SINAR HARIAN - SEREMBAN - Tindakan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) yang menurunkan bendera DAP, PKR dan Pas di sekitar Seremban baru-baru ini, dianggap tidak wajar.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, dalam operasi MPS pada 14 September lalu di Dewan Undangan Negeri (Dun) Ampangan, lebih 20 bendera PR termasuk banting dicabut sekumpulan lelaki yang memperkenalkan diri mereka sebagai pegawai MPS.
Katanya, dalam operasi jam 2 pagi itu, ia menimbulkan curiga kerana hanya bendera DAP, PKR dan Pas sahaja diturunkan tetapi bendera Barisan Nasional (BN) dan Umno tidak diusik.
“Ini tidak adil dan perbuatan mereka boleh dianggap berat sebelah,” katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan Pas negeri, Sikamat, semalam.
Hadir sama, Ketua Pemuda Pas negeri, Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa, Setiausaha DAP Negeri, Cha Kee Chin dan Pengerusi Penaung Majlis Permuafakatan DUN Labu, Ismail Ahmad.
Dalam pada itu, Mohd Khairil berkata, pihaknya akan mengambil tindakan sendiri sekiranya MPS tidak memberikan penjelasan mengenai tindakan mereka.
“Jika keadaan seperti ini masih berlaku, kami akan mengambil inisiatif sendiri dengan menurunkan pula bendera UMNO dan parti komponen BN,” katanya.
Sementara itu, usaha Sinar Harian mendapatkan komen daripada Yang Dipertua MPS, Datuk HalimAbd Latif menemui kegagalan kerana beliau gagal dihubungi.
Dalam pada itu, Setiausaha Perhubungan Umno negeri, Datuk Hasim Rusdi berkata, mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) berhak menurunkan bendera parti kerana sekarang bukan musim pilihan raya.
Menurutnya, belum ada arahan membenarkan mana-mana parti mengibarkan bendera parti.
“Saya yakin, bukan bendera pembangkang sahaja yang diturunkan, malah bendera kita (BN dan Umno) juga tidak terkecuali.
“Pada pandangan saya, mungkin notis menurunkan bendera yang diberikan oleh MPS kepada parti tersebut tidak diendahkan, oleh sebab itulah MPS menurunkan bendera parti mereka,” katanya.