Bersama pimpinan Parti Keadilan Rakyat Bahagian Seremban untuk
meninjau golongan yang susah dan memerlukan bantuan
Pemimpin yang diamanahkan untuk mentadbir negara wajar mengambil langkah serius untuk membantu didalam usaha memperbaiki taraf kehidupan mereka. Kepimpinan adalah amanah untuk memperkasakan rakyat dan bukan memperkosa hak rakyat. Amat memalukan, ramai yang berebut-rebut untuk menjadi pemimpin sehingga sanggup merasuah dan melanggar nilai-nilai murni keinsanan tetapi kepimpinan yang diperolehi dipergunakan untuk kepentingan peribadi atau keluarga terdekat mahupun kroni-kroni mereka sahaja.
Alangkah murninya contoh yang telah ditonjolkan oleh pemimpin besar didalam sejarah Madinah di abad ke tujuh masihi iaitu Khalifah Umar Ibn al-Khattab. Beliau amat prihatin tentang permasalahan rakyatnya. Disuatu malam beliau telah menjumpai didalam sebuah khemah seorang perempuan yang sedang memasak dengan menggunakan periuk diatas api yang menyala sedangkan anak- anaknya pula sedang menangis kerana kelaparan lalu lantas beliau bertanya, “Mengapa anak-anakmu menangis? Perempuan itu menjawab, “Tuan, anak-anak saya ini menangis kerana kelaparan.”
Umar bertanya lagi, “Jadi apa yang kamu masak itu?” Perempuan itu menjawab, “Wahai tuan yang baik hati , sesungguhnya aku hanya memasak air untuk memperdayakan sebelum mereka tertidur. Aku tidak mempunyai makanan untuk dimasak, jadi itu sahajalah yang dapat aku buat bagi menghiburkan hati mereka.” Perempuan itu kemudian terus berkata, “Sesungguhnya Allah akan mengadili penderitaanku ini terhadap Amirul Mukminin Saidina Umar kerana membiarkan aku bersama-sama dengan anak-anak dalam keadaan begini di akhirat kelak.”
Perempuan itu sebenarnya tidak mengenali bahawa orang yang dihadapannya itu adalah Khalifah Saidina Umar sendiri. Apabila Umar mendengar ucapan perempuan tersebut maka beliau pun menangis dan berkata, “Semoga Allah akan mengampuni dosa kamu dan akan memberi rezeki kepada kamu.” Umar kemudiannya bertanya, “Bagaimana Amirul Mukminin akan mengetahui penderitaan dan kesusahanmu?” Lantas perempuan itu menjawab, “Sesungguhnya orang yang menjadi Khalifah mesti mengambil tahu dan bertanggungjawab terhadap hal keadaan rakyatnya.”
Seterusnya Saidina Umar balik ke kota Madinah dan terus ke Baitulmal. Diapun mengisi seberapa banyak barang keperluan harian seperti gandum, buah tamar, pakaian dan lain-lain keperluan lalu didalam satu karung dan kemudian meminta pembantunya – Aslam, mengangkat untuk diletakkan diatas belakangnya. Aslam meminta supaya dia sahaja yang mengangkat barang-barang tersebut dan bukannya Saidina Umar kerana beliau adalah seorang pemimpin besar umat Islam. Lantas Umar berkata, “Wahai Aslam, sesungguhnya adakah engkau yang akan memikul dosaku diakhirat kelak? Aku berbuat begini adalah kerana aku takutkan Allah, sesungguhnya Allah akan menyoal aku diakhirat kelak. Dia Maha Mengetahui dan Melihat segala perbuatan hambaNya.”
Aslam akhirnya akur dan Umar sendiri memikul barang-barang itu dan terus ke khemah perempuan tersebut lalu beliau sendiri memasak, menghidang dan melayan anak-anak perempuan yang miskin itu sehingga kenyang. Berkatalah perempuan itu, “Semoga Allah akan membalas dan memberi ganjaran pahala kepada tuan kerana kebaikan serta kemuliaan hati tuan kepada hamba yang miskin ini. Sesungguhnya kamulah yang paling layak menjadi khalifah daripada Saidina Umar kerana hati budi kamu lebih mulia.”
Inilah Saidina Umar dan sikap tanggungjawab beliau sebagai seorang pemimpin perlu diteladani oleh semua pemimpin-pemimpin ketika ini. Alangkah malangnya, wang zakat terkumpul begitu banyak tetapi gagal untuk diagihkan kepada orang-orang yang memerlukannya. Jabatan Kebajikan Masyarakat dan semua sektor-sektor yang terlibat perlu mengambil usaha untuk membantu golongan yang susah ini bukan hanya setakat sekali sekala tetapi mengambil langkah aktif untuk meningkatkan ekonomi mereka supaya menjadi lebih baik.