Tuesday, April 2, 2013

Bertelur Sebiji Riuh Sekampung?

Kain rentang yang mempamerkan aktiviti Keadilan Ampangan yang menunjukkan bagaimana daifnya rumah kediaman En. Yusof Bin Abdul Majid di No. 209, Kg. Blok C Ampangan kemudian dibaikpulih Keadilan di bawah Program Prihatin Rakyat, yang di letakkan di Taman Dusun Nyiur telah mendapat respon parti lawan yang menambah satu lagi kain rentang “Bertelur Sebiji Riuh Sekampung”.
 
Walaupun tanpa mengguna wang negara yang merupakan cukai dari rakyat, PKR tetap boleh “bertelur” dan memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara. En. Yusof yang tinggal sebatang kara telah lama hidup terbiar telah mendapat perhatian pimpinan Keadilan yang turun membantu secara bergotong-royong.
 
Bantuan yang dilakukan oleh aktivis Keadilan Ampangan untuk golongan fakir dan miskin ini bukan merupakan usaha pertama tetapi malahan lebih dari 35 rumah telah dibaikpulih dalam tempoh 3 tahun kebelakangan ini sahaja di bawah Program Prihatin Rakyat. Oleh kerana Keadilan tidak mendapat sebarang peruntukan hasil cukai yang dipungut kerajaan, segala bantuan ini merupakan sumbangan dari orang ramai yang disalurkan semula kepada mereka yang memerlukannya. Untuk menjimatkan kos belanja, kesemua usaha ini dilakukan secara gotong-royong.
 
Namun oleh kerana tiada media yang menyebarkan usaha-usaha ini, ramai tidak mengetahui Program Prihatin Rakyat yang dilakukan oleh Keadilan Ampangan ini. Untuk pertama kalinya usaha ini telah dipamerkan di kain rentang untuk makluman orang ramai.
 
Walaupun pelbagai projek prihatin rakyat telah dijalankan, menjawab sindiran parti lawan, Abdul Malek Adam, Ketua AMK Seremban menyatakan secara sinis, “Lebih baik telur sebiji dari tak bertelur langsung”. Sepatutnya permasalahan kesusahan rakyat menjadi perhatian utama parti pemerintah kerana hasil pendapatan negara yang di pungut menerusi cukai perlu dikembalikan semula kepada rakyat.
 
Menambah mengenai perkara ini, Dr. Mohamad Rafie Ab Malek, Ahli MPP Keadilan menyatakan bahawa, “Polisi PR adalah menjadi tanggungjawab pemimpin dan agensi kerajaan untuk mencari dan membantu golongan fakir dan bukan sebaliknya. Kita wajar mencontohi Khalifah Umar Ibn Al Khattab yang memikul tanggungjawab untuk mencari dan menyelesaikan masalah golongan yang memerlukan bantuan ini. In shaa Allah, kita akan melaksanakan dasar ini apabila kita memerintah kelak.”


Melayu hilang kuasa kalau PR menang di NS?

 
Adakah benar orang Melayu akan hilang kuasa dan kedudukan agama Islam akan tergugat apabila kerajaan Pakatan Rakyat menang di Negeri Sembilan? Isu ini telah diwarwarkan oleh pemimpin BN untuk merayu orang-orang Melayu untuk menolak calon-calon PR khususnya calon-calon PAS dan Keadilan.

Hakikatnya, kesemua lawan kepada calon UMNO adalah orang Melayu/Islam dan malahan jika kita nilai secara terperinci, Parti Keadilan Rakyat dan PAS akan mengetengahkan calon-calon yang bermaruah dan berwibawa. Malahan entiti calon-calon PR ini lebih Islamik dan lebih Melayu di atas dasar perjuangan mereka untuk membela nasib orang Melayu yang sekarang jauh tertinggal di dalam pelbagai bidang berbanding dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang sedia ada.

Pemimpin-pemimpin PAS dan Keadilan majoritinya boleh menjadi imam di dalam solat berjamaah samada di surau-surau atau di masjid-masjid. Kecintaan mereka kepada Islam dan terdidik di dalam kekeluargaan Melayu yang kuat mendorong mereka untuk membabitkan diri di dalam politik. Justeru dasar prinsip perjuangan mereka adalah sebagai ibadat kepada Allah dan bukannya untuk kepentingan peribadi untuk merebut kuasa yang kemudian mengkayakan diri dan keluarga.

Mengulas isu Melayu hilang kuasa jika PR tadbir NS, Pengerusi DAP NS, YB Anthony Loke menegaskan bahawa DAP tidak pernah mempersoalkan kedudukan orang Melayu/Islam sebagai Menteri Besar NS.

Ujar beliau, “DAP hanya bertanding 11 kerusi berbanding dengan keseluruhan 36 kerusi DUN di NS dan majoriti kerusi DUN iaitu 22 kerusi atau lebih dari 60% akan ditandingi dan diduduki oleh pemimpin-pemimpin Melayu/Islam.”

Malahan lebih menarik, kedudukan Melayu lebih mantap di bawah PR. Sebagai contoh, kerusi Parlimen Telok Kemang yang menjadi kerusi MIC atau bukan Melayu di bawah BN ditandingi oleh wakil Melayu dari Keadilan. Ini bukan sahaja berlaku di NS tetapi di seluruh negara seperti kerusi Parlimen Bandar Tun Razak, Kuantan dan lain-lain.

Di dalam kejadian terbaru, kain rentang aktiviti program PKR di rentap dan di koyakkan yang dilakukan dipercayai dari ahli parti lawan. Parti lawan mula merasa gusar dan bimbang apabila menyedari bahawa rakyat telah mula memahami bahawa perubahan perlu dilakukan demi masa depan negara. Pilihanaraya Umum ke 13 adalah masa yang paling sesuai untuk menukar kerajaan sedia ada kepada Kerajaan Pakatan Rakyat. Justeru mereka berusaha sedaya upaya untuk menyekat maklumat berkaitan PR sampai kepada masyarakat.

PR tadbir Negeri Sembilan/Putrajaya, nasib rakyat akan terbela

Pakatan Rakyat (PR) yakin, berdasarkan pengalaman kerajaan-kerajaan negeri PR seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, nasib rakyat akan lebih terbela dan perkembangan ekonomi akan lebih pesat berkembang apabila NS dan Putrajaya ditadbir kerajaan Pakatan Rakyat. Menurut laporan Ketua Audit Negara, negeri-negeri PR adalah diantara negeri-negeri yang terbaik pentadbiran dan pesat pembangunannya.

“Permasalahan salahguna kuasa dan rasuah yang berleluasa di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) telah menyebabkan ketirisan hasil negara sekarang. Penyelamatan hasil negara dari ketirisan boleh digunakan untuk mengurangkan beban hidup rakyat,” kata Dr. Mohamad Rafie Ab Malek, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat.

Dr. Mohamad Rafie Ab Malek
Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Parti Keadilan Rakyat

Tambahan pula, majoriti pemimpin-pemimpin PR mempunyai pendedahan dan pengalaman luas di dalam urus tadbir ekonomi samada dalam atau luar negara. Malahan dalam keadaan tertekan serta tiada peruntukan hasil pendapatan negara, pemimpin-pemimpin PR telah berjaya membantu dan menyumbang kepada golongan yang memerlukan.

Demikian kata Dr. Rafie yang kemudian menekankan bahawa pemimpin-pemimpin PR telah teruji dengan pelbagai ujian termasuk di pecat dari pekerjaan, tidak mendapat kontrak kerajaan serta berbagai lagi namun kebanyakan pemimpin PR telah berjaya menghadapi segala ujian dan dugaan dengan baik.

Manifesto PR tidak akan menjadikan negara ini bankrap sebagaimana yang didakwa oleh pemimpin BN. Dasar PR adalah untuk menyelesaikan permasalahan rakyat secara berterusan dan berkekalan tetapi bukan kaedah untuk memancing rakyat untuk mengundi sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan BN yang memper kenalkan BR1M serta pelbagai lagi yang hanya diberi setelah pimpinan BN tahu kedudukan mereka tergugat setelah 55 tahun memerintah.

“Rakyat boleh menolak semula PR pada PRU ke 14 jika kerajaan PR gagal membawa perubahan di dalam negara kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi pilihanraya dimana rakyat berhak untuk menolak atau menaikkan mana-mana pemimpin di dalam tempoh setiap 5 tahun. Justeru rakyat tidak perlu gusar untuk membuat perubahan di dalam PRU ke 13 yang dijadualkan pada suku tahun pertama 2013,” tambah Dr. Rafie.

Di antara Manifesto PR adalah:

·         Sistem pentadbiran yang berwibawa dimana salah guna kuasa dan rasuah adalah musuh utama dengan memastikan institusi-institusi penting negara seperti Polis DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah berfungsi secara terbaik.

·         Menurunkan harga minyak. Penurunan ini akan mengurangkan kos beban rakyat bernilai ratusan ringgit sebulan Sebagai contoh, pegurangan RM0.20 seliter dengan penggunaan 100 liter sehari akan mengurangkan belanja isi rumah RM600 sebulan.

·         Menghapuskan tol serta memperbaiki sistem perkhidmatan pengangkutan awam.

·         Memansuhkan PTPTN. Kerajaaan PR akan memastikan setiap rakyat Malaysia memperolehi pendidikan yang merupakan pelaburan utama untuk pembangunan negara.

·         Gaji minima RM1,100 sebulan. Usaha akan terus dibuat untuk memastikan gaji ini akan terus meningkat sejajar dengan perkembangan ekonomi negara.

·         Kemudahan internet Wi-Fi percuma untuk memastikan setiap rakyat bermaklumat.

·         Menurunkan harga kereta dengan memansuhkan Duti Eksais yang bernilai 85% dari harga kereta sekarang samada kereta tempatan atau kereta impot secara berperingkat dalam tempoh lima tahun. Kenderaan selain rumah adalah kos terbesar rakyat didalam perbelanjaan bulanan.

Dr. Rafie menyeru seluruh warga Ampangan khususnya dan rakyat Malaysia amnya termasuk ahli-ahli UMNO dan ahli-ahli parti komponen BN untuk sama-sama membuat perubahan kerana selama ini kekayaan negara di bolot oleh segelintir kecil pemimpin-pemimpin serta kroni-kroni mereka. Penyakit rasuah dan salahguna kuasa sudah menjadi kronik dan sudah menjadi barah dikalangan pimpinan UMNO/BN dan hakikat ini disedari sendiri oleh ahli-ahli biasa UMNO/BN. Beliau menegaskan rakyat Malaysia boleh membuat perubahan demi masa depan rakyat dan negara.

PEMBERIAN RM100 UNTUK PELAJAR-PELAJAR SEKOLAH

Pemimpin UMNO/BN mengambil kesempatan untuk berpolitik

     Pemimpin-pemimpin UMNO/BN mengambil kesempatan untuk berpolitik apabila mereka memaksa pihak sekolah menjemput mereka untuk menyerahkan bantuan persekolahan RM100 kepada ibu-bapa pelajar-pelajar sekolah. Dalam kejadian terbaru, sebuah sekolah swasta di Seremban telah menjemput ibu-bapa untuk menghadiri sesi Majlis Sempena Penyerahan RM100 yang akan dihadiri oleh Menteri Besar NS – Mohamad Hasan.

     Majlis-majlis seperti ini mengesahkan bahawa pemberian RM100 untuk anak-anak sekolah adalah “gula-gula politik” yang bertujuan untuk merasuah rakyat supaya menyokong mereka mengekalkan kuasa di dalam pilihanraya yang akan datang ini. Seandainya mereka ikhlas untuk membantu rakyat mengurangkan kos bebanan peningkatan kos sara hidup, mereka sepatutnya merangka sistem yang membolehkan ibu-bapa mendapat terus bantuan tanpa perlunya majlis-majlis politik seperti ini.
      Sebagai contoh, bantuan boleh diberi menerusi cek kepada ibu-bapa atau ibu-bapa boleh mengambil wang secara tunai pada bila-bila masa mereka kelapangan dari pihak sekolah. Selaku pimpinan politik, pimpinan UMNO/BN gagal memahami bahawa majlis-majlis yang bersifat politik ini akan meningkatkan kos kepada ibu-bapa pelajar-pelajar sekolah terbabit. Kos pengangkutan ibu-bapa ke sekolah hanya untuk majlis seperti ini perlu di ambil kira. Jika wang diterima RM100 kemungkinan nilai sebenar hanya RM90 setelah ditolak kos kenderaan pergi-balik ibu-bapa berkenaan ke sekolah.
     Kehilangan masa produktif waktu bekerja ibu-bapa juga perlu diambil kira. Di dalam kes ini, majlis diadakan pada jam 1.45 petang, 17 Januari 2013 (Khamis) iaitu pada hari bekerja. Untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang produktif dan mampu bersaing di arena antarabangsa, kehilangan waktu kerja puncak kerana majlis-majlis politik perlu dielakkan. Malangnya, pemimpin-pemimpin UMNO/BN gagal untuk berfikir selaku “pemimpin” dan mereka hanya mengutamakan kepentingan politik untuk terus kekal berkuasa.

Monday, April 1, 2013

TANAH RUNTUH DI AMPANGAN

Mengapa kerajaan NS pimpinan Mohamad Hasan masih gagal mengambil tindakan?

     Beberapa kawasan di Ampangan telah mengalami tanah runtuh yang agak kritikal iaitu di Taman Bukti, Taman Bukit Klana dan Taman Dato Shahbandar. Namun sehingga kini tiada tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa untuk membaikpulih kawasan yang terbabit. Keadaan ini meresahkan penduduk setempat yang mempersoalkan mengapa kerajaan NS yang ditadbir oleh BN masih tidak bertindak walaupun mereka telah maklum mengenai permasalahan ini.
Tanah runtuh di Taman Bukti telah berlaku semenjak tahun 2011 dan pihak berkuasa tempatan hanya meletakkan kain kanvas


     Menteri Besar NS Mohamad Hasan pada awal Januari 2013 telah melawat kawasan tanah runtuh di Taman Bukti. Lebih memeranjatkan tanah runtuh ini telah mula berlaku semenjak tahun 2011 dan kini menjadi lebih kritikal ekoran hujan lebat pada bulan Disember 2012 baru-baru ini. Namun sehingga kini masih tiada tindakan untuk memperbaiki tanah runtuh yang berkedudukan amat berhampiran dengan jalan utama di taman berkenaan. Lawatan tanpa usaha segera untuk mengatasi masalah ini tidak membawa makna apa-apa, ujar Dr. Ahmad Azam Hamzah, Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Seremban.

Dr. Ahmad Azam Hamzah
 
     “BN adalah pentadbir kerajaan negeri dan mereka bertanggungjawab jika berlaku sebarang malapetaka yang boleh mengorbankan nyawa manusia dan kerosakan harta-benda akibat kelambatan mereka mengambil tindakan membaikpulih tanah-tanah runtuh berkenaan.” nyata Dr. Azam. Beliau menegaskan kerajaan baru PR akan memastikan segala permasalahan rakyat seperti permasalahan tanah runtuh ini akan diambil tindakan segera.
     Manakala di Taman Dato Shahbandar,  sekurang-kurangnya empat keluarga di sini hidup dalam keresahan apabila kejadian tanah runtuh merosakkan dua daripada empat rumah tersebut berlaku pada jam 7.15 malam, 2 November 2012 yang lepas. Rumah yang paling banyak mengalami kerosakan ialah rumah milik En. Nasir Abdul Jalil, 33, apabila bahagian dapur dihempap dengan bongkah batu dan diliputi dengan tanah akibat kejadian tanah runtuh tersebut.
YB John Fernandez, Ahli Parlimen Seremban menunjukkan kawasan ta
runtuh di Taman Dato Shahbandar

     Lebih malang lagi, Majlis Perbandaran Seremban hanya membekalkan kain-kain rentang “banner” yang dirampas mereka untuk digunakan menutup kawasan tanah runtuh berkenaan. Kain-kain rentang yang dibekalkan juga tidak mencukupi kerana sebahagian besar tanah runtuh tersebut masih terdedah begitu sahaja. Sebarang pergerakan tanah akibat aliran air akan boleh menyebabkan rumah-rumah bersebelahan rumah En. Nasir Abdul Jalil berada dalam keadaan yang cukup merbahaya.
     Kawasan permainan kanak-kanak di Taman Bukit Klana pula rosak teruk akibat tanah runtuh yang berlaku pada bulan Oktober 2012. Menurut En. Khirul, salah seorang penduduk di kawasan kejadian, “Sehingga kini, sudah 5 laporan dibuat kepada pihak berkuasa khususnya Majlis Perbandaran Seremban tetapi malangnya sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa.”
Kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Klana telah meranapkan sebahagian besar padang permainan kanak-kanak
     Setakat ini, pihak berkuasa tempatan hanya meletakkan talian rentang kuning dan ini amat membimbangkan penduduk setempat kerana bermacam-macam perkara tidak dingini yang boleh membahayakan keselamatan penduduk khususnya kanak-kanak di taman ini. Usaha-usaha yang di ambil di lihat hanya tindakan “ala kadar” tanpa sebarang usaha serius memperbaiki masalah tanah runtuh ini.
           “Jelas pentadbiran BN tidak cekap yang menyebabkan kos pembaikan akan menjadi lebih besar kerana mereka lambat bertindak. Kos pembaikan sudah pasti lebih kurang jika usaha pembaikan dilakukan lebih awal sebelum tanah runtuh tersebut merebak lebih luas sehingga jalanraya yang berhampiran,” tegas Dr. Azam. Faktor kecekapan pengurusan yang mengambil tindakan segera boleh mengurangkan kos perbelanjaan dan ia juga mengurangkan risiko kemalangan yang boleh berlaku kerana tempoh masa permasalahan tanah runtuh lebih pendek. Mereka gagal memahami bahawa wang negara yang diamanahkan kepada mereka untuk diuruskan datangnya dari rakyat. Kelemahan pengurusan menyebabkan ketirisan belanjawan negara yang akhirnya merugikan rakyat dan negara, jelas Dr. Azam.

PENINGKATAN KOS SARA HIDUP RAKYAT

PENINGKATAN KOS SARA HIDUP RAKYAT
Akan Menjadi Fokus Tumpuan Utama Kerajaan Pakatan Rakyat

     Kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal untuk menangani isu peningkatan kos sara hidup rakyat yang saban hari membebankan rakyat walaupun pelbagai Program Transformasi Kerajaan (GTP) telah dilancarkan oleh pentadbiran Najib. Bantuan-bantuan yang disalurkan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang bernilai RM500 kepada semua isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan dan ke bawah atau bantuan kewangan RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah hanya bersifat “superficial” atau luaran dan tidak mampu untuk menangani permasalahan sebenar peningkatan kos sara hidup rakyat.

     Malahan pemberian kerajaan BN ini lebih berbentuk “gula-gula politik” yang bertujuan untuk memancing rakyat untuk terus mengundi BN dalam Pilihanraya Umum ke 13 yang bakal diadakan pada awal tahun ini. Pemberian BR1M RM500 dan bantuan RM100 untuk anak-anak sekolah bermula pada tahun 2012 dan tahun ini merupakan tahun kedua ia dilaksanakan setelah pentadbiran BN merasai bahang kemarahan rakyat yang sudah sekian lama dibebani dengan kos sara hidup yang tinggi dan dalam masa yang sama peningkatan pendapatan rakyat amat kecil serta tidak seimbang dengan peningkatan kos sara hidup.
 
BARISAN NASIONAL GAGAL MENYELESAIKAN MASALAH RAKYAT

     Kegagalan pentadbiran BN menangani permasalahan rakyat sememangnya sudah diduga kerana kepimpinan mereka digelumangi dengan salahguna kuasa dan rasuah. Rakyat sudah didedahkan dengan pelbagai salahlaku pimpinan BN dari projek ternakan lembu NFC yang bernilai RM250 juta diberi kepada keluarga menteri yang kemudian menggunakan wang tersebut untuk membeli kondomonium dan kereta mewah sehinggalah penggunaan RM130 juta wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang hendak diberi kepada Ketua Wanita UMNO Selangor – Raja Ropiaah Raja Abdullah dan pelbagai lagi.

Dalam tempohan 12 tahun barang-barang keperluan meningkat dari 23% ke 260%
 
     “Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) akan mengambil langkah drastik untuk mengurangkan beban hidup rakyat dengan mengurangkan harga minyak sebaik sahaja kerajaan baru ditubuhkan selepas PRU ke 13 nanti,” ujar Dr. Mohamad Rafie Ab Malek, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat. Pengurangan harga minyak sewajarnya memberi kesan rantaian untuk penurunan semua harga barangan kerana kesemua barangan termasuk barang keperluan dapur seperti beras, gula, sayur, ikan dan lain-lain menggunakan pengangkutan sebelum sampai kepada pengguna.
Dr. Mohamad Rafie Ab Malek
 
     Dr. Rafie menegaskan langkah penurunan harga minyak, memansuhkan tol, menghapuskan PTPTN untuk membolehkan pembelajaran secara percuma serta penurunan harga kereta adalah merupakan langkah serta-merta sebelum pimpinan PR mengorak langkah untuk merancang strategi jangkamasa pendek dan jangkamasa panjang di dalam menyelesaikan permasalahan beban sara hidup rakyat. Penyelesaian kepada permasalahan rakyat khususnya peningkatan kos sara hidup akan menjadi agenda utama kerajaan PR sebaik sahaja kerajaan BN ditumbangkan dalam PRU ke 13 ini.
     Pentadbiran PR akan saling dilengkapi dengan kerjasama pelbagai pakar-pakar termasuk pakar ekonomi, pendidikan untuk peningkatan kemajuan fizikal dan ahli-ahli agama, budayawan serta alam sekitar untuk memastikan pembangunan adalah pembangunan seimbang yang mengambil kira pembangunan fizikal, rohani dan alam sekitar. Pembangunan yang seimbang akan mengarah kepada pembentukan masyarakat yang maju, aman damai dan bahagia serta mampu bersaing di dalam dunia yang penuh dengan persaingan. Dr. Rafie menambah, “Anugerah Allah kepada negara kita dengan bumi yang subur, kekayaan hasil sumber bumi, lokasi yang strategik serta ketiadaan bencana alam yang ketara dan rakyat berbilang kaum yang serba berkebolehan akan dimanafaatkan sepenuhnya untuk melonjakkan Malaysia di arena antarabangsa.”
Ciri-ciri pentadbiran yang baik
 
     “Kerajaan PR akan menampilkan pemimpin-pemimpin yang berwibawa, berkelayakan dan yang paling penting mempunyai saksiah diri yang baik iaitu bersifat amanah dan jujur dengan tahap “good governance” atau pentadbiran yang baik,” tambah Dr. Rafie. Beliau menyatakan kesemua lapan ciri-ciri pentadbiran yang baik akan menjadi landasan panduan di dalam pentadbiran kerajaan PR iaitu “partipation” atau partisipasi semua peringkat rakyat, “rule of law” atau peraturan undang-undang, “transparency” atau ketelusan, “responsiveness” atau bertindak segera menurut jangkamasa yang sepatutnya, “consensus oriented” atau berorientasi persetujuan majoriti, “equity and inclusiveness” atau kesaksamaan dan kebersamaan, “effectiveness and efficiency” atau cekap dan berkesan dan “accountability” atau kebertanggungjawaban.
     “Pentadbiran PR berlandaskan kepada prinsip-prinsip yang jelas yang akan memandu kearah kepentingan dan kebajikan rakyat. Pemimpin rasuah dan salahguna kuasa tidak akan mempunyai tempat di dalam PR. Pendidikan akan menjadi agenda utama kerajaan PR kerana rakyat yang bermaklumat akan memangkinkan kemajuan negara dan di dalam masa yang sama rakyat akan memastikan hanya pemimpin-pemimpin yang benar-benar layak diketengahkan untuk menerajui negara ini,” tegas Dr. Rafie