Kain rentang yang mempamerkan aktiviti Keadilan
Ampangan yang menunjukkan bagaimana daifnya rumah kediaman En. Yusof Bin Abdul
Majid di No. 209, Kg. Blok C Ampangan kemudian dibaikpulih Keadilan di bawah
Program Prihatin Rakyat, yang di letakkan di Taman Dusun Nyiur telah mendapat
respon parti lawan yang menambah satu lagi kain rentang “Bertelur Sebiji Riuh
Sekampung”.
Walaupun
tanpa mengguna wang negara yang merupakan cukai dari rakyat, PKR tetap boleh
“bertelur” dan memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara. En. Yusof yang tinggal sebatang kara telah lama
hidup terbiar telah mendapat perhatian pimpinan Keadilan yang turun membantu
secara bergotong-royong.
Bantuan yang dilakukan oleh aktivis Keadilan
Ampangan untuk golongan fakir dan miskin ini bukan merupakan usaha pertama
tetapi malahan lebih dari 35 rumah telah dibaikpulih dalam tempoh 3 tahun
kebelakangan ini sahaja di bawah Program Prihatin Rakyat. Oleh kerana Keadilan
tidak mendapat sebarang peruntukan hasil cukai yang dipungut kerajaan, segala
bantuan ini merupakan sumbangan dari orang ramai yang disalurkan semula kepada
mereka yang memerlukannya. Untuk menjimatkan kos belanja, kesemua usaha ini
dilakukan secara gotong-royong.
Namun oleh kerana tiada media yang menyebarkan
usaha-usaha ini, ramai tidak mengetahui Program Prihatin Rakyat yang dilakukan
oleh Keadilan Ampangan ini. Untuk pertama kalinya usaha ini telah dipamerkan di
kain rentang untuk makluman orang ramai.
Walaupun pelbagai projek prihatin rakyat telah
dijalankan, menjawab sindiran parti lawan, Abdul Malek Adam, Ketua AMK Seremban
menyatakan secara sinis, “Lebih baik telur sebiji dari tak bertelur langsung”.
Sepatutnya permasalahan kesusahan rakyat menjadi perhatian utama parti
pemerintah kerana hasil pendapatan negara yang di pungut menerusi cukai perlu
dikembalikan semula kepada rakyat.
Menambah mengenai perkara ini, Dr. Mohamad Rafie Ab
Malek, Ahli MPP Keadilan menyatakan bahawa, “Polisi PR adalah menjadi
tanggungjawab pemimpin dan agensi kerajaan untuk mencari dan membantu golongan
fakir dan bukan sebaliknya. Kita wajar mencontohi Khalifah Umar Ibn Al Khattab
yang memikul tanggungjawab untuk mencari dan menyelesaikan masalah golongan
yang memerlukan bantuan ini. In shaa Allah, kita akan melaksanakan dasar ini
apabila kita memerintah kelak.”