PENINGKATAN
KOS SARA HIDUP RAKYAT
Akan Menjadi Fokus Tumpuan Utama Kerajaan
Pakatan Rakyat
Kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal untuk
menangani isu peningkatan kos sara hidup rakyat yang saban hari membebankan
rakyat walaupun pelbagai Program Transformasi Kerajaan (GTP) telah dilancarkan
oleh pentadbiran Najib. Bantuan-bantuan yang disalurkan seperti Bantuan Rakyat
1Malaysia (BR1M) yang bernilai RM500 kepada semua isi rumah berpendapatan
RM3,000 sebulan dan ke bawah atau bantuan kewangan RM100 kepada semua pelajar
sekolah rendah dan menengah hanya bersifat “superficial” atau luaran dan tidak
mampu untuk menangani permasalahan sebenar peningkatan kos sara hidup rakyat.
Malahan pemberian kerajaan BN ini lebih
berbentuk “gula-gula politik” yang bertujuan untuk memancing rakyat untuk terus
mengundi BN dalam Pilihanraya Umum ke 13 yang bakal diadakan pada awal tahun
ini. Pemberian BR1M RM500 dan bantuan RM100 untuk anak-anak sekolah bermula
pada tahun 2012 dan tahun ini merupakan tahun kedua ia dilaksanakan setelah
pentadbiran BN merasai bahang kemarahan rakyat yang sudah sekian lama dibebani
dengan kos sara hidup yang tinggi dan dalam masa yang sama peningkatan pendapatan
rakyat amat kecil serta tidak seimbang dengan peningkatan kos sara hidup.
BARISAN NASIONAL GAGAL MENYELESAIKAN
MASALAH RAKYAT
Kegagalan pentadbiran BN menangani
permasalahan rakyat sememangnya sudah diduga kerana kepimpinan mereka
digelumangi dengan salahguna kuasa dan rasuah. Rakyat sudah didedahkan dengan
pelbagai salahlaku pimpinan BN dari projek ternakan lembu NFC yang bernilai
RM250 juta diberi kepada keluarga menteri yang kemudian menggunakan wang
tersebut untuk membeli kondomonium dan kereta mewah sehinggalah penggunaan
RM130 juta wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang hendak diberi
kepada Ketua Wanita UMNO Selangor – Raja Ropiaah Raja Abdullah dan pelbagai
lagi.
Dalam tempohan 12 tahun barang-barang
keperluan meningkat dari 23% ke 260%
“Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) akan mengambil
langkah drastik untuk mengurangkan beban hidup rakyat dengan mengurangkan harga
minyak sebaik sahaja kerajaan baru ditubuhkan selepas PRU ke 13 nanti,” ujar
Dr. Mohamad Rafie Ab Malek, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan
Rakyat. Pengurangan harga minyak sewajarnya memberi kesan rantaian untuk
penurunan semua harga barangan kerana kesemua barangan termasuk barang
keperluan dapur seperti beras, gula, sayur, ikan dan lain-lain menggunakan
pengangkutan sebelum sampai kepada pengguna.
Dr. Mohamad Rafie Ab Malek
Dr. Rafie menegaskan langkah penurunan
harga minyak, memansuhkan tol, menghapuskan PTPTN untuk membolehkan
pembelajaran secara percuma serta penurunan harga kereta adalah merupakan
langkah serta-merta sebelum pimpinan PR mengorak langkah untuk merancang
strategi jangkamasa pendek dan jangkamasa panjang di dalam menyelesaikan
permasalahan beban sara hidup rakyat. Penyelesaian kepada permasalahan rakyat
khususnya peningkatan kos sara hidup akan menjadi agenda utama kerajaan PR sebaik
sahaja kerajaan BN ditumbangkan dalam PRU ke 13 ini.
Pentadbiran PR akan saling dilengkapi
dengan kerjasama pelbagai pakar-pakar termasuk pakar ekonomi, pendidikan untuk
peningkatan kemajuan fizikal dan ahli-ahli agama, budayawan serta alam sekitar
untuk memastikan pembangunan adalah pembangunan seimbang yang mengambil kira
pembangunan fizikal, rohani dan alam sekitar. Pembangunan yang seimbang akan
mengarah kepada pembentukan masyarakat yang maju, aman damai dan bahagia serta
mampu bersaing di dalam dunia yang penuh dengan persaingan. Dr. Rafie menambah,
“Anugerah Allah kepada negara kita dengan bumi yang subur, kekayaan hasil
sumber bumi, lokasi yang strategik serta ketiadaan bencana alam yang ketara dan
rakyat berbilang kaum yang serba berkebolehan akan dimanafaatkan sepenuhnya
untuk melonjakkan Malaysia di arena antarabangsa.”
Ciri-ciri pentadbiran yang baik
“Kerajaan PR akan menampilkan
pemimpin-pemimpin yang berwibawa, berkelayakan dan yang paling penting
mempunyai saksiah diri yang baik iaitu bersifat amanah dan jujur dengan tahap
“good governance” atau pentadbiran yang baik,” tambah Dr. Rafie. Beliau
menyatakan kesemua lapan ciri-ciri pentadbiran yang baik akan menjadi landasan
panduan di dalam pentadbiran kerajaan PR iaitu “partipation” atau partisipasi
semua peringkat rakyat, “rule of law” atau peraturan undang-undang,
“transparency” atau ketelusan, “responsiveness” atau bertindak segera menurut
jangkamasa yang sepatutnya, “consensus oriented” atau berorientasi persetujuan
majoriti, “equity and inclusiveness” atau kesaksamaan dan kebersamaan,
“effectiveness and efficiency” atau cekap dan berkesan dan “accountability”
atau kebertanggungjawaban.
“Pentadbiran PR berlandaskan kepada
prinsip-prinsip yang jelas yang akan memandu kearah kepentingan dan kebajikan
rakyat. Pemimpin rasuah dan salahguna kuasa tidak akan mempunyai tempat di
dalam PR. Pendidikan akan menjadi agenda utama kerajaan PR kerana rakyat yang
bermaklumat akan memangkinkan kemajuan negara dan di dalam masa yang sama
rakyat akan memastikan hanya pemimpin-pemimpin yang benar-benar layak
diketengahkan untuk menerajui negara ini,” tegas Dr. Rafie