Monday, September 15, 2008

Diantara Ruslan, Nalla dan Ezam

Ruslan Kasim, Dato’ K.S. Nallakarupan dan Ezam Mohd Nor adalah tiga nama yang sinonim dan sukar untuk dipisahkan dengan perjuangan reformasi Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Ruslan Kasim adalah Ketua Penerangan manakala Ezam Mohd Nor adalah Ketua Pemuda semasa Parti Keadilan Nasional dilahirkan pada 4 April 1999. Nallakarupan adalah rakan sepermainan tenis Anwar semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan berada bersama-sama Anwar sebagai rakan didalam tahanan didalam era awal reformasi.

Ruslan juga adalah orang yang pertama yang menjejaki Anwar ke penjara setelah era reformasi 1998 bermula manakala Nalla telah mempertahankan Anwar walaupun dirinya terancam dengan pelbagai dakwaan jika tidak mahu akur dengan kehendak pemerintah. Malahan terbukti Nalla jauh lebih cekal berbanding dengan adik angkat Anwar sendiri Sukma Dermawan dan rakannya Dr. Munawar Anees yang akhirnya akur apabila dipaksa secara tidak rela untuk menyatakan bahawa mereka telah diliwat oleh Anwar Ibrahim. Ezam pula adalah anak didik Anwar semenjak beliau bertugas di Institut Kajian Dasar dan akhirnya menjadi salah seorang setiausaha beliau semasa berada didalam kerajaan.


Ketiga-tiga mereka telah beralih kem diatas sebab-sebab tertentu dan ketika ini berusaha berjuang bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan karier politik Anwar Ibrahim walaupun satu masa dahulu mereka adalah diantara orang-orang yang memuja-muja nama Anwar Ibrahim. Lebih unik, mereka meninggalkan karier politik mereka bersama Anwar Ibrahim dengan pekikan bahawa mereka menolak perjuangan yang dibawa oleh Anwar. Mereka mengadakan sidang akhbar untuk menghebahkan kepada seluruh dunia bahawa perjuangan Anwar adalah salah dan menyatakan kini mereka bersekongkol dengan BN yang pada satu masa dahulu mereka kritik dengan pidato-pidato pedas mereka. Walaupun demikian, bukan merupakan satu perkara yang mustahil untuk ketiga-tiga mereka ini untuk menjadi orang pertama bertemu Anwar untuk berubah kem semula sebaik sahaja Anwar dinobatkan menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Didalam politik, ironinya, prinsip dasar seseorang individu boleh berubah. Ruslan lebih kepada faktor ekonomi yang memaksa beliau untuk mengkritik bekas bosnya. Ruslan sebenarnya adalah dari segelintir kecil dikalangan pendokong-pendokong Anwar yang mendapat habuan bulanan semasa beliau bersama perjuangan Anwar. Namun, bagi Ruslan, habuan tersebut tidak mencukupi dan beliau memerlukan peruntukan kewangan yang lebih besar maka beliau terpaksa beralih kepada BN sebagai parti pemerintah yang mampu untuk memberi keselesaan kepada kehidupannya. Kehidupan sebagai pembangkang memang amat sukar kerana ketiadaan pendapatan yang tetap. Nalla menolak Anwar kerana tidak mendapat kedudukan dan terpaksa akur kepada Anwar untuk menyerahkan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim untuk menjadi calon PKR semasa Pilihanraya Kecil Ijok. Pertelingkahan Ezam dan Azmin Ali menjadi penyebab utama Ezam menentang Anwar apabila beliau melihat Anwar tidak menyebelahinya.

Untuk memastikan senario politik negara bertambah baik setelah berlaku perubahan kuasa kepada Pakatan Rakyat, kita tidak mampu untuk mengizinkan mana-mana ahli-ahli politik yang “sealiran” dengan Ruslan Kasim, Dato’ K.S. Nallakarupan mahupun Ezam Mohd Nor untuk memegang tampuk kuasa. Perjuangan perlu didasarkan diatas prinsip dan perselisihan perlu dihormati dan sebarang perbezaan pendapat tidak memerlukan penggadaian kepada prinsip perjuangan.


Pemerintahan ala Umar Ibn Abdul Aziz

Era politik Malaysia Baru memerlukan barisan pimpinan bercirikan kepimpinan Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz sebagaimana yang telah diwawarkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang – Lim Guan Eng. Umar Ibn Abdul Aziz telah menyampaikan didalam khutbah umum pada hari kedua beliau menjadi khalifah dimana dihujung khutbahnya, beliau berkata “Wahai manusia, tiada nabi selepas Muhammad saw dan tiada kitab selepas al-Quran, aku bukan penentu hukum malah aku pelaksana hukum Allah, aku bukan ahli bid’ah malah aku seorang yang mengikut sunnah, aku bukan orang yang paling baik dikalangan kamu sedangkan aku cuma orang yang paling berat tanggungannya dikalangan kamu, aku mengucapkan ucapan ini sedangkan aku tahu aku adalah orang yang paling banyak dosa disisi Allah”. Beliau kemudian duduk dan menangis lantas berkata "Alangkah besarnya ujian Allah kepada aku" ujar Umar Ibn Abdul Aziz.

Beliau pulang ke rumah dan menangis sehingga ditegur isteri “Apa yang Amirul Mukminin tangiskan?” Beliau mejawab “Wahai isteriku, aku telah diuji oleh Allah dengan jawatan ini dan aku sedang teringat kepada orang-orang yang miskin, ibu-ibu yang janda, anaknya ramai, rezekinya sedikit, aku teringat orang-orang dalam tawanan, para fuqara’ kaum muslimin. Aku tahu mereka semua ini akan mendakwaku di akhirat kelak dan aku bimbang aku tidak dapat jawab hujah-hujah mereka sebagai khalifah kerana aku tahu, yang menjadi pembela di pihak mereka adalah Rasulullah saw’’ Isterinya juga turut mengalir air mata.

Umar Ibn Abdul Aziz mula memeritah pada usia 36 tahun sepanjang tempoh hanya 2 tahun 5 bulan 5 hari. Walaupun pemerintahan baginda singkat tetapi ia sangat menakjubkan. Pada waktu inilah dikatakan tiada siapa pun umat Islam yang layak menerima zakat sehingga harta zakat yang menggunung itu terpaksa diiklankan kepada sesiapa yang tiada pembiayaan untuk bernikah dan juga hal-hal lain.

Persoalannya, mampukah barisan kepimpinan baru PR memberi keutamaan kepada rakyat tanpa memberi sebarang kepentingan kepada hal peribadi atau keluarga terdekat atau rakan-rakan mereka sahaja. Mampukah mereka mencontohi kepimpinan Umar Ibn Abdul Aziz?

Orang-orang seperti Ruslan, Nalla dan Ezam masih ramai berada disekeliling Anwar Ibrahim yang sekarang menjadi jaguh untuk memperjuangkan prinsip Malaysia Baru. Walaubagaimanapun, setiap insan mampu berubah jika ada kesungguhan untuk membuat perubahan berdasarkan keinsafan bahawa kita adalah makhluk Tuhan dan kehidupan didunia ini hanyalah sementara dan kehidupan diakhirat adalah yang kekal abadi. Walaupun begitu, sudah pasti masih ada puak-puak opportunis berkeliaran dan sememangnya agak sukar untuk Anwar menapis orang-orang seperti ini kerana kononnya didalam politik, kesemua orang adalah penting dan perlu dibawa bersama didalam satu kapal. Walaubagaimanapun, Anwar perlu bertindak bijak kerana kegagalannya mengambil tindakan yang tepat akan memusnahkan impian untuk menjelmakan Malaysia Baru.

Pembinaan “Human Capital

Untuk memastikan kesucian perjuangan Malaysia Baru terlaksana, “human capital” yang berlatarkan kepimpinan yang adil, ikhlas, bersih, amanah dan sejajar dengan kepimpinan Umar Ibn Abdul Aziz perlu dilahirkan. Usaha perlu dibuat untuk memastikan semua polisi-polisi dirangka menuju kearah itu dan kesemua bakal kepimpinan negara perlu dilatih dan dididik. Mekanisma latihan kepimpinan perlu dirangka.

Government Governance” didalam rangka usaha untuk mengwujudkan “Corporate Governance” didalam sektor awam perlu dilaksana. Sektor awam perlu diurus dengan penuh tanggungjawab dan ketelusan disamping adanya “check and balance” untuk memastikan negara dibangunkan menurut landasan yang betul. Pengurusan (management), penyeliaan (supervision) dan pengawalan pentadbiran (control) negara perlu terarah kepada tanggungjawab kepada rakyat (accountability). Pemimpin lahir untuk memastikan kesejahteraan rakyat maka justeru itu “Government Governance” terarah untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
Pemilihan kepimpinan atau latihan kepimpinan perlu disasarkan untuk melahirkan pemimpin yang bertanggungjawab serta mempunyai kebolehan (skill) didalam bidang pentadbiran yang diamanahkan. Malahan kewujudan parti pembangkang yang kuat adalah satu keadaan yang sehat kerana ia akan menjadi “check and balance” kepada pentadbiran negara. Disamping itu perlu dipastikan wujudnya secara bebas dan berasingan badan kehakiman (judiciary), pembuat dasar undang-undang yang terdiri dari ahli-ahli politik (legislative) dan pentadbir yang terdiri menteri-menteri dan keseluruhan kakitangan awam (executive) untuk memastikan ketelusan pentadbiran negara.

Mekanisma latihan perlu dirangka untuk memastikan kesemua pehak terlibat yang bertanggungjawab untuk legislative, executive dan judiciary benar-benar terarah kepada “Government Governance” untuk memastikan kesejahteraan rakyat tercapai.“Government Governance” akan mengarah kepada Malaysia yang berjaya dan mampu bersaing diperingkat global disamping melonjakkan budaya sosial mulia didalam melahirkan negara yang aman, damai dan harmoni.

Kesimpulannya, kesepakatan dan kesatuan yang terarah disamping komitmen dan kecekapan usaha akan pasti melonjakkan Malaysia sebagai negara yang mampan ekonominya, utuh kerohanian dan nilai budi rakyatnya, mulia sosio-budayanya, pesat pembangunan intelek serta perkembangan sains dan teknologinya dibawah kepimpinan baru Malaysia Baru. Ianya boleh dicapai didalam masa yang singkat jika kesemua pehak berusaha bersama kearahnya.