Sunday, November 9, 2008

Masyarakat Melayu Seremban – Sertailah PKR atau PAS Demi Untuk Survival Agama Dan Bangsa

UMNO adalah ibarat barah dan pengekalan UMNO akan memudaratkan bangsa Melayu

Melihat perilaku kepimpinan UMNO Bahagian Seremban didalam mesyuarat tertinggi mereka pada 9 November 2008 di Kelab Golf Tuanku Jaafar, maka sewajarnya masyarakat Melayu di Seremban untuk meninggalkan parti tersebut.

Didalam mesyuarat tersebut telah berlaku pergaduhan dengan kerusi berterbangan dan juga telah mengakibatkan kecederaan kepada sebahagian mereka yang menghadirinya.

SEBAHAGIAN daripada anggota perwakilan cuba meleraikan pergaduhan yang tercetus pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Seremban di dewan Kelab Golf Tuanku Ja'afar.

Adakah begini perilaku pemimpin-pemimpin yang ingin membela bangsa Melayu dan agama Islam? Adakah pergaduhan mereka berpunca didalam usaha untuk menyatukan bangsa Melayu dan memartabatkan Islam dinegara ini atau berpunca dari kepentingan peribadi mereka untuk merebut jawatan didalam parti?

Lebih malang lagi, UMNO Bahagian Seremban berada didalam tahap yang paling membimbangkan kerana mereka tewas dua dari tiga kerusi DUN yang mereka tandingi didalam PRU 12 yang diadakan pada bulan March 2008 baru-baru ini. Mereka hanya memenangi kerusi DUN Lenggeng tetapi mereka tewas untuk kerusi DUN Sikamat dan DUN Ampangan. Sewajarnya mereka lebih berhemah dan melihat kekalahan tersebut untuk membuat muhasabah dan memperbaiki diri mereka. Malangnya, mereka tidak pernah sedar dan masih leka dengan dunia untuk merebut kuasa dan dengan kuasa mereka berpendapat harta boleh diperolehi.

Setiap ahli UMNO dan masyarakat Melayu di Seremban perlu menilai samada kepimpinan seperti ini layak untuk memimpin kita. Sudah sampai masanya untuk kita membuat penilaian untuk memastikan nilai Melayu dan Islam dipertahankan oleh pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab dan berwibawa. Nilai-nilai kepimpinan berperibadi mulia ada pada pemimpin-pemimpin PKR dan PAS di bahagian Seremban. Sokongan penuh masyarakat terhadap kepimpinan PKR dan PAS akan menyemarakkan lagi usaha dan komitmen mereka untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.

Perjuangan PKR dan PAS bahagian Seremban tidak dicemari dengan kegelojohan untuk mengaut kuasa atau harta kekayaan. Justeru, tiada perebutan kuasa atau kerusi yang berterbangan kerana mereka melihat kepimpinan adalah amanah yang amat berat. Malahan, pemimpin-pemimpin yang dilantik kerapkali terpaksa mengorbankan pendapatan mereka yang tidak seberapa demi perjuangan suci ini. Untuk sekian lama, mereka telah menggunakan harta benda yang mereka ada untuk meneruskan perjuangan dan mereka yakin untuk berbuat demikian kerana Allah yang Maha Kuasa akan menggantikan dengan yang lebih baik di alam yang kekal nanti.

UMNO adalah ibarat telah terkena barah yang parah. Untuk mengubati UMNO adalah sesuatu perkara yang hampir mustahil untuk berlaku. Kaedah perubatan memerlukan barah dibuang walaupun ianya sesuatu yang sukar dilakukan. Seseorang yang terkena barah dikaki terpaksa akur untuk membenarkan doktor untuk memotong kakinya untuk menyelamatkan nyawa. Bangsa Melayu juga perlu akur untuk menolak UMNO kerana mengekalkan UMNO bererti kita akan membunuh bangsa Melayu.

Untuk meneruskan perjuangan Melayu dan Islam, umat Melayu perlu beralih kepada PKR atau PAS. Keseluruhan rakyat biasa dan malahan keseluruhan kepimpinan UMNO Bahagian Seremban yang benar-benar ikhlas untuk memperjuangkan nasib bangsa dan agama juga perlu untuk memberi nafas baru kepada perjuangan bangsa dan agama dengan menyertai PKR atau PAS. UMNO sudah terlalu parah dengan barah dan tidak mungkin mampu untuk menunjangi perjuangan di era globalisasi yang penuh mencabar ketika ini.

Kerusi terbang warnai sidang Umno Seremban, Pak Lah kecewa

Ahad November 9, 2008
Dipetik dari Star Online:

KECOH... Sebahagian daripada anggota perwakilan cuba mententeramkan perwakilan yang bertengkar ketika Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Seremban di dewan Kelab Golf Taman Tuanku Ja'afar hari ini. - fotoBERNAMA

SEREMBAN: Mesyuarat peringkat bahagian yang dijadual berakhir hari ini 'tercemar' apabila Persidangan Perwakilan Umno Seremban pagi ini terpaksa ditangguhkan ekoran pergaduhan sehingga menyebabkan dua perwakilan cedera ringan.

REAKSI PRESIDEN

Dalam reaksi segera di Kepala Batas, Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kecewa dengan pergaduhan yang berlaku sambil menyifatkan ia sebagai kejadian yang amat memalukan.

Kejadian itu tidak sepatutnya berlaku dan setiap perwakilan harus mematuhi peraturan dan perjalanan mesyuarat dengan baik, kata beliau.

ABDULLAH Ahmad Badawi menghubungi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai pergaduhan yang terjadi ketika Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Seremban semasa mengadakan sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas hari ini. - fotoBERNAMA

Tegas beliau, tindakan disiplin boleh diambil terhadap mereka yang terlibat jika didapati bersalah.

Katanya, bukan sahaja politik wang yang boleh dikenakan tindakan disiplin malahan kes yang melibatkan pergaduhan juga boleh diambil tindakan sama.

Sebaik diajukan soalan itu oleh wartawan, beliau terus menghubungi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi telefon bimbit seorang pengawal peribadinya bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kejadian itu.

Perdana Menteri berkata, oleh kerana kejadian itu mengakibatkan kecederaan kepada perwakilan, ia juga merupakan satu perbuatan jenayah dan boleh dikenakan tindakan menurut Kanun Keseksaan.

Ketua Umno Cawangan Jalan Kuala Pilah, Abd. Halim Lokman pula membuat laporan di Balai Polis Senawang kerana cedera dipukul seorang pengawal keselamatan.

SEBAHAGIAN daripada anggota perwakilan cuba meleraikan pergaduhan yang tercetus pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Seremban di dewan Kelab Golf Taman Tuanku Ja'afar. - fotoBERNAMA


PUNCA KEJADIAN

Mesyuarat yang dimulakan pada pukul 10 pagi tadi menjadi gamat dengan adegan baling kerusi dan tumbukmenumbuk di dalam dewan Kelab Golf Taman Tuanku Ja'afar.

Keadaan menjadi kecoh selepas kira-kira 20 minit mesyuarat dimulakan apabila salah seorang ahli Umno cawangan bahagian itu enggan balik ke tempat duduk walaupun diarahkan oleh Timbalan Pengerusi Tetap bahagian Othman Senara.

Apabila seorang ahli jawatankuasa keselamatan cuba meminta lelaki itu duduk, beberapa orang penyokongnya bangun dan menimbulkan kekecohan yang berlarutan selama hampir setengah jam menyebabkan sebahagian daripada perwakilan yang datang melarikan diri.

Ketua Umno Bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail kemudian mengeluarkan usul supaya mesyuarat itu ditangguh dan diserahkan perjalanannya kepada Majlis Tertinggi.

KETUA Cawangan UMNO Sikamat Datuk Md. Yusop Harmain Shah bersetuju dengan Timbalan Pengerusi Tetap menanguhkan Persidangan tersebut apabila keaadaan tidak dapat dikawal sehingga ada perwakilan bertumbuk, membaling kerusi dan mengeluarkan kata-kata kesat. - foto Utusan oleh ABD. RAZAK AID

Naib Ketua Umno Bahagian Seremban, Mohd Nor Awang kemudian mengadakan sidang akhbar untuk kumpulan yang menimbulkan kekecohan itu selepas melakukan demontrasi di hadapan dewan dengan membawa sepanduk mengutuk Ishak.

Katanya, kumpulan yang menimbulkan kekecohan itu cuma mahu melahirkan rasa tidak puas hati kerana cawangan-cawangan mereka belum lagi bermesyuarat.

"Ishak dengan sewenang-wenangnya menggunakan kuasa untuk mengadakan mesyuarat bahagian walaupun Majlis Tertinggi mahukan semua mesyuarat cawangan diselesaikan dahulu, baru boleh mesyuarat bahagian dibuat," katanya.

RAHIM ELAK WARTAWAN

Pengerusi Jawatankuasa Pemantau Umno Bahagian Seremban yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Rahim Thamby Chik hadir pada mesyuarat itu, tetapi beliau enggan menemui pemberita.

Kelmarin, Mohd. Nor yang telah didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban pada 2 September lepas atas dua tuduhan memberi rasuah kepada perwakilan, telah melakukan demontrasi di hadapan Wisma Umno Negeri Sembilan.

Beliau yang sepatutnya mencabar Ishak gagal bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Seremban selepas Majlis Tertinggi kelmarin membuat pengumuman bahawa beliau tidak layak bertanding jawatan itu kerana masih dalam pertuduhan rasuah.

Ini bukan kali pertama kekecohan disaksikan ketika persidangan perwakilan di peringkat bahagian.

Pada 17 Oktober lalu, Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Rantau Panjang kecoh apabila sekumpulan individu bertindak agresif dengan menjerit dan melaungkan rasa tidak puas hati bagi membantah jumlah perwakilan yang didakwa tidak sah.

ULASAN MB

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, insiden pergaduhan pada persidangan perwakilan Umno Bahagian Seremban pagi ini tidak sepatutnya berlaku.

Sambil melahirkan rasa sedih dengan kejadian itu, Mohamad, yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan, berkata beliau akan meneliti laporan penuh insiden itu daripada jawatankuasa pemantau.

"Setakat ini, saya sedang menunggu laporan jawatankuasa pemantau," katanya kepada pemberita ketika mengulas kejadian iu.