Monday, April 1, 2013

TANAH RUNTUH DI AMPANGAN

Mengapa kerajaan NS pimpinan Mohamad Hasan masih gagal mengambil tindakan?

     Beberapa kawasan di Ampangan telah mengalami tanah runtuh yang agak kritikal iaitu di Taman Bukti, Taman Bukit Klana dan Taman Dato Shahbandar. Namun sehingga kini tiada tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa untuk membaikpulih kawasan yang terbabit. Keadaan ini meresahkan penduduk setempat yang mempersoalkan mengapa kerajaan NS yang ditadbir oleh BN masih tidak bertindak walaupun mereka telah maklum mengenai permasalahan ini.
Tanah runtuh di Taman Bukti telah berlaku semenjak tahun 2011 dan pihak berkuasa tempatan hanya meletakkan kain kanvas


     Menteri Besar NS Mohamad Hasan pada awal Januari 2013 telah melawat kawasan tanah runtuh di Taman Bukti. Lebih memeranjatkan tanah runtuh ini telah mula berlaku semenjak tahun 2011 dan kini menjadi lebih kritikal ekoran hujan lebat pada bulan Disember 2012 baru-baru ini. Namun sehingga kini masih tiada tindakan untuk memperbaiki tanah runtuh yang berkedudukan amat berhampiran dengan jalan utama di taman berkenaan. Lawatan tanpa usaha segera untuk mengatasi masalah ini tidak membawa makna apa-apa, ujar Dr. Ahmad Azam Hamzah, Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Seremban.

Dr. Ahmad Azam Hamzah
 
     “BN adalah pentadbir kerajaan negeri dan mereka bertanggungjawab jika berlaku sebarang malapetaka yang boleh mengorbankan nyawa manusia dan kerosakan harta-benda akibat kelambatan mereka mengambil tindakan membaikpulih tanah-tanah runtuh berkenaan.” nyata Dr. Azam. Beliau menegaskan kerajaan baru PR akan memastikan segala permasalahan rakyat seperti permasalahan tanah runtuh ini akan diambil tindakan segera.
     Manakala di Taman Dato Shahbandar,  sekurang-kurangnya empat keluarga di sini hidup dalam keresahan apabila kejadian tanah runtuh merosakkan dua daripada empat rumah tersebut berlaku pada jam 7.15 malam, 2 November 2012 yang lepas. Rumah yang paling banyak mengalami kerosakan ialah rumah milik En. Nasir Abdul Jalil, 33, apabila bahagian dapur dihempap dengan bongkah batu dan diliputi dengan tanah akibat kejadian tanah runtuh tersebut.
YB John Fernandez, Ahli Parlimen Seremban menunjukkan kawasan ta
runtuh di Taman Dato Shahbandar

     Lebih malang lagi, Majlis Perbandaran Seremban hanya membekalkan kain-kain rentang “banner” yang dirampas mereka untuk digunakan menutup kawasan tanah runtuh berkenaan. Kain-kain rentang yang dibekalkan juga tidak mencukupi kerana sebahagian besar tanah runtuh tersebut masih terdedah begitu sahaja. Sebarang pergerakan tanah akibat aliran air akan boleh menyebabkan rumah-rumah bersebelahan rumah En. Nasir Abdul Jalil berada dalam keadaan yang cukup merbahaya.
     Kawasan permainan kanak-kanak di Taman Bukit Klana pula rosak teruk akibat tanah runtuh yang berlaku pada bulan Oktober 2012. Menurut En. Khirul, salah seorang penduduk di kawasan kejadian, “Sehingga kini, sudah 5 laporan dibuat kepada pihak berkuasa khususnya Majlis Perbandaran Seremban tetapi malangnya sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa.”
Kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Klana telah meranapkan sebahagian besar padang permainan kanak-kanak
     Setakat ini, pihak berkuasa tempatan hanya meletakkan talian rentang kuning dan ini amat membimbangkan penduduk setempat kerana bermacam-macam perkara tidak dingini yang boleh membahayakan keselamatan penduduk khususnya kanak-kanak di taman ini. Usaha-usaha yang di ambil di lihat hanya tindakan “ala kadar” tanpa sebarang usaha serius memperbaiki masalah tanah runtuh ini.
           “Jelas pentadbiran BN tidak cekap yang menyebabkan kos pembaikan akan menjadi lebih besar kerana mereka lambat bertindak. Kos pembaikan sudah pasti lebih kurang jika usaha pembaikan dilakukan lebih awal sebelum tanah runtuh tersebut merebak lebih luas sehingga jalanraya yang berhampiran,” tegas Dr. Azam. Faktor kecekapan pengurusan yang mengambil tindakan segera boleh mengurangkan kos perbelanjaan dan ia juga mengurangkan risiko kemalangan yang boleh berlaku kerana tempoh masa permasalahan tanah runtuh lebih pendek. Mereka gagal memahami bahawa wang negara yang diamanahkan kepada mereka untuk diuruskan datangnya dari rakyat. Kelemahan pengurusan menyebabkan ketirisan belanjawan negara yang akhirnya merugikan rakyat dan negara, jelas Dr. Azam.