Adakah benar orang Melayu akan hilang kuasa dan
kedudukan agama Islam akan tergugat apabila kerajaan Pakatan Rakyat menang di
Negeri Sembilan? Isu ini telah diwarwarkan oleh pemimpin BN untuk merayu
orang-orang Melayu untuk menolak calon-calon PR khususnya calon-calon PAS dan
Keadilan.
Hakikatnya, kesemua lawan kepada calon UMNO adalah
orang Melayu/Islam dan malahan jika kita nilai secara terperinci, Parti
Keadilan Rakyat dan PAS akan mengetengahkan calon-calon yang bermaruah dan
berwibawa. Malahan entiti calon-calon PR ini lebih Islamik dan lebih Melayu di
atas dasar perjuangan mereka untuk membela nasib orang Melayu yang sekarang
jauh tertinggal di dalam pelbagai bidang berbanding dengan pemimpin-pemimpin
UMNO yang sedia ada.
Pemimpin-pemimpin PAS dan Keadilan majoritinya
boleh menjadi imam di dalam solat berjamaah samada di surau-surau atau di
masjid-masjid. Kecintaan mereka kepada Islam dan terdidik di dalam kekeluargaan
Melayu yang kuat mendorong mereka untuk membabitkan diri di dalam politik.
Justeru dasar prinsip perjuangan mereka adalah sebagai ibadat kepada Allah dan
bukannya untuk kepentingan peribadi untuk merebut kuasa yang kemudian
mengkayakan diri dan keluarga.
Mengulas isu Melayu hilang kuasa jika PR tadbir NS,
Pengerusi DAP NS, YB Anthony Loke menegaskan bahawa DAP tidak pernah
mempersoalkan kedudukan orang Melayu/Islam sebagai Menteri Besar NS.
Ujar beliau, “DAP hanya bertanding 11 kerusi berbanding
dengan keseluruhan 36 kerusi DUN di NS dan majoriti kerusi DUN iaitu 22 kerusi
atau lebih dari 60% akan ditandingi dan diduduki oleh pemimpin-pemimpin
Melayu/Islam.”
Malahan lebih menarik, kedudukan Melayu lebih
mantap di bawah PR. Sebagai contoh, kerusi Parlimen Telok Kemang yang menjadi
kerusi MIC atau bukan Melayu di bawah BN ditandingi oleh wakil Melayu dari
Keadilan. Ini bukan sahaja berlaku di NS tetapi di seluruh negara seperti
kerusi Parlimen Bandar Tun Razak, Kuantan dan lain-lain.
Di dalam kejadian terbaru, kain rentang aktiviti
program PKR di rentap dan di koyakkan yang dilakukan dipercayai dari ahli parti
lawan. Parti lawan mula merasa gusar dan bimbang apabila menyedari bahawa
rakyat telah mula memahami bahawa perubahan perlu dilakukan demi masa depan
negara. Pilihanaraya Umum ke 13 adalah masa yang paling sesuai untuk menukar
kerajaan sedia ada kepada Kerajaan Pakatan Rakyat. Justeru mereka berusaha
sedaya upaya untuk menyekat maklumat berkaitan PR sampai kepada masyarakat.