAN: Didalam ceramah umum isu penyelewengan BN di dalam ketenteraan di sebelah Surau Hitam di Ampangan pada 17 Mac 2013 baru-baru ini, Dr Mohamad Rafie Abdul Malek menyifatkan pendedahan demi pendedahan berkaitan salahguna kuasa berkaitan ketenteraan membuktikan peruntukkan Kementerian Pertahanan menjadi lubuk untuk pimpinan Barisan Nasional (BN) mengkayakan diri atau kroni mereka.
 
Dr. Mohamad Rafie sedang memberi ucapan
 
    “Contohnya pembelian kapal selam Scorpene, komisyen RM500 juta dibayar kepada Perimekar Sdn Bhd yang dimiliki Abdul Razak Baginda yang mempunyai hubungan yang amat rapat dengan Perdana Menteri Malaysia – Najib Razak. Dalam kes lain, Eurocopter EC275 dibeli pada harga RM190 juta seunit. Brazil membeli model yang sama dengan harga hanya RM82 juta. Jelas kerajaan beli dengan kos yang lebih mahal iaitu perbezaan sebanyak RM108 juta,” ujar Dr. Mohamad Rafie.
    “Pembelian 257 kereta perisai bernilai sekitar RM29 juta seunit (jumlah RM7.5 billion) sedangkan kereta perisai yang hampir sama iaitu Pandur II, kerajaan Portugal hanya membayar RM4.4 juta seunit dan Pirahan III, kerajaan Switzerland hanya bayar RM3.9 juta seunit,” jelas beliau lagi dalam memberi contoh-contoh salahguna kuasa kepimpinan BN.
    “Untuk rekod, Kementerian Pertahanan diantara penerima belanjawan terbesar bernilai belasan ribu juta ringgit setahun. Untuk tahun 2013, sebanyak RM15.2 billion (RM11.9 billion untuk mengurus dan RM3.2 billion untuk pembangunan) diperuntukkan. Sementara untuk tahun 2012, sebanyak RM13.7 billion (RM10.95 billion untuk mengurus dan RM2.35 billion untuk pembangunan) diperuntukkan,” kata Dr. Mohamad Rafie yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat.
Orang Ramai Tekun Mendengar
 
Sebahagian dari orang ramai yang menghadiri ceramah di bersebelahan Surau Hitam
 
    Hampir 1, 000 orang yang hadir tekun mendengar maklumat dan data yang membabitkan dana milik rakyat jutaan dan ribuan juta ringgit berpindah milik secara tidak sah kepada kepimpinan BN dan kroni mereka. Dr. Mohamad Rafie yang juga merupakan Timbalan Ketua Cabang PKR Seremban berkata, keputusan untuk membeli dibuat menerusi orang politik dan menerusi orang tengah atau syarikat orang tengah.
    “Ini mewujudkan isu ketelusan dam akauntabiliti menjadi persoalan. Atas nama kerahsiaan, perbelanjaan pertahanan diseleweng. Transparency International dalam kajian tahun 2011 membabitkan 93 negara merumuskan ketelusan perbelanjaan pertahanan Malaysia adalah dalam kategori rendah. Rasuah dan salahguna peruntukan bukan sahaja memberbahayakan keselamatan negara tetapi juga anggota pasukan keselamatan kita,” hujah Dr. Mohamad Rafie

 
Caribou DHC-4A ditamatkan perkhidmatan selepas 24 Mei 1999

    “Saya bukan anggota tentera, tetapi semua lelaki lain yang ada dalam keluarga saya berkhidmat dengan tentera termasuk ayah dan abang saya. Pada 24 Mei 1999, pesawat Caribou terhempas di Lapangan Terbang Kuching yang mengorbankan lima perajurit negara. Dalam insiden itu enjin sebelah pesawat Caribou terhenti secara tiba-tiba,” ujar Dr. Mohamad Rafie
    “Pesawat Caribou dibuat oleh syarikat De Havilland, Canada pada tahun 1958. Pada tahun 1966, kerajaan Canada menghadiahkan empat pesawat Caribou kepada kerajaan Malaysia. Di antara tahun 1969 hingga 1973, kerajaan Malaysia menambah bilangan pesawat Caribou dengan pembelian dan akhirnya berjumlah 18 buah keseluruhannya. Setiap peralatan ada usia tua dan adalah tanggungjawab kerajaan untuk memastikan setiap peralatan diselenggara dengan baik atau jika sudah sampai masanya ditukar kepada yang lebih selamat dan baik,” ujar Dr. Mohamad Rafie.
    Dr. Mohamad Rafie memberikan butiran sejarah pesawat Caribou terhempas iaitu seawal 12 Januari 1967, 30 Mac 1970 dan 29 November 1980. Selepas itu pada 25 September 1982 yang mengorbankan tujuh anggota tentera di Kampung Attap, Berinchang, Cameron Highlands dan nahas udara pada 31 Julai 1995 mengorbankan tiga perajurit di Labuan.
 
`Kemalangan’

     “Akhirnya dalam kejadian di Kuching, sebuah pesawat Caribou terhempas mengorbankan Kapten Asri Abdullah, 27 tahun dari Teluk Intan, Perak; Kapten Salleh Abdul Malek, 37 tahun, dari Rembau, Negeri Sembilan; Kapten Mohd Johari Pomin, 34 tahun, dari Tanjung Karang, Selangor; Sarjan Mili Mat, 35 tahun, dari Kuching, Sarawak dan Sarjan Adnan Arifin, 31 tahun, dari Kota Bharu , Kelantan. Setelah berlaku kemalangan ini barulah Kerajaan Malaysia memutuskan untuk menghentikan perkhidmatan Caribou. Ini menjadikan penerbangan jam 1.15 tengahari, 24 Mei 1999 sebagai penerbangan terakhir Caribou di Malaysia,”nyata Dr. Mohamad Rafie
    “Kapten Salleh Abdul Malek adalah abang saya. Kami sekeluarga menerima dan redha dengan kepergian beliau. Cuma apabila kami dimaklumkan oleh juruteknik, kapalterbang Caribou berstatus uzur dengan ketiadaan alat ganti. Alat ganti diambil dari kapalterbang yang tidak terbang. Ini mengesahkan peruntukan kewangan kepada Kementerian Pertahanan walaupun besar tetapi tidak diguna untuk kepentingan keselamatan negara mahupun keselamatan anggota. Mereka abai keselamatan negara dan anggota tentera demi kepentingan ‘perut’ mereka atau ‘perut’ kroni mereka,” tegas Dr. Mohamad Rafie dengan kesal.

Dasar Pakatan Rakyat

    “Justeru itu kita akan memastikan pemimpin Pakatan Rakyat samada dari PKR, PAS mahupun DAP tidak akan terbabit dengan rasuah atau salahguna kuasa. Jika ada diantara mereka melakukan rasuah, salahguna kuasa, mereka akan ditangkap, dibicarakan dan dihukum menurut peraturan yang ditetapkan. Malaysia akan menjadi lebih maju, aman dan rakyat hidup dengan penuh kebahagiaan kerana kepimpinan Pakatan Rakyat mempunyai sahsiah diri yang baik, jujur, amanah dan bertanggungjawab serta berwibawa dan berkebolehan untuk memimpin negara ini. Oleh itu saya menyeru rakyat untuk membuat perubahan pada pilihan raya umum ke-13 dengan memilih calon-calon Pakatan Rakyat demi masa depan negara,” seru Mohamad Rafie.
    Turut berucap dalam ceramah anjuran PKR Seremban malam tadi ialah bekas Timbalan Panglima Angkatan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ghafir Abdul Hamid; bekas Panglima Logistik TUDM, Briged Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab dan Ketua Cabang PKR Seremban, Dr Ahmad Azam Hamzah.