Tuesday, April 2, 2013

PEMBERIAN RM100 UNTUK PELAJAR-PELAJAR SEKOLAH

Pemimpin UMNO/BN mengambil kesempatan untuk berpolitik

     Pemimpin-pemimpin UMNO/BN mengambil kesempatan untuk berpolitik apabila mereka memaksa pihak sekolah menjemput mereka untuk menyerahkan bantuan persekolahan RM100 kepada ibu-bapa pelajar-pelajar sekolah. Dalam kejadian terbaru, sebuah sekolah swasta di Seremban telah menjemput ibu-bapa untuk menghadiri sesi Majlis Sempena Penyerahan RM100 yang akan dihadiri oleh Menteri Besar NS – Mohamad Hasan.

     Majlis-majlis seperti ini mengesahkan bahawa pemberian RM100 untuk anak-anak sekolah adalah “gula-gula politik” yang bertujuan untuk merasuah rakyat supaya menyokong mereka mengekalkan kuasa di dalam pilihanraya yang akan datang ini. Seandainya mereka ikhlas untuk membantu rakyat mengurangkan kos bebanan peningkatan kos sara hidup, mereka sepatutnya merangka sistem yang membolehkan ibu-bapa mendapat terus bantuan tanpa perlunya majlis-majlis politik seperti ini.
      Sebagai contoh, bantuan boleh diberi menerusi cek kepada ibu-bapa atau ibu-bapa boleh mengambil wang secara tunai pada bila-bila masa mereka kelapangan dari pihak sekolah. Selaku pimpinan politik, pimpinan UMNO/BN gagal memahami bahawa majlis-majlis yang bersifat politik ini akan meningkatkan kos kepada ibu-bapa pelajar-pelajar sekolah terbabit. Kos pengangkutan ibu-bapa ke sekolah hanya untuk majlis seperti ini perlu di ambil kira. Jika wang diterima RM100 kemungkinan nilai sebenar hanya RM90 setelah ditolak kos kenderaan pergi-balik ibu-bapa berkenaan ke sekolah.
     Kehilangan masa produktif waktu bekerja ibu-bapa juga perlu diambil kira. Di dalam kes ini, majlis diadakan pada jam 1.45 petang, 17 Januari 2013 (Khamis) iaitu pada hari bekerja. Untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang produktif dan mampu bersaing di arena antarabangsa, kehilangan waktu kerja puncak kerana majlis-majlis politik perlu dielakkan. Malangnya, pemimpin-pemimpin UMNO/BN gagal untuk berfikir selaku “pemimpin” dan mereka hanya mengutamakan kepentingan politik untuk terus kekal berkuasa.