Monday, May 6, 2013

Natijah Kekalahan PR dalam PRU13, Perjuangan Akan Tetap Kita Teruskan; Kita Perlu Ambil Pengajaran Dari Kekalahan Perang Uhud


Keputusan  PRU13 yang memihak kepada BN dengan 133 manakala PR memperolehi 89 kerusi parlimen bukan bermakna perjuangan kita telah terhenti tetapi kita masih perlu meneruskan perjuangan demi masa depan rakyat dan negara kita. Hakikatnya, PR berjaya meningkatkan kerusi dari 82 pada PRU12 tahun 2008 kepada 89 di dalam PRU13 ini dan BN merosot dari 140 kerusi dalam PRU12 kepada 133 kerusi dalam PRU terbaru ini. Lebih menarik BN memperolehi undi popular lebih rendah iaitu hanya sebanyak 5.22 juta undi iaitu sekitar hanya 48.7% berbanding PR yang memperolehi 5.49 juta undi iaitu 51.3% didalam PRU 13 ini. Dalam ertikata kata lain, majoriti rakyat Malaysia menyokong PR tetapi sistem pembahagian kerusi “Gerrymandering” memenangkan BN di dalam PRU ke 13 ini.

Kita wajib mengambil ikhtibar dari kekalahan ini dengan merujuk kepada tewasnya umat Islam di dalam Perang Uhud. Ketumbukan Islam hanya berjumlah 700 orang manakala orang kafir Quraish berjumlah 3,000 orang. Di dalam Perang Uhud, Rasulullah s.a.w. telah mengamanahkan 50 orang pemanah di kaki Bukit Uhud yang diketuai oleh Abdullah Bin Jubair. Malangnya apabila majoriti iaitu 41 orang dari 50 pemanah ini meninggalkan posisi kerana ingin merebut “ghanimah” iaitu harta rampasan perang apabila melihat tentera kafir Quraish telah mula melarikan diri akibat tertewas dipusingan awal, ketumbukan berkuda tentera kafir Quraish yang diketuai Khalid bin Walid menyerang semula yang mengkucar-kacirkan tentera Islam. Ini menyebabkan kekalahan tentera Islam yang mengorbankan 70 orang syuhada manakala hanya 23 orang tentera kafir Quraish terkorban.

Kekalahan ini banyak memberi pengajaran kepada umat Islam. Mempelajari kesilapan dari peperangan Uhud ini, akhirnya umat Islam berjaya membina tamadun dunia dengan merubah masyarakat Arab yang “barbaric” kepada masyarakat yang berhemah mulia. Malahan penghasilan peribadi sahsiah diri yang baik ini akhirnya menjana kepada perkembangan ekonomi dengan penghasilan penemuan sains dan teknologi di dalam sekitar 100 tahun selepas wafatnya Rasulullah s.a.w.. Tokoh-tokoh ulamak saintis yang ramai di Bukhara dan Samarkand seperti Al-Khawarizmi, Al-Biruni, Ibnu Sina dan ramai lagi di abad ke 8 dan 9 Masihi akhirnya menjadi rujukan sehingga hari ini.

Jika ditakdirkan Allah, tentera Islam tetap menang di dalam Perang Uhud walaupun ada unsur negatif seperti tamak untuk mendapat rampasan harta perang masih wujud, maka barang sudah pasti kemenangan selepas itu bukan kemenangan sejati dan Islam akan gagal berkembang dengan cemerlang selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.. Ini bermakna kegagalan kita didalam PRU 13 ini sewajarnya menginsafkan kita untuk membuat muhasabah diri dan organisasi untuk mengorak langkah demi kejayaan di masa hadapan.

Paling asas, perjuangan kita adalah untuk mencapai keredaaan Allah dan bukan untuk mencapai “glory” peribadi iaitu untuk kedudukan atau kekayaan. Kedua, sikap angkuh, sombong dan bongkak yang mungkin ada dikalangan kepimpinan perlu dibuang dan ditukar dengan kemesraan serta menghormati sesama kita. Ada pemimpin  merasa angkuh kerana merasakan kemenangan sudah memihak kepada kita dengan mengenepikan pandangan ikhlas orang lain degan mengatakan “Who are you?” di dalam membayangkan dirinya hebat manakala orang lain tidak bernilai. Rasulullah s.a.w. sendiri ditegur Allah apabila memalingkan muka ketika didatangi orang biasa yang buta matanya yang bernama Ibnu Maktum seperti yang diceritakan kisahnya dalam Surah Al-A’la ayat 1 hingga 10.  

Ketiga, kaedah “musyawarah” wajib diadakan. Sebarang keputusan mesti dibuat secara bersama dan bukan kaedah “top to bottom”. Keempat, kaedah pengurusan khususnya perancangan strategi perlu dilaksanakan. Kelima, jika amalan kroni kita tentang, jangan pula kita sekali-kali mengamalkan dasar yang sama dengan mengamalkan kronisma ini. Kronisma membawa pengertian memberi keutamaan kepada rakan atau kroni dan mengabaikan ciri-ciri meritokrasi dalam meletakkan seseorang didalam sesuatu tugasan. Kesalahan-kesalahan yang dinyatakan ini hanya sebahagian dari pelbagai kesalahan yang berlaku didalam PRU 13 ini yang perlu kita muhasabah untuk kita perbetulkan semula.

Keghairahan untuk merebut “ghanimah” sememangnya wujud dengan merasakan ada yang hendak jadi Perdana Menteri dan ada juga awal-awal lagi ingin melonjakkan dirinya konon beliau adalah orang yang paling layak untuk menjadi Menteri Besar. Wajar diingat, perjuangan kita bukan untuk kedudukan dan pangkat tetapi untuk mencapai keredhaan Allah dengan berkhidmat untuk membawa kebenaran dan keadilan kepada rakyat negara Malaysia yang tercinta ini. Kesombongan dan keangkuhan wujud dengan memaksa untuk menerima calon kroni dan mengabaikan akar umbi yang akhirnya memporak-perandakan semua keadaan.

Apatah lagi, didalam proses ini ada individu-individu yang dizalimi yang akhirnya mereka berdoa kepada Allah agar diri mereka diri mereka tidak wajar dijatuhkan maruah oleh mereka yang berkuasa ketika ini. Doa orang yang dizalimi, tiada hijab diantara diri mereka dengan Allah. Selaku pemimpin yang ingin membawa kebenaran dan kesucian Islam, kesemua perkara ini perlu diambil kira untuk memastikan nilai-nilai murni sejagat “universal values” dapat diterima oleh semua masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Apa pun, perjuangan kita belum selesai. Setiap pemimpin dan organisasi dalam PR perlu membuat muhasabah dan membetulkan keadaan serta tetap istiqomah dalam perjuangan. Di dalam proses perjuangan, kita mungkin tidak dapat melihat hasilnya tetapi yang penting bukan hasilnya yang kita mesti kita kecapi dan lihat tetapi yang perlu kita ada adalah komitmen serta kesungguhan untuk berjuang dan ia mesti dilaksanakan menurut kaedah yang dibenarkan. Sekali lagi keredhaan Allah (mardhatilLah) adalah matlamat kita. InsyaAllah dengan semangat ini, PR akan berjaya mentadbir negara  dan meningkatkan taraf hidup rakyat negara ini berdasarkan prinsip kebenaran, keadilan, kemajuan dan kebahgiaan. Reformasi ini akan lebih bermakna dan berkekalan kerana ia berasaskan kepada nilai-nilai yang hak dan benar.

Wednesday, May 1, 2013

Dr. Mohamad Rafie Bin Ab Malek bukan calon Parti Keadilan Rakyat untuk DUN N14 Ampangan dalam PRU13 ini


Saya terpanggil untuk membuat penjelasan ini kerana saya menerima bertalu-talu sms, email, telefon dan pelbagai cara lagi menanyakan kedudukan saya sebagai calon Keadilan di DUN Ampangan. Pelbagai soalan ditanya berkisarkan bagaimana perkara ini boleh berlaku kerana semua kenalan dan masyarakat setempat mengetahui selama lebih dari 3 tahun saya mendampingi masyarakat setempat di Ampangan setelah menerima amanah dari rakan pimpinan dan akar umbi Cabang Keadilan Seremban.
 
Harapan saya, penjelasan terbuka ini akan meredakan keadaan dan saya tidak dipersalahkan kerana tidak mengambil amanah untuk memikul tanggungjawab untuk memimpin di Ampangan. Apa yang berlaku, dua hari sebelum penamaan calon 20 April 2013 iaitu pada 18 April 2013, saya telah dihubungi oleh pemimpin teratas parti menyatakan bahawa parti telah membuat keputusan untuk menjadikan Kamarul Baharin Bin Abbas sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dan saya mesti memberi laluan kepada beliau kerana Ampangan dianggap sebagai “kerusi selamat” untuk Parti Keadilan Rakyat.

Saya kemudian ditawarkan untuk bertanding di kerusi  P131 Parlimen Rembau. Saya menolak untuk bertanding di Rembau kerana walaupun saya dilahirkan di Rembau tetapi lebih dari 25 tahun iaitu lebih separuh dari usia saya, saya berada di Seremban dan saya tidak pernah mengambil inisiatif serius untuk berkhidmat di Rembau secara khusus. Saya melihat memimpin sebagai tanggungjawab bukan untuk setakat berseronok bergelar pemimpin dan ia memerlukan pendampingan akrab bersama masyarakat setempat.

Kira-kira 20 jam sebelum penamaan calon iaitu sekitar jam 11.00 pagi 19 April 2013, saya dihubungi sekali lagi pimpinan teratas parti untuk menawarkan saya untuk bertanding di DUN N13 Sikamat. Saya lantas bertanya bagaimana kedudukan Sdr. Aminuddin Haron, penyandang sedia ada. Saya dimaklumkan bahawa untuk memberi laluan kepada saya, Sdr. Aminuddin Haron terpaksa digugurkan. Saya menjelaskan kepada mereka bahawa saya masuk bertanding bukan dengan cara menghampakan rakan seperjuangan saya dan saya redha untuk tidak bertanding jika itu keadaannya. Maka akhirnya, saya tidak dicalonkan di mana-mana kerusi di dalam PRU13 ini.

Saya juga ingin memberi penjelasan bahawa dalam kempen yang sedang dijalankan maruah saya juga cuba dicemarkan dengan fitnah bahawa saya tidak bertanding kerana kononnya saya ada mencuri wang parti iaitu sebanyak RM8,000 – wang deposit pilihanraya semasa saya bertanding mewakili Parti Keadilan Nasional di N14 Ampangan pada PRU11 tahun 2004 (dan itu mungkin sebabnya saya ada sedikit harta sekarang ini…) dan kononnya juga saya tidak memberi penghormatan kepada Cikgu Rashid Latiff selaku penyandang ADUN Ampangan. Saya ingin menjelaskan bahawa Cikgu Rashid Latiff tidak pernah menghadiri mesyuarat Keadilan Cabang Seremban sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan pimpinan cabang termasuk saya sudah beberapa kali menasihatkan beliau untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab selaku ADUN di Ampangan. Malangnya Cikgu Rashid tidak memperduli semua nasihat ini dan terus gagal untuk berkhidmat walaupun dengan hanya hadir dipejabat ADUN beliau sendiri.

Saya juga dimaklumkan bahawa dalam kempen ini, saya kononnya juga telah dibayar segala kos yang pernah saya keluarkan sepanjang perkhidmatan saya di DUN Ampangan. Saya ingin menafikan tuduhan bahawa saya pernah menerima sebarang bayaran dan calon yang dicalonkan juga tidak pernah datang berjumpa saya selepas beliau dicalonkan. Secara jelas, penolakan calon ini oleh petugas dan jentera parti sedia ada adalah secara spontan dan tanpa sebarang pengarahan. Malahan apabila papan tanda Bilik Gerakan Utama Keadilan Ampangan diturunkan, saya sendiri mengarahkan ia dipasang semula namun mereka sehingga kini tidak mahu memasangnya semula. Sayugia diingat semua petugas dan jentera berkhidmat secara sukarela dan bukan dengan habuan wang ringgit maka justeru itu mereka menyatakan bahawa mereka berhak untuk sama-sama membuat keputusan di dalam parti ini.

Saya juga ingin menegaskan bahawa saya redha dan tawakkal atas segala keadaan yang berlaku namun saya wajib untuk mempertahankan maruah diri saya dari dicemarkan sebagai salah satu kaedah didalam Maqasid Shariah. Saya juga ingin menyatakan bahawa saya tetap bersama didalam Parti Keadilan Rakyat walaupun ada sedikit kepincangan yang perlu diperbetulkan. Apatah lagi, saya adalah salah seorang pengasas utama parti yang bertanggungjawab melahirkan parti ini pada tarikh sejarah 4 April 1999. Justeru perjuangan akan tetap diteruskan samada saya mempunyai kedudukan atau tidak di dalam parti ini. Agenda perubahan untuk memastikan kebenaran dan keadilan yang memacu dan menjana kemenangan rakyat akan tetap menjadi perjuangan saya. InsyaAllah…