Saya terpanggil untuk membuat penjelasan ini kerana
saya menerima bertalu-talu sms, email, telefon dan pelbagai cara lagi
menanyakan kedudukan saya sebagai calon Keadilan di DUN Ampangan. Pelbagai
soalan ditanya berkisarkan bagaimana perkara ini boleh berlaku kerana semua
kenalan dan masyarakat setempat mengetahui selama lebih dari 3 tahun saya
mendampingi masyarakat setempat di Ampangan setelah menerima amanah dari rakan
pimpinan dan akar umbi Cabang Keadilan Seremban.
Harapan saya, penjelasan terbuka ini akan meredakan
keadaan dan saya tidak dipersalahkan kerana tidak mengambil amanah untuk
memikul tanggungjawab untuk memimpin di Ampangan. Apa yang berlaku, dua hari
sebelum penamaan calon 20 April 2013 iaitu pada 18 April 2013, saya telah
dihubungi oleh pemimpin teratas parti menyatakan bahawa parti telah membuat
keputusan untuk menjadikan Kamarul Baharin Bin Abbas sebagai Menteri Besar
Negeri Sembilan dan saya mesti memberi laluan kepada beliau kerana Ampangan
dianggap sebagai “kerusi selamat” untuk Parti Keadilan Rakyat.
Saya kemudian ditawarkan untuk bertanding di
kerusi P131 Parlimen Rembau. Saya
menolak untuk bertanding di Rembau kerana walaupun saya dilahirkan di Rembau
tetapi lebih dari 25 tahun iaitu lebih separuh dari usia saya, saya berada di
Seremban dan saya tidak pernah mengambil inisiatif serius untuk berkhidmat di
Rembau secara khusus. Saya melihat memimpin sebagai tanggungjawab bukan untuk
setakat berseronok bergelar pemimpin dan ia memerlukan pendampingan akrab bersama
masyarakat setempat.
Kira-kira 20 jam sebelum penamaan calon iaitu
sekitar jam 11.00 pagi 19 April 2013, saya dihubungi sekali lagi pimpinan
teratas parti untuk menawarkan saya untuk bertanding di DUN N13 Sikamat. Saya
lantas bertanya bagaimana kedudukan Sdr. Aminuddin Haron, penyandang sedia ada.
Saya dimaklumkan bahawa untuk memberi laluan kepada saya, Sdr. Aminuddin Haron terpaksa
digugurkan. Saya menjelaskan kepada mereka bahawa saya masuk bertanding bukan
dengan cara menghampakan rakan seperjuangan saya dan saya redha untuk tidak
bertanding jika itu keadaannya. Maka akhirnya, saya tidak dicalonkan di
mana-mana kerusi di dalam PRU13 ini.
Saya juga ingin memberi penjelasan bahawa dalam
kempen yang sedang dijalankan maruah saya juga cuba dicemarkan dengan
fitnah bahawa saya tidak bertanding kerana kononnya saya ada mencuri wang parti
iaitu sebanyak RM8,000 – wang deposit pilihanraya semasa saya bertanding
mewakili Parti Keadilan Nasional di N14 Ampangan pada PRU11 tahun 2004 (dan itu
mungkin sebabnya saya ada sedikit harta sekarang ini…) dan kononnya juga saya
tidak memberi penghormatan kepada Cikgu Rashid Latiff selaku penyandang ADUN
Ampangan. Saya ingin menjelaskan bahawa Cikgu Rashid Latiff tidak pernah
menghadiri mesyuarat Keadilan Cabang Seremban sejak beberapa tahun kebelakangan
ini dan pimpinan cabang termasuk saya sudah beberapa kali menasihatkan beliau
untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab selaku ADUN di Ampangan. Malangnya
Cikgu Rashid tidak memperduli semua nasihat ini dan terus gagal untuk
berkhidmat walaupun dengan hanya hadir dipejabat ADUN beliau sendiri.
Saya juga dimaklumkan bahawa dalam kempen ini, saya
kononnya juga telah dibayar segala kos yang pernah saya keluarkan sepanjang
perkhidmatan saya di DUN Ampangan. Saya ingin menafikan tuduhan bahawa saya
pernah menerima sebarang bayaran dan calon yang dicalonkan juga tidak pernah
datang berjumpa saya selepas beliau dicalonkan. Secara jelas, penolakan calon
ini oleh petugas dan jentera parti sedia ada adalah secara spontan dan tanpa
sebarang pengarahan. Malahan apabila papan tanda Bilik Gerakan Utama Keadilan
Ampangan diturunkan, saya sendiri mengarahkan ia dipasang semula namun mereka
sehingga kini tidak mahu memasangnya semula. Sayugia diingat semua petugas dan
jentera berkhidmat secara sukarela dan bukan dengan habuan wang ringgit maka
justeru itu mereka menyatakan bahawa mereka berhak untuk sama-sama membuat
keputusan di dalam parti ini.
Saya juga ingin menegaskan bahawa saya redha dan
tawakkal atas segala keadaan yang berlaku namun saya wajib untuk mempertahankan
maruah diri saya dari dicemarkan sebagai salah satu kaedah didalam Maqasid
Shariah. Saya juga ingin menyatakan bahawa saya tetap bersama didalam Parti
Keadilan Rakyat walaupun ada sedikit kepincangan yang perlu diperbetulkan.
Apatah lagi, saya adalah salah seorang pengasas utama parti yang
bertanggungjawab melahirkan parti ini pada tarikh sejarah 4 April 1999. Justeru
perjuangan akan tetap diteruskan samada saya mempunyai kedudukan atau tidak di
dalam parti ini. Agenda perubahan untuk memastikan kebenaran dan keadilan yang
memacu dan menjana kemenangan rakyat akan tetap menjadi perjuangan saya.
InsyaAllah…