Namun, pemergian lima orang pimpinan kanan PKR yang terdiri dari pakar strategi PKR, Saifuddin Nasution; Ketua Penerangan PKR, Tian Chua, Ketua Publisiti Wanita PKR, Elizabeth Wong dan ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi PKR, Johari Abdul dan Low Chee Cheong ke Taiwan pada 12 September 2008 yang lepas untuk menjejaki 49 orang ahli Parlimen yang kononnya sedang membuat lawatan sambil belajar menimbulkan seribu satu persoalan mengenai kebijakan mereka didalam menangani isu tersebut.
Tindakan mengekori ahli-ahli BN lebih menunjukkan sikap kebudakan dan bukan perancangan strategi taktikal yang bijak didalam percaturan politik negara. Perbincangan dengan ahli-ahli parlimen BN yang ingin bersama PKR tidak perlu diperhebohkan kerana ianya adalah langkah taktikal. Tindakan “kejar-mengejar” secara fizikal di era komunikasi yang serba canggih ketika ini dan diberi liputan secara meluas didalam media ini tidak sewajarnya berlaku.
Kepimpinan PKR sepatutnya lebih berusaha untuk memastikan mereka mempunyai perancangan yang terbaik setelah mereka berjaya memimpin negara dan segala rancangan-rancangan tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya. Untuk merangka polisi mungkin mudah tetapi implementasi kepada polisi memerlukan mekanisma yang tersusun dan menyeluruh disamping memastikan mereka mempunyai pentadbir-pentadbir yang berkebolehan untuk melaksanakannya.
Permasalahan gabungan longgar Pakatan Rakyat yang terdiri dari PKR, DAP dan PAS serba sedikit akan sudah pasti boleh melembabkan usaha untuk membuat perubahan. Untuk mencapai kejayaan untuk menumbangkan BN mungkin mudah untuk Pakatan Rakyat diketika ini dimana “mood” rakyat semakin memberontak dengan segala kebobrokan kepimpinan BN yang semakin terdedah tetapi untuk memastikan kejayaan tersebut dapat dipertahankan adalah tidak mudah sepertimana yang dijangka. Sewajarnya, pakar strategi Pakatan Rakyat dan keseluruhan “think tank” mereka perlu berkerja keras untuk memperkukuhkan kesepakatan, membentuk polisi-polisi serta merangka struktur pentadbiran disamping memastikan mereka mempunyai sumber tenaga pentadbir yang cekap.