Thursday, August 16, 2012

Jelajah Ukhwah Sinar Ramadhan 1433 H

Alhamdulillah, tepat jam 2345, malam ke 27 Ramadhan 1433 H, Program Jelajah Ukhwah Sinar Ramadhan yang dianjurkan oleh Parti Keadilan Rakyat Cabang Seremban di DUN Ampangan telah berakhir dengan jayanya.

Program ini membabitkan pemberian sumbangan kepada seramai 136 keluarga miskin dengan pemberian wang tunai dan barang harian keperluan dapur. Seramai 99 kanak-kanak daripada keluarga miskin juga telah menerima sumbangan sepasang pakaian hari raya pada 11 Ogos yang lepas. Sebuah rumah yang bertahun bocor telah diperbaiki atapnya. Ini merupakan rekod baru petugas Parti Keadilan Rakyat Seremban yang melakukannya secara bergotong-royong untuk pertama kalinya dalam bulan Ramadhan. Sebuah rumah keluarga ibu tunggal dengan enam anak yang dipotong bekalan elektrik hanya sekitar 2 minggu sebelum Aidilfitri telah disambung semula bekalannya. Kegembiraan keluarga ini yang juga membabitkan seorang anak OKU jelas terpancar di airmuka mereka apabila petugas kami melawati mereka sebentar tadi. Seorang ibu OKU juga telah menerima sebuah kerusi roda baru.

Saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua petugas parti yang melakukan tugasan ini secara sukarela tanpa sebarang imbuhan walaupun sesen demi perjuangan untuk membela hidup rakyat. Mereka bertungkus lumus meluangkan masa dan mengorbankan tenaga di dalam cabaran di siang hari semasa berpuasa dan meninggalkan keluarga di malam hari selepas solat tarawih menjelajah seluruh pelosok DUN Ampangan menghulurkan bantuan kepada keluarga yang memerlukannya. Semoga Allah membalas jasa mereka dan merahmati perjuangan mereka. Ameen…