Wednesday, August 15, 2012

Membeli-belah bersama PKR


Kanak-kanak miskin gembira dapat baju raya sempena Aidilfitri
AMPANGAN-Aidilfitri kali ini tentunya memberi seribu makna buat 105 kanak-kanak miskin sekitar Dewan Undangan Negeri (Dun) Ampangan apabila mereka menerima sumbangan baju raya percuma daripada jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Seremban, petang semalam.
   Pengarah Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dun Ampangan, Nor Haizily Jalaluddin berkata, kesemua mereka di bawa membeli belah di salah sebuah kedai pakaian dan tahun ini merupakan tahun pertama pihaknya menaja baju raya buat kanak-kanak berkenaan.
   “Kesemua kanak-kanak miskin ini dikenal pasti semasa kita melawat rumah penerima sumbangan dalam program Ukhuwah Sinar Ramadan yang diadakan sebelum ini.
   “Dari situ kita mengatur sesi membeli belah dan memperuntukkan sebanyak RM200 seorang untuk membeli baju raya,” katanya kepada Sinar Harian sejurus selesai membeli pakaian raya kanak-kanak miskin, di sini, semalam.
   Hadir sama, Timbalan Ketua Cabang PKR Seremban, Dr Mohamad Rafie Ab Malek yang juga Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat.
   Sementara itu, ibu kepada tujuh anak, Roslina Jamaluddin, 45, melahirkan rasa syukur apabila dua daripada tujuh anaknya iaitu Siti Nor Aishah Mazlan, 9, dan Siti Nor Athirah Mazlan, 5, menerima sumbangan berkenaan.
   “Saya tidak bekerja dan bergantung dengan pendapatan suami, Mazlan Wahab, 54, sebanyak RM1,000 sebulan sebagai pemandu bas.
   “Saya amat bersyukur menerima sumbangan ini walaupun anak-anak saya tidak meminta baju raya,”katanya.
   Sementara itu, Nor Azlina Mohamad, 37, turut melahirkan rasa gembira apabila tiga anaknya menerima baju raya percuma.
   “Anak saya menerima sepasang baju raya seorang. Tahun ini mereka hanya ada sepasang sahaja baju raya, itu pun disebabkan pemberian percuma ini,” katanya.
   Difahamkan, Nor Azlina yang bekerja sebagai tukang bersih rumah berkata, pendapatannya tidak menentu dan bergantung kepada upah yang diterima.
   Hasil perkahwinannya, Nor Azlina dan suaminya Mohd Rizal Harun, 37 dikurniakan tiga anak berusia 2 hingga 17 tahun.
Sinar Harian 12 Ogos 2012