Saturday, October 24, 2009

Bajet 2010: Sorakan Kebaikan Atau Petanda Kejahilan

Laungan Najib dengan berkobar-kobar di akhir ucapan Bajet 2010 yang dibentangkan pada 23 Oktober 2009 dengan semangat kemenangan BN di dalam Pilihanraya Kecil Bagan Pinang hanya menunjukkan sikap kebobrokan PM Malaysia.
Walaupun Najib cuba mengaburi rakyat dengan memberi “goodies” tetapi hakikatnya ekonomi negara adalah parah


Prestasi Ekonomi Semakin Parah

Intipati Bajet 2010 yang dijelaskan sendiri oleh beliau diawal ucapannya adalah dipenuhi dengan kegagalan kepimpinan BN untuk membangun ekonomi negara. Najib menjelaskan:

“Natijah daripada krisis global, ekspot negara merosot dengan ketara sebanyak 23.4% dalam tempoh separuh pertama tahun 2009 berbanding dengan peningkatan 15.5% dalam tempoh yang sama tahun lepas. Indeks pengeluaran perindustrian pula merosot kepada 12.7% berbanding dengan peningkatan 3.3%. Manakala jumlah pelaburan bersih pelaburan asing berkurang kepada 3.6 bilion ringgit berbanding dengan 19.7 bilion ringgit bagi tempoh yang sama.”

Prestasi ekonomi yang buruk

Penguncupan pelaburan asing amat ketara dari jumlah 19.7 bilion ringgit pada tahun lepas kepada hanya 3.6 bilion ringgit pada tahun ini. Indeks pengeluaran industri didapati merosot 12.7% berbanding peningkatan 3.3% serta ekspot negara menjadi negatif 23.4% berbanding dengan positif 15.5% pada tahun sebelumnya. Tidak dinafikan, faktor kemelesetan ekonomi dunia mempengaruhi ekonomi negara tetapi penguncupan yang begini parah berbanding dengan beberapa negara jiran menunjukkan kegagalan kepimpinan BN untuk menjadikan ekonomi negara sebagai mampan dan berdaya maju.

Kebergantungan Pendapatan Negara Kepada Sumber Semulajadi

Adalah menjadi lebih malang, negara menjana ekonomi dengan jumlah yang besar iaitu 43.5% dari hasil sumber petroleum negara. Peratus kebergantungan kepada petroleum ini terlampau besar dan ini membuktikan kegagalan kepimpinan BN untuk memacu negara kearah ekonomi kendiri yang bersumberkan kepada kemahiran dan kemampuan ilmu untuk menjana ekonomi. Didalam ertikata lain, ekonomi negara sekarang bertunggakkan kepada “ekonomi anugerah Allah” yang datang dari alam semulajadi. Rahmat yang dikurniakan Allah yang mahu kononnya diagih-agihkan oleh regim Najib sebenarnya bukan hasil kemampuan mereka memacu ekonomi negara tetapi adalah kurniaan mudah Allah kepada negara Malaysia ini.


Jika tiada pendapatan Petronas, ekonomi Malaysia berada ditahap yang amat parah

Kebijaksanaan sebagai Khalifah Allah perlu dimanafaatkan didalam mempelbagaikan hasil pendapatan negara dan bukan hanya setakat laungan kosong seperti yang berlaku sekarang ini. Negara perlu belajar dari negara-negara yang berjaya menjana ekonomi walaupun tanpa mempunyai limpahan hasil alam semulajadi. Justeru, sorakan keangkuhan Najib diatas kemenangan mereka di Bagan Pinang hanya petanda malang didalam kita mengukur kemampuan mereka mentadbir negara ini.

Sunday, October 11, 2009

BN Menang Di Bagan Pinang, Maruah Negara Tergadai

Keputusan Pilihanraya Kecil N31 Bagan Pinang

Disebalik kemenangan besar Mohd Isa Abd Samad didalam pilihanraya kecil N31 Bagan Pinang pada 11 Oktober 2009 dengan mengalahkan calon Pakatan Rakyat (PR) yang diwakili oleh Zulkefly Mohd Omar dari PAS bukan merupakan bibit-bibit bermulanya tali hayat baru Barisan Nasional didalam perkembangan mutakhir politik tanahair. Status BN masih parah dan keputusan di Bagan Pinang bukan nafas baru untuk mereka merasa lega dan selesa. Isa memperolehi 8,013 undi manakala Zulkefly hanya mendapat 2,578 undi. Ini bermakna Isa telah memperolehi 5,435 undi majoriti dengan mengatasi lebih dari satu kali ganda undi majoriti yang terdahulu. Kemenangan Isa sudah dijangka lebih awal berdasarkan kepada pelbagai faktor dan rata-rata kepimpinan Pakatan Rakyat dari awal sudah menjangka sukar untuk PR menembusi kubu kuat BN di Bagan Pinang didalam pilihanraya kecil ini.


Mohd Isa dan Zulkefly
Tiga Faktor Utama Penyebab Kekalahan Besar PR

Pertama, Isa sebagai anak tempatan walaupun telah diselubungi dengan pelbagai isu khususnya berkait dengan rasuah dan salahguna kuasa tetapi beliau berjaya menggaburi rakyat Bagan Pinang dengan sikap rahmahnya dan airmukanya yang sentiasa tersenyum. Rakyat Bagan Pinang melihat Isa sebagai seseorang yang mudah mesra dan boleh bergaul dengan rakyat disemua peringkat. Isa tidak dianggap bersalah kerana salah lakunya dianggap bukan berlaku di Bagan Pinang tetapi diperingkat negeri dan negara. Kebobrokan Isa tertutup dengan kehebatan “public relation”nya.

Kedua, menyogok pelbagai barangan yang jelas berunsur rasuah didalam pilihanraya kecil ini berjaya menggaburi rakyat Bagan Pinang apabila saban hari semasa kempen pilihanraya, mereka menerima pelbagai habuan seperti “rice cooker”, kipas angin, pemain cakera padat dan apatah lagi pelbagai bahan makanan yang dihantar sepanjang tempoh kempen pilihanraya ini berjalan khususnya di estet-estet seperti Ladang Bradwall dan Ladang Atherton. Isa, UMNO dan BN jelas ternyata tidak pernah insaf bahawa menyogok rakyat didalam pilihanraya adalah sesuatu perbuatan khianat yang akan merosakkan bangsa dan negara.

Ketiga, kegagalan pemimpin-pemimpin PR untuk menjalankan tanggungjawab mereka setelah memenangi beberapa kerusi didalam Pilihanraya Umum ke 12 pada bulan Mac 2008 yang lalu khususnya di dalam kawasan Parlimen Teluk Kemang secara tidak langsung menyumbang kepada kemenangan besar Isa didalam pilihanraya kecil ini. Kegagalan untuk bertemu rakyat secara berterusan dan sikap angkuh merasakan bahawa PR semakin mengukuh dan perasaan syok sendiri yang kononnya rakyat bersama PR membelenggu pemikiran mereka. Hakikatnya, mereka gagal menjalankan tugas mereka dengan baik setelah rakyat memberi mereka amanah besar didalam pilihanraya umum yang lepas.

Tiga perkara yang digariskan ini adalah penyumbang utama diatas kemenangan besar Barisan Nasional didalam pilihanraya kecil di N31 Bagan Pinang ini. Faktor pertama dan kedua mungkin boleh memukau sementara rakyat Bagan Pinang namun lambat laun, rakyat akan mengerti bahawa salah laku rasuah memberi kesan buruk kepada rakyat dan negara. Pemberian semasa pilihanraya adalah rasuah dan sikap manis dimuka tidak mencukupi untuk menggerak dan membangunkan negara didalam dunia yang penuh mencabar ketika ini. Bagan Pinang, walaupun diwawarkan sebagai pusat perlancongan tetapi ternyata Isa gagal membangunkannya sebagai pusat perlancongan bertaraf dunia walaupun pernah menjadi Menteri Besar paling lama di Negeri Sembilan.

Didalam masa yang sama pemimpin PR yang telah diberi amanah jangan merasa leka dan setiap kritikan membina wajar diterima secara terbuka dan mengambil inisiatif memperbaikinya. Sebagai barisan baru, PR mampu membaiki prestasinya dan tidak mustahil bahawa barisan kepimpinan PR akan didokong secara mantap oleh pemimpin-pemimpin yang berkualiti dan komited untuk memperjuangkan nasib rakyat dan membangun ekonomi bangsa dan negara.

Maruah Bangsa dan Negara Tergadai

Kedahagaan BN untuk menang didalam kesemua pilihanraya kecil di Semenanjung Malaysia selepas PRU12 menyebabkan UMNO menggadai maruah dengan meletakkan Isa sebagai calon mereka di Bagan Pinang. Mereka tahu kehebatan "public relation" Isa boleh memukau pengundi-pengundi di Bagan Pinang dan akan memastikan mereka memperolehi majoriti yang lebih besar. Isa adalah tokoh UMNO yang cukup kontroversi kerana beliau telah didapati bersalah didalam rasuah politik wang didalam UMNO dan menjadi orang pertama UMNO terlucut jawatan Naib Presiden kerana rasuah politik wang walaupun beliau adalah Naib Presiden yang paling kanan setelah menang undi terbanyak.

Rakyat seluruh negara akan menganalisa perkara ini secara terperinci dan analisis-analisis yang mendatang sudah pasti akan mendedahkan kebobrokan Isa, UMNO dan BN. Rakyat umumnya sudah meluat dengan pemimpin-pemimpin yang telah tercemar dengan rasuah politik wang dan UMNO yang sudah ketandusan pemimpin terpaksa akur untuk memilih calon yang kontroversi seperti Isa. Ternyata langkah Najib yang memperjudikan nasib UMNO akan bakal membawa malapetaka yang lebih besar kepada BN didalam pilihanraya umum yang akan datang. Najib yang terhutang budi dengan Isa di atas salah lakunya di Negeri Sembilan mungkin boleh ketawa besar sekarang dengan kemenangan Isa ini namun ketawa itu sudah pasti tidak akan berpanjangan.

Rakyat Malaysia akan memahami bahawa negara memerlukan pemimpin-pemimpin yang berwibawa didalam menghadapi era kompetitif global. Malangnya, UMNO dan BN sudah bergelumang dengan kekotoran-kekotoran yang tidak memungkinkan ia boleh dibersihkan kerana ia sudah kronik. Alternatif terbaik adalah barisan baru yang diwakili PR yang sekurang-kurangnya jelas bermatlamat untuk memperjuangkan nasib dan hak rakyat. Namun, pemimpin-pemimpin PR perlu membuat muhasabah dan mengambil langkah drastik untuk memulakan “pendidikan semula” terhadap kesemua kepimpinan mereka untuk memastikan mereka benar-benar faham tugas dan tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat. Kesatuan didalam setiap parti didalam PR dan sesama parti anggota PR perlu diperkukuhkan. Mereka perlu mengelak untuk berpolemik dan bekerja keras untuk mengukuhkan prestasi mereka.