Friday, February 13, 2015

Happy Chinese New Year 2015

Happy Chinese New Year 2015

Negara Kehilangan Negarawan – Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat


Al-Fatihah

Tarikh 12 Februari 2015 bersamaan 22 Rabiul Akhir 1436 H, pada malam Jumaat yang mulia, negara kehilangan tokoh negarawan dengan kembalinya ke rahmatullah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tokoh besar ini telah memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan senario politik tanah air dengan sikap “humble” dan “down to earth” serta amat dihormati oleh kawan dan seteru politiknya.

Semoga Allah s.w.t memberi keampunan dan rahmahNya kepada Tuan  Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Amin…


Tuesday, August 6, 2013

Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1434 H
Mohon Maaf Dzahir & Bathin
dari kami sekeluarga

Monday, May 6, 2013

Natijah Kekalahan PR dalam PRU13, Perjuangan Akan Tetap Kita Teruskan; Kita Perlu Ambil Pengajaran Dari Kekalahan Perang Uhud


Keputusan  PRU13 yang memihak kepada BN dengan 133 manakala PR memperolehi 89 kerusi parlimen bukan bermakna perjuangan kita telah terhenti tetapi kita masih perlu meneruskan perjuangan demi masa depan rakyat dan negara kita. Hakikatnya, PR berjaya meningkatkan kerusi dari 82 pada PRU12 tahun 2008 kepada 89 di dalam PRU13 ini dan BN merosot dari 140 kerusi dalam PRU12 kepada 133 kerusi dalam PRU terbaru ini. Lebih menarik BN memperolehi undi popular lebih rendah iaitu hanya sebanyak 5.22 juta undi iaitu sekitar hanya 48.7% berbanding PR yang memperolehi 5.49 juta undi iaitu 51.3% didalam PRU 13 ini. Dalam ertikata kata lain, majoriti rakyat Malaysia menyokong PR tetapi sistem pembahagian kerusi “Gerrymandering” memenangkan BN di dalam PRU ke 13 ini.

Kita wajib mengambil ikhtibar dari kekalahan ini dengan merujuk kepada tewasnya umat Islam di dalam Perang Uhud. Ketumbukan Islam hanya berjumlah 700 orang manakala orang kafir Quraish berjumlah 3,000 orang. Di dalam Perang Uhud, Rasulullah s.a.w. telah mengamanahkan 50 orang pemanah di kaki Bukit Uhud yang diketuai oleh Abdullah Bin Jubair. Malangnya apabila majoriti iaitu 41 orang dari 50 pemanah ini meninggalkan posisi kerana ingin merebut “ghanimah” iaitu harta rampasan perang apabila melihat tentera kafir Quraish telah mula melarikan diri akibat tertewas dipusingan awal, ketumbukan berkuda tentera kafir Quraish yang diketuai Khalid bin Walid menyerang semula yang mengkucar-kacirkan tentera Islam. Ini menyebabkan kekalahan tentera Islam yang mengorbankan 70 orang syuhada manakala hanya 23 orang tentera kafir Quraish terkorban.

Kekalahan ini banyak memberi pengajaran kepada umat Islam. Mempelajari kesilapan dari peperangan Uhud ini, akhirnya umat Islam berjaya membina tamadun dunia dengan merubah masyarakat Arab yang “barbaric” kepada masyarakat yang berhemah mulia. Malahan penghasilan peribadi sahsiah diri yang baik ini akhirnya menjana kepada perkembangan ekonomi dengan penghasilan penemuan sains dan teknologi di dalam sekitar 100 tahun selepas wafatnya Rasulullah s.a.w.. Tokoh-tokoh ulamak saintis yang ramai di Bukhara dan Samarkand seperti Al-Khawarizmi, Al-Biruni, Ibnu Sina dan ramai lagi di abad ke 8 dan 9 Masihi akhirnya menjadi rujukan sehingga hari ini.

Jika ditakdirkan Allah, tentera Islam tetap menang di dalam Perang Uhud walaupun ada unsur negatif seperti tamak untuk mendapat rampasan harta perang masih wujud, maka barang sudah pasti kemenangan selepas itu bukan kemenangan sejati dan Islam akan gagal berkembang dengan cemerlang selepas kewafatan Rasulullah s.a.w.. Ini bermakna kegagalan kita didalam PRU 13 ini sewajarnya menginsafkan kita untuk membuat muhasabah diri dan organisasi untuk mengorak langkah demi kejayaan di masa hadapan.

Paling asas, perjuangan kita adalah untuk mencapai keredaaan Allah dan bukan untuk mencapai “glory” peribadi iaitu untuk kedudukan atau kekayaan. Kedua, sikap angkuh, sombong dan bongkak yang mungkin ada dikalangan kepimpinan perlu dibuang dan ditukar dengan kemesraan serta menghormati sesama kita. Ada pemimpin  merasa angkuh kerana merasakan kemenangan sudah memihak kepada kita dengan mengenepikan pandangan ikhlas orang lain degan mengatakan “Who are you?” di dalam membayangkan dirinya hebat manakala orang lain tidak bernilai. Rasulullah s.a.w. sendiri ditegur Allah apabila memalingkan muka ketika didatangi orang biasa yang buta matanya yang bernama Ibnu Maktum seperti yang diceritakan kisahnya dalam Surah Al-A’la ayat 1 hingga 10.  

Ketiga, kaedah “musyawarah” wajib diadakan. Sebarang keputusan mesti dibuat secara bersama dan bukan kaedah “top to bottom”. Keempat, kaedah pengurusan khususnya perancangan strategi perlu dilaksanakan. Kelima, jika amalan kroni kita tentang, jangan pula kita sekali-kali mengamalkan dasar yang sama dengan mengamalkan kronisma ini. Kronisma membawa pengertian memberi keutamaan kepada rakan atau kroni dan mengabaikan ciri-ciri meritokrasi dalam meletakkan seseorang didalam sesuatu tugasan. Kesalahan-kesalahan yang dinyatakan ini hanya sebahagian dari pelbagai kesalahan yang berlaku didalam PRU 13 ini yang perlu kita muhasabah untuk kita perbetulkan semula.

Keghairahan untuk merebut “ghanimah” sememangnya wujud dengan merasakan ada yang hendak jadi Perdana Menteri dan ada juga awal-awal lagi ingin melonjakkan dirinya konon beliau adalah orang yang paling layak untuk menjadi Menteri Besar. Wajar diingat, perjuangan kita bukan untuk kedudukan dan pangkat tetapi untuk mencapai keredhaan Allah dengan berkhidmat untuk membawa kebenaran dan keadilan kepada rakyat negara Malaysia yang tercinta ini. Kesombongan dan keangkuhan wujud dengan memaksa untuk menerima calon kroni dan mengabaikan akar umbi yang akhirnya memporak-perandakan semua keadaan.

Apatah lagi, didalam proses ini ada individu-individu yang dizalimi yang akhirnya mereka berdoa kepada Allah agar diri mereka diri mereka tidak wajar dijatuhkan maruah oleh mereka yang berkuasa ketika ini. Doa orang yang dizalimi, tiada hijab diantara diri mereka dengan Allah. Selaku pemimpin yang ingin membawa kebenaran dan kesucian Islam, kesemua perkara ini perlu diambil kira untuk memastikan nilai-nilai murni sejagat “universal values” dapat diterima oleh semua masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Apa pun, perjuangan kita belum selesai. Setiap pemimpin dan organisasi dalam PR perlu membuat muhasabah dan membetulkan keadaan serta tetap istiqomah dalam perjuangan. Di dalam proses perjuangan, kita mungkin tidak dapat melihat hasilnya tetapi yang penting bukan hasilnya yang kita mesti kita kecapi dan lihat tetapi yang perlu kita ada adalah komitmen serta kesungguhan untuk berjuang dan ia mesti dilaksanakan menurut kaedah yang dibenarkan. Sekali lagi keredhaan Allah (mardhatilLah) adalah matlamat kita. InsyaAllah dengan semangat ini, PR akan berjaya mentadbir negara  dan meningkatkan taraf hidup rakyat negara ini berdasarkan prinsip kebenaran, keadilan, kemajuan dan kebahgiaan. Reformasi ini akan lebih bermakna dan berkekalan kerana ia berasaskan kepada nilai-nilai yang hak dan benar.

Wednesday, May 1, 2013

Dr. Mohamad Rafie Bin Ab Malek bukan calon Parti Keadilan Rakyat untuk DUN N14 Ampangan dalam PRU13 ini


Saya terpanggil untuk membuat penjelasan ini kerana saya menerima bertalu-talu sms, email, telefon dan pelbagai cara lagi menanyakan kedudukan saya sebagai calon Keadilan di DUN Ampangan. Pelbagai soalan ditanya berkisarkan bagaimana perkara ini boleh berlaku kerana semua kenalan dan masyarakat setempat mengetahui selama lebih dari 3 tahun saya mendampingi masyarakat setempat di Ampangan setelah menerima amanah dari rakan pimpinan dan akar umbi Cabang Keadilan Seremban.
 
Harapan saya, penjelasan terbuka ini akan meredakan keadaan dan saya tidak dipersalahkan kerana tidak mengambil amanah untuk memikul tanggungjawab untuk memimpin di Ampangan. Apa yang berlaku, dua hari sebelum penamaan calon 20 April 2013 iaitu pada 18 April 2013, saya telah dihubungi oleh pemimpin teratas parti menyatakan bahawa parti telah membuat keputusan untuk menjadikan Kamarul Baharin Bin Abbas sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dan saya mesti memberi laluan kepada beliau kerana Ampangan dianggap sebagai “kerusi selamat” untuk Parti Keadilan Rakyat.

Saya kemudian ditawarkan untuk bertanding di kerusi  P131 Parlimen Rembau. Saya menolak untuk bertanding di Rembau kerana walaupun saya dilahirkan di Rembau tetapi lebih dari 25 tahun iaitu lebih separuh dari usia saya, saya berada di Seremban dan saya tidak pernah mengambil inisiatif serius untuk berkhidmat di Rembau secara khusus. Saya melihat memimpin sebagai tanggungjawab bukan untuk setakat berseronok bergelar pemimpin dan ia memerlukan pendampingan akrab bersama masyarakat setempat.

Kira-kira 20 jam sebelum penamaan calon iaitu sekitar jam 11.00 pagi 19 April 2013, saya dihubungi sekali lagi pimpinan teratas parti untuk menawarkan saya untuk bertanding di DUN N13 Sikamat. Saya lantas bertanya bagaimana kedudukan Sdr. Aminuddin Haron, penyandang sedia ada. Saya dimaklumkan bahawa untuk memberi laluan kepada saya, Sdr. Aminuddin Haron terpaksa digugurkan. Saya menjelaskan kepada mereka bahawa saya masuk bertanding bukan dengan cara menghampakan rakan seperjuangan saya dan saya redha untuk tidak bertanding jika itu keadaannya. Maka akhirnya, saya tidak dicalonkan di mana-mana kerusi di dalam PRU13 ini.

Saya juga ingin memberi penjelasan bahawa dalam kempen yang sedang dijalankan maruah saya juga cuba dicemarkan dengan fitnah bahawa saya tidak bertanding kerana kononnya saya ada mencuri wang parti iaitu sebanyak RM8,000 – wang deposit pilihanraya semasa saya bertanding mewakili Parti Keadilan Nasional di N14 Ampangan pada PRU11 tahun 2004 (dan itu mungkin sebabnya saya ada sedikit harta sekarang ini…) dan kononnya juga saya tidak memberi penghormatan kepada Cikgu Rashid Latiff selaku penyandang ADUN Ampangan. Saya ingin menjelaskan bahawa Cikgu Rashid Latiff tidak pernah menghadiri mesyuarat Keadilan Cabang Seremban sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan pimpinan cabang termasuk saya sudah beberapa kali menasihatkan beliau untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab selaku ADUN di Ampangan. Malangnya Cikgu Rashid tidak memperduli semua nasihat ini dan terus gagal untuk berkhidmat walaupun dengan hanya hadir dipejabat ADUN beliau sendiri.

Saya juga dimaklumkan bahawa dalam kempen ini, saya kononnya juga telah dibayar segala kos yang pernah saya keluarkan sepanjang perkhidmatan saya di DUN Ampangan. Saya ingin menafikan tuduhan bahawa saya pernah menerima sebarang bayaran dan calon yang dicalonkan juga tidak pernah datang berjumpa saya selepas beliau dicalonkan. Secara jelas, penolakan calon ini oleh petugas dan jentera parti sedia ada adalah secara spontan dan tanpa sebarang pengarahan. Malahan apabila papan tanda Bilik Gerakan Utama Keadilan Ampangan diturunkan, saya sendiri mengarahkan ia dipasang semula namun mereka sehingga kini tidak mahu memasangnya semula. Sayugia diingat semua petugas dan jentera berkhidmat secara sukarela dan bukan dengan habuan wang ringgit maka justeru itu mereka menyatakan bahawa mereka berhak untuk sama-sama membuat keputusan di dalam parti ini.

Saya juga ingin menegaskan bahawa saya redha dan tawakkal atas segala keadaan yang berlaku namun saya wajib untuk mempertahankan maruah diri saya dari dicemarkan sebagai salah satu kaedah didalam Maqasid Shariah. Saya juga ingin menyatakan bahawa saya tetap bersama didalam Parti Keadilan Rakyat walaupun ada sedikit kepincangan yang perlu diperbetulkan. Apatah lagi, saya adalah salah seorang pengasas utama parti yang bertanggungjawab melahirkan parti ini pada tarikh sejarah 4 April 1999. Justeru perjuangan akan tetap diteruskan samada saya mempunyai kedudukan atau tidak di dalam parti ini. Agenda perubahan untuk memastikan kebenaran dan keadilan yang memacu dan menjana kemenangan rakyat akan tetap menjadi perjuangan saya. InsyaAllah…

Tuesday, April 2, 2013

Bertelur Sebiji Riuh Sekampung?

Kain rentang yang mempamerkan aktiviti Keadilan Ampangan yang menunjukkan bagaimana daifnya rumah kediaman En. Yusof Bin Abdul Majid di No. 209, Kg. Blok C Ampangan kemudian dibaikpulih Keadilan di bawah Program Prihatin Rakyat, yang di letakkan di Taman Dusun Nyiur telah mendapat respon parti lawan yang menambah satu lagi kain rentang “Bertelur Sebiji Riuh Sekampung”.
 
Walaupun tanpa mengguna wang negara yang merupakan cukai dari rakyat, PKR tetap boleh “bertelur” dan memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara. En. Yusof yang tinggal sebatang kara telah lama hidup terbiar telah mendapat perhatian pimpinan Keadilan yang turun membantu secara bergotong-royong.
 
Bantuan yang dilakukan oleh aktivis Keadilan Ampangan untuk golongan fakir dan miskin ini bukan merupakan usaha pertama tetapi malahan lebih dari 35 rumah telah dibaikpulih dalam tempoh 3 tahun kebelakangan ini sahaja di bawah Program Prihatin Rakyat. Oleh kerana Keadilan tidak mendapat sebarang peruntukan hasil cukai yang dipungut kerajaan, segala bantuan ini merupakan sumbangan dari orang ramai yang disalurkan semula kepada mereka yang memerlukannya. Untuk menjimatkan kos belanja, kesemua usaha ini dilakukan secara gotong-royong.
 
Namun oleh kerana tiada media yang menyebarkan usaha-usaha ini, ramai tidak mengetahui Program Prihatin Rakyat yang dilakukan oleh Keadilan Ampangan ini. Untuk pertama kalinya usaha ini telah dipamerkan di kain rentang untuk makluman orang ramai.
 
Walaupun pelbagai projek prihatin rakyat telah dijalankan, menjawab sindiran parti lawan, Abdul Malek Adam, Ketua AMK Seremban menyatakan secara sinis, “Lebih baik telur sebiji dari tak bertelur langsung”. Sepatutnya permasalahan kesusahan rakyat menjadi perhatian utama parti pemerintah kerana hasil pendapatan negara yang di pungut menerusi cukai perlu dikembalikan semula kepada rakyat.
 
Menambah mengenai perkara ini, Dr. Mohamad Rafie Ab Malek, Ahli MPP Keadilan menyatakan bahawa, “Polisi PR adalah menjadi tanggungjawab pemimpin dan agensi kerajaan untuk mencari dan membantu golongan fakir dan bukan sebaliknya. Kita wajar mencontohi Khalifah Umar Ibn Al Khattab yang memikul tanggungjawab untuk mencari dan menyelesaikan masalah golongan yang memerlukan bantuan ini. In shaa Allah, kita akan melaksanakan dasar ini apabila kita memerintah kelak.”


Melayu hilang kuasa kalau PR menang di NS?

 
Adakah benar orang Melayu akan hilang kuasa dan kedudukan agama Islam akan tergugat apabila kerajaan Pakatan Rakyat menang di Negeri Sembilan? Isu ini telah diwarwarkan oleh pemimpin BN untuk merayu orang-orang Melayu untuk menolak calon-calon PR khususnya calon-calon PAS dan Keadilan.

Hakikatnya, kesemua lawan kepada calon UMNO adalah orang Melayu/Islam dan malahan jika kita nilai secara terperinci, Parti Keadilan Rakyat dan PAS akan mengetengahkan calon-calon yang bermaruah dan berwibawa. Malahan entiti calon-calon PR ini lebih Islamik dan lebih Melayu di atas dasar perjuangan mereka untuk membela nasib orang Melayu yang sekarang jauh tertinggal di dalam pelbagai bidang berbanding dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang sedia ada.

Pemimpin-pemimpin PAS dan Keadilan majoritinya boleh menjadi imam di dalam solat berjamaah samada di surau-surau atau di masjid-masjid. Kecintaan mereka kepada Islam dan terdidik di dalam kekeluargaan Melayu yang kuat mendorong mereka untuk membabitkan diri di dalam politik. Justeru dasar prinsip perjuangan mereka adalah sebagai ibadat kepada Allah dan bukannya untuk kepentingan peribadi untuk merebut kuasa yang kemudian mengkayakan diri dan keluarga.

Mengulas isu Melayu hilang kuasa jika PR tadbir NS, Pengerusi DAP NS, YB Anthony Loke menegaskan bahawa DAP tidak pernah mempersoalkan kedudukan orang Melayu/Islam sebagai Menteri Besar NS.

Ujar beliau, “DAP hanya bertanding 11 kerusi berbanding dengan keseluruhan 36 kerusi DUN di NS dan majoriti kerusi DUN iaitu 22 kerusi atau lebih dari 60% akan ditandingi dan diduduki oleh pemimpin-pemimpin Melayu/Islam.”

Malahan lebih menarik, kedudukan Melayu lebih mantap di bawah PR. Sebagai contoh, kerusi Parlimen Telok Kemang yang menjadi kerusi MIC atau bukan Melayu di bawah BN ditandingi oleh wakil Melayu dari Keadilan. Ini bukan sahaja berlaku di NS tetapi di seluruh negara seperti kerusi Parlimen Bandar Tun Razak, Kuantan dan lain-lain.

Di dalam kejadian terbaru, kain rentang aktiviti program PKR di rentap dan di koyakkan yang dilakukan dipercayai dari ahli parti lawan. Parti lawan mula merasa gusar dan bimbang apabila menyedari bahawa rakyat telah mula memahami bahawa perubahan perlu dilakukan demi masa depan negara. Pilihanaraya Umum ke 13 adalah masa yang paling sesuai untuk menukar kerajaan sedia ada kepada Kerajaan Pakatan Rakyat. Justeru mereka berusaha sedaya upaya untuk menyekat maklumat berkaitan PR sampai kepada masyarakat.

PR tadbir Negeri Sembilan/Putrajaya, nasib rakyat akan terbela

Pakatan Rakyat (PR) yakin, berdasarkan pengalaman kerajaan-kerajaan negeri PR seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, nasib rakyat akan lebih terbela dan perkembangan ekonomi akan lebih pesat berkembang apabila NS dan Putrajaya ditadbir kerajaan Pakatan Rakyat. Menurut laporan Ketua Audit Negara, negeri-negeri PR adalah diantara negeri-negeri yang terbaik pentadbiran dan pesat pembangunannya.

“Permasalahan salahguna kuasa dan rasuah yang berleluasa di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) telah menyebabkan ketirisan hasil negara sekarang. Penyelamatan hasil negara dari ketirisan boleh digunakan untuk mengurangkan beban hidup rakyat,” kata Dr. Mohamad Rafie Ab Malek, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat.

Dr. Mohamad Rafie Ab Malek
Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Parti Keadilan Rakyat

Tambahan pula, majoriti pemimpin-pemimpin PR mempunyai pendedahan dan pengalaman luas di dalam urus tadbir ekonomi samada dalam atau luar negara. Malahan dalam keadaan tertekan serta tiada peruntukan hasil pendapatan negara, pemimpin-pemimpin PR telah berjaya membantu dan menyumbang kepada golongan yang memerlukan.

Demikian kata Dr. Rafie yang kemudian menekankan bahawa pemimpin-pemimpin PR telah teruji dengan pelbagai ujian termasuk di pecat dari pekerjaan, tidak mendapat kontrak kerajaan serta berbagai lagi namun kebanyakan pemimpin PR telah berjaya menghadapi segala ujian dan dugaan dengan baik.

Manifesto PR tidak akan menjadikan negara ini bankrap sebagaimana yang didakwa oleh pemimpin BN. Dasar PR adalah untuk menyelesaikan permasalahan rakyat secara berterusan dan berkekalan tetapi bukan kaedah untuk memancing rakyat untuk mengundi sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan BN yang memper kenalkan BR1M serta pelbagai lagi yang hanya diberi setelah pimpinan BN tahu kedudukan mereka tergugat setelah 55 tahun memerintah.

“Rakyat boleh menolak semula PR pada PRU ke 14 jika kerajaan PR gagal membawa perubahan di dalam negara kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi pilihanraya dimana rakyat berhak untuk menolak atau menaikkan mana-mana pemimpin di dalam tempoh setiap 5 tahun. Justeru rakyat tidak perlu gusar untuk membuat perubahan di dalam PRU ke 13 yang dijadualkan pada suku tahun pertama 2013,” tambah Dr. Rafie.

Di antara Manifesto PR adalah:

·         Sistem pentadbiran yang berwibawa dimana salah guna kuasa dan rasuah adalah musuh utama dengan memastikan institusi-institusi penting negara seperti Polis DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah berfungsi secara terbaik.

·         Menurunkan harga minyak. Penurunan ini akan mengurangkan kos beban rakyat bernilai ratusan ringgit sebulan Sebagai contoh, pegurangan RM0.20 seliter dengan penggunaan 100 liter sehari akan mengurangkan belanja isi rumah RM600 sebulan.

·         Menghapuskan tol serta memperbaiki sistem perkhidmatan pengangkutan awam.

·         Memansuhkan PTPTN. Kerajaaan PR akan memastikan setiap rakyat Malaysia memperolehi pendidikan yang merupakan pelaburan utama untuk pembangunan negara.

·         Gaji minima RM1,100 sebulan. Usaha akan terus dibuat untuk memastikan gaji ini akan terus meningkat sejajar dengan perkembangan ekonomi negara.

·         Kemudahan internet Wi-Fi percuma untuk memastikan setiap rakyat bermaklumat.

·         Menurunkan harga kereta dengan memansuhkan Duti Eksais yang bernilai 85% dari harga kereta sekarang samada kereta tempatan atau kereta impot secara berperingkat dalam tempoh lima tahun. Kenderaan selain rumah adalah kos terbesar rakyat didalam perbelanjaan bulanan.

Dr. Rafie menyeru seluruh warga Ampangan khususnya dan rakyat Malaysia amnya termasuk ahli-ahli UMNO dan ahli-ahli parti komponen BN untuk sama-sama membuat perubahan kerana selama ini kekayaan negara di bolot oleh segelintir kecil pemimpin-pemimpin serta kroni-kroni mereka. Penyakit rasuah dan salahguna kuasa sudah menjadi kronik dan sudah menjadi barah dikalangan pimpinan UMNO/BN dan hakikat ini disedari sendiri oleh ahli-ahli biasa UMNO/BN. Beliau menegaskan rakyat Malaysia boleh membuat perubahan demi masa depan rakyat dan negara.

PEMBERIAN RM100 UNTUK PELAJAR-PELAJAR SEKOLAH

Pemimpin UMNO/BN mengambil kesempatan untuk berpolitik

     Pemimpin-pemimpin UMNO/BN mengambil kesempatan untuk berpolitik apabila mereka memaksa pihak sekolah menjemput mereka untuk menyerahkan bantuan persekolahan RM100 kepada ibu-bapa pelajar-pelajar sekolah. Dalam kejadian terbaru, sebuah sekolah swasta di Seremban telah menjemput ibu-bapa untuk menghadiri sesi Majlis Sempena Penyerahan RM100 yang akan dihadiri oleh Menteri Besar NS – Mohamad Hasan.

     Majlis-majlis seperti ini mengesahkan bahawa pemberian RM100 untuk anak-anak sekolah adalah “gula-gula politik” yang bertujuan untuk merasuah rakyat supaya menyokong mereka mengekalkan kuasa di dalam pilihanraya yang akan datang ini. Seandainya mereka ikhlas untuk membantu rakyat mengurangkan kos bebanan peningkatan kos sara hidup, mereka sepatutnya merangka sistem yang membolehkan ibu-bapa mendapat terus bantuan tanpa perlunya majlis-majlis politik seperti ini.
      Sebagai contoh, bantuan boleh diberi menerusi cek kepada ibu-bapa atau ibu-bapa boleh mengambil wang secara tunai pada bila-bila masa mereka kelapangan dari pihak sekolah. Selaku pimpinan politik, pimpinan UMNO/BN gagal memahami bahawa majlis-majlis yang bersifat politik ini akan meningkatkan kos kepada ibu-bapa pelajar-pelajar sekolah terbabit. Kos pengangkutan ibu-bapa ke sekolah hanya untuk majlis seperti ini perlu di ambil kira. Jika wang diterima RM100 kemungkinan nilai sebenar hanya RM90 setelah ditolak kos kenderaan pergi-balik ibu-bapa berkenaan ke sekolah.
     Kehilangan masa produktif waktu bekerja ibu-bapa juga perlu diambil kira. Di dalam kes ini, majlis diadakan pada jam 1.45 petang, 17 Januari 2013 (Khamis) iaitu pada hari bekerja. Untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang produktif dan mampu bersaing di arena antarabangsa, kehilangan waktu kerja puncak kerana majlis-majlis politik perlu dielakkan. Malangnya, pemimpin-pemimpin UMNO/BN gagal untuk berfikir selaku “pemimpin” dan mereka hanya mengutamakan kepentingan politik untuk terus kekal berkuasa.

Monday, April 1, 2013

TANAH RUNTUH DI AMPANGAN

Mengapa kerajaan NS pimpinan Mohamad Hasan masih gagal mengambil tindakan?

     Beberapa kawasan di Ampangan telah mengalami tanah runtuh yang agak kritikal iaitu di Taman Bukti, Taman Bukit Klana dan Taman Dato Shahbandar. Namun sehingga kini tiada tindakan segera diambil oleh pihak berkuasa untuk membaikpulih kawasan yang terbabit. Keadaan ini meresahkan penduduk setempat yang mempersoalkan mengapa kerajaan NS yang ditadbir oleh BN masih tidak bertindak walaupun mereka telah maklum mengenai permasalahan ini.
Tanah runtuh di Taman Bukti telah berlaku semenjak tahun 2011 dan pihak berkuasa tempatan hanya meletakkan kain kanvas


     Menteri Besar NS Mohamad Hasan pada awal Januari 2013 telah melawat kawasan tanah runtuh di Taman Bukti. Lebih memeranjatkan tanah runtuh ini telah mula berlaku semenjak tahun 2011 dan kini menjadi lebih kritikal ekoran hujan lebat pada bulan Disember 2012 baru-baru ini. Namun sehingga kini masih tiada tindakan untuk memperbaiki tanah runtuh yang berkedudukan amat berhampiran dengan jalan utama di taman berkenaan. Lawatan tanpa usaha segera untuk mengatasi masalah ini tidak membawa makna apa-apa, ujar Dr. Ahmad Azam Hamzah, Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Seremban.

Dr. Ahmad Azam Hamzah
 
     “BN adalah pentadbir kerajaan negeri dan mereka bertanggungjawab jika berlaku sebarang malapetaka yang boleh mengorbankan nyawa manusia dan kerosakan harta-benda akibat kelambatan mereka mengambil tindakan membaikpulih tanah-tanah runtuh berkenaan.” nyata Dr. Azam. Beliau menegaskan kerajaan baru PR akan memastikan segala permasalahan rakyat seperti permasalahan tanah runtuh ini akan diambil tindakan segera.
     Manakala di Taman Dato Shahbandar,  sekurang-kurangnya empat keluarga di sini hidup dalam keresahan apabila kejadian tanah runtuh merosakkan dua daripada empat rumah tersebut berlaku pada jam 7.15 malam, 2 November 2012 yang lepas. Rumah yang paling banyak mengalami kerosakan ialah rumah milik En. Nasir Abdul Jalil, 33, apabila bahagian dapur dihempap dengan bongkah batu dan diliputi dengan tanah akibat kejadian tanah runtuh tersebut.
YB John Fernandez, Ahli Parlimen Seremban menunjukkan kawasan ta
runtuh di Taman Dato Shahbandar

     Lebih malang lagi, Majlis Perbandaran Seremban hanya membekalkan kain-kain rentang “banner” yang dirampas mereka untuk digunakan menutup kawasan tanah runtuh berkenaan. Kain-kain rentang yang dibekalkan juga tidak mencukupi kerana sebahagian besar tanah runtuh tersebut masih terdedah begitu sahaja. Sebarang pergerakan tanah akibat aliran air akan boleh menyebabkan rumah-rumah bersebelahan rumah En. Nasir Abdul Jalil berada dalam keadaan yang cukup merbahaya.
     Kawasan permainan kanak-kanak di Taman Bukit Klana pula rosak teruk akibat tanah runtuh yang berlaku pada bulan Oktober 2012. Menurut En. Khirul, salah seorang penduduk di kawasan kejadian, “Sehingga kini, sudah 5 laporan dibuat kepada pihak berkuasa khususnya Majlis Perbandaran Seremban tetapi malangnya sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa.”
Kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Klana telah meranapkan sebahagian besar padang permainan kanak-kanak
     Setakat ini, pihak berkuasa tempatan hanya meletakkan talian rentang kuning dan ini amat membimbangkan penduduk setempat kerana bermacam-macam perkara tidak dingini yang boleh membahayakan keselamatan penduduk khususnya kanak-kanak di taman ini. Usaha-usaha yang di ambil di lihat hanya tindakan “ala kadar” tanpa sebarang usaha serius memperbaiki masalah tanah runtuh ini.
           “Jelas pentadbiran BN tidak cekap yang menyebabkan kos pembaikan akan menjadi lebih besar kerana mereka lambat bertindak. Kos pembaikan sudah pasti lebih kurang jika usaha pembaikan dilakukan lebih awal sebelum tanah runtuh tersebut merebak lebih luas sehingga jalanraya yang berhampiran,” tegas Dr. Azam. Faktor kecekapan pengurusan yang mengambil tindakan segera boleh mengurangkan kos perbelanjaan dan ia juga mengurangkan risiko kemalangan yang boleh berlaku kerana tempoh masa permasalahan tanah runtuh lebih pendek. Mereka gagal memahami bahawa wang negara yang diamanahkan kepada mereka untuk diuruskan datangnya dari rakyat. Kelemahan pengurusan menyebabkan ketirisan belanjawan negara yang akhirnya merugikan rakyat dan negara, jelas Dr. Azam.

PENINGKATAN KOS SARA HIDUP RAKYAT

PENINGKATAN KOS SARA HIDUP RAKYAT
Akan Menjadi Fokus Tumpuan Utama Kerajaan Pakatan Rakyat

     Kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal untuk menangani isu peningkatan kos sara hidup rakyat yang saban hari membebankan rakyat walaupun pelbagai Program Transformasi Kerajaan (GTP) telah dilancarkan oleh pentadbiran Najib. Bantuan-bantuan yang disalurkan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang bernilai RM500 kepada semua isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan dan ke bawah atau bantuan kewangan RM100 kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah hanya bersifat “superficial” atau luaran dan tidak mampu untuk menangani permasalahan sebenar peningkatan kos sara hidup rakyat.

     Malahan pemberian kerajaan BN ini lebih berbentuk “gula-gula politik” yang bertujuan untuk memancing rakyat untuk terus mengundi BN dalam Pilihanraya Umum ke 13 yang bakal diadakan pada awal tahun ini. Pemberian BR1M RM500 dan bantuan RM100 untuk anak-anak sekolah bermula pada tahun 2012 dan tahun ini merupakan tahun kedua ia dilaksanakan setelah pentadbiran BN merasai bahang kemarahan rakyat yang sudah sekian lama dibebani dengan kos sara hidup yang tinggi dan dalam masa yang sama peningkatan pendapatan rakyat amat kecil serta tidak seimbang dengan peningkatan kos sara hidup.
 
BARISAN NASIONAL GAGAL MENYELESAIKAN MASALAH RAKYAT

     Kegagalan pentadbiran BN menangani permasalahan rakyat sememangnya sudah diduga kerana kepimpinan mereka digelumangi dengan salahguna kuasa dan rasuah. Rakyat sudah didedahkan dengan pelbagai salahlaku pimpinan BN dari projek ternakan lembu NFC yang bernilai RM250 juta diberi kepada keluarga menteri yang kemudian menggunakan wang tersebut untuk membeli kondomonium dan kereta mewah sehinggalah penggunaan RM130 juta wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang hendak diberi kepada Ketua Wanita UMNO Selangor – Raja Ropiaah Raja Abdullah dan pelbagai lagi.

Dalam tempohan 12 tahun barang-barang keperluan meningkat dari 23% ke 260%
 
     “Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) akan mengambil langkah drastik untuk mengurangkan beban hidup rakyat dengan mengurangkan harga minyak sebaik sahaja kerajaan baru ditubuhkan selepas PRU ke 13 nanti,” ujar Dr. Mohamad Rafie Ab Malek, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat. Pengurangan harga minyak sewajarnya memberi kesan rantaian untuk penurunan semua harga barangan kerana kesemua barangan termasuk barang keperluan dapur seperti beras, gula, sayur, ikan dan lain-lain menggunakan pengangkutan sebelum sampai kepada pengguna.
Dr. Mohamad Rafie Ab Malek
 
     Dr. Rafie menegaskan langkah penurunan harga minyak, memansuhkan tol, menghapuskan PTPTN untuk membolehkan pembelajaran secara percuma serta penurunan harga kereta adalah merupakan langkah serta-merta sebelum pimpinan PR mengorak langkah untuk merancang strategi jangkamasa pendek dan jangkamasa panjang di dalam menyelesaikan permasalahan beban sara hidup rakyat. Penyelesaian kepada permasalahan rakyat khususnya peningkatan kos sara hidup akan menjadi agenda utama kerajaan PR sebaik sahaja kerajaan BN ditumbangkan dalam PRU ke 13 ini.
     Pentadbiran PR akan saling dilengkapi dengan kerjasama pelbagai pakar-pakar termasuk pakar ekonomi, pendidikan untuk peningkatan kemajuan fizikal dan ahli-ahli agama, budayawan serta alam sekitar untuk memastikan pembangunan adalah pembangunan seimbang yang mengambil kira pembangunan fizikal, rohani dan alam sekitar. Pembangunan yang seimbang akan mengarah kepada pembentukan masyarakat yang maju, aman damai dan bahagia serta mampu bersaing di dalam dunia yang penuh dengan persaingan. Dr. Rafie menambah, “Anugerah Allah kepada negara kita dengan bumi yang subur, kekayaan hasil sumber bumi, lokasi yang strategik serta ketiadaan bencana alam yang ketara dan rakyat berbilang kaum yang serba berkebolehan akan dimanafaatkan sepenuhnya untuk melonjakkan Malaysia di arena antarabangsa.”
Ciri-ciri pentadbiran yang baik
 
     “Kerajaan PR akan menampilkan pemimpin-pemimpin yang berwibawa, berkelayakan dan yang paling penting mempunyai saksiah diri yang baik iaitu bersifat amanah dan jujur dengan tahap “good governance” atau pentadbiran yang baik,” tambah Dr. Rafie. Beliau menyatakan kesemua lapan ciri-ciri pentadbiran yang baik akan menjadi landasan panduan di dalam pentadbiran kerajaan PR iaitu “partipation” atau partisipasi semua peringkat rakyat, “rule of law” atau peraturan undang-undang, “transparency” atau ketelusan, “responsiveness” atau bertindak segera menurut jangkamasa yang sepatutnya, “consensus oriented” atau berorientasi persetujuan majoriti, “equity and inclusiveness” atau kesaksamaan dan kebersamaan, “effectiveness and efficiency” atau cekap dan berkesan dan “accountability” atau kebertanggungjawaban.
     “Pentadbiran PR berlandaskan kepada prinsip-prinsip yang jelas yang akan memandu kearah kepentingan dan kebajikan rakyat. Pemimpin rasuah dan salahguna kuasa tidak akan mempunyai tempat di dalam PR. Pendidikan akan menjadi agenda utama kerajaan PR kerana rakyat yang bermaklumat akan memangkinkan kemajuan negara dan di dalam masa yang sama rakyat akan memastikan hanya pemimpin-pemimpin yang benar-benar layak diketengahkan untuk menerajui negara ini,” tegas Dr. Rafie

Thursday, March 28, 2013

Projek IC

Projek IC
Hasil Siasatan Suruhjaya DiRaja Sabah Mengesahkan Projek Pemberian Kad Pengenalan
Untuk Tujuan Mengundi Benar-Benar Wujud

Ada yang menggelarkannya sebagai Projek IC dan ada yang mengenalinya dengan nama Projek M. Namun apa juga gelarannya, berikut merupakan perkara yang diperolehi daripada siasatan Suruhanjaya DiRaja ke atas isu imigran Sabah – khususnya operasi sulit yang memberi peluang kepada warga asing untuk mengundi dan menggulingkan kerajaan pimpinan PBS Sabah.
 
Hasil siasatan suruhanjaya ini mengesahkan sekurang-kurang terdapat dua operasi sulit yang dikenal pasti.
 
G17 (atau Kumpulan 17)
 
Pemimpin: Bekas ketua Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Sabah Abdul Rauf Sani (1990-1992).
 
Individu dikenali yang terlibat: Para pegawai JPN: Kee Dzulkifly Kee Abdul Jalil, Yakup Damsah, Asli Sidup.
 
Ahli politik yang dikaitkan: Setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad pada masa itu, Tan Sri Aziz Shamsuddin.
 
Tempoh masa: Sejak 1990.
 
Modus operandi:
 
Pegawai JPN Sabah memproses antara 40,000 hingga 100,000 kad pengenalan untuk warga asing. Butiran dan tandatangan di kad pengenalan pada masa itu diproses dengan tangan.
 
Selepas butiran ditulis di kad berkenaan mengikut borang permohonan yang dibekalkan kepada pegawai tersebut, ia kemudiannya dihantar ke ibu pejabat JPN di Petaling Jaya untuk dilamina sebelum dikembalikan ke Kota Kinabalu.
 
Pegawai berkenaan memberi keterangan bahawa mereka tidak mempersoalkan borang permohonan berkenaan dan bagaimana ia didapati, dan hanya mengisi borang tersebut untuk kad pengenalan biru.
 
Mereka mendakwa beroperasi daripada kediaman Aziz Shamsudin di Kampung Pandan. Asli Sidup menyifatkan usaha untuk menerbangkan mereka ke Kuala Lumpur bagi kegiatan itu sebagai "amalan luar biasa".
 
Seorang lagi pegawai, Kee Dzulkifly Kee Abdul Jalil – yang menyifatkan operasi tersebut sebagai "G17" – berkata mereka juga mengeluarkan kira-kira 200,000 sijil kelahiran kepada imigran.
 
Dokumen ini penting untuk permohonan kad pengenalan biru seterusnya. Ia digelar G17 kerana melibatkan 17 orang anggota.
 
Ketua operasi tersebut, Abdul Rauf Sani mengesahkan keterangan berkenaan, namun menafikan menggunakan nama "G17". Beliau mendakwa bertindak sendirian.
 
Kesemua personaliti yang dikenali itu kemudiannya ditahan bawah ISA sekurang-kurangnya selama dua tahun.
 
Hanya seorang sahaja, iaitu Abdul Rauf, yang ditahan bawah ISA selama dua bulan, diikuti tahanan kediaman terhad selama lima bulan.
 
Beliau kini merupakan Ketua Pengawai Esksekutif  Totalisator Board of Malaysia di bawah Kementerian Kewangan.
 
Ops Durian Buruk
 
Pemimpin: Bekas ketua JPN Sabah Ramli Kamarudin (1993-1995)
 
Individu dikenali yang terlibat: Bekas Timbalan Ketua JPN Mohd Nasir Sugip, pegawai JPN Asli Sidup (turut terlibat dalam G17), bekas ketua SPRM Sabah Wan Ahmad Wan Yusof.
 
Ahli politik yang dikaitkan: Bekas Ketua Menteri Sabah Osu Sukam, bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Megat Junid Megat Ayub.
 
Tempoh masa: Sejak akhir 1993.
 
Modus operandi:
 
Menurut keterangan RCI, SPR Sabah memberikan maklumat pengundi kepada JPN negeri. Maklumat ini termasuk nama dan nombor kad pengenalan pengundi berdaftar yang tidak pernah mengundi atau yang telah meninggal dunia.
 
JPN kemudiannya mengeluarkan resit kad pengenalan kepada warga asing dengan menggunakan maklumat ini.
 
Menurut peraturan pilihan raya, resit sementara itu, yang diberikan sebelum pengeluaran kad pengenalan biru, memadai untuk membenarkan seseorang individu mengundi, dan dalam kes melibatkan warga asing.
 
'Pengundi hantu' ini kemudiannya ditempatkan di kawasan yang dianggap kawasan sukar dimenangi BN, mengikut keterangan saksi.
 
Ketua operasi berkenaan Ramli Kamarudin berkata beliau menjalankan projek tersebut selepas menerima arahan dalam satu mesyuarat dengan bekas timbalan menteri dalam negeri, Allahyarham Megat Junid Megat Ayub di Hyatt Hotel, Kota Kinabalu.
 
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut adalah pegawai JPN Asli Sidup dan Osu Sukam, yang kemudiannya menjadi ketua menteri Sabah pada tahun 1999.
 
Pendedahan Siasatan Suruhjaya DiRaja Sabah Mengesahkan Barisan Nasional Mendaftar Pendatang Asing Sebagai Warganegara Untuk Mengundi – Usaha Terancang Pemimpin Politik, Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihanraya
 
Pendedahan Siasatan Suruhanjaya DiRaja Sabah mengenai isu imigran Sabah amat menggerunkan rakyat Malaysia kerana ia mengesahkan wujudnya secara benar proses pendaftaran pendatang asing untuk kewarganegaraan dan kemudian didaftarkan sebagai pengundi oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Kegiatan ini yang menggadai maruah negara semata-mata untuk mempertahankan kuasa politik Barisan Nasional amat mengaibkan dalam sejarah negara. Apatah lagi ia membabitkan pemimpin nombor satu negara ketika itu iaitu Mahathir Mohamad.
 
Pertambahan pengundi secara mendadak di banyak tempat menjelang PRU ke 13 ini amat membimbangkan yang memungkinkan kegiatan yang sama telah, sedang dan bakal dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno/BN untuk mempertahankan kuasa mereka. Mereka sedar kekalahan kuasa politik merekadi dalam PRU 13 akan mendedahkan pelbagai salah laku mereka, justeru mereka akan menggunakan apa cara sekalipun untuk mempertahankan kuasa mereka.
 
Rakyat Malaysia telah sedar kebobrokan kepimpinan Umno/BN dan kita wajar menolak mereka secara majoriti besar-besaran dengan menggunakan kuasa kita sebagai pengundi di dalam pilihanraya yang akan diadakan tidak lama lagi ini. Perubahan kepimpinan secara demokrasi menerusi sistem pilihanraya merupakan kaedah terbaik untuk mengembalikan maruah negara yang telah digadai oleh pemimpin-pemimpin Umno/BN.

Banyak masalah nampakkan Najib PM paling lemah

HarakahDaily

 
     Datuk Seri Najib Razak merupakan Perdana Menteri yang paling lemah dan bermasalah, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Idris Ahmad. Katanya, walaupun dari segi fizikal Najib nampak tegap dan gagah, namun beliau sebenarnya diselubungi pelbagai masalah peribadi dan keluarga. Sejarah lima Perdana Menteri yang lepas kata Idris tidak pernah kedengaran berhubung penglibatan aktif isteri mereka di dalam pentadbiran.
     "Macam-macam isu dikaitkan dengan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor sehingga menjadi buah mulut di kalangan pemimpin Umno.  Sekarang mereka hanya memendam rasa, akan meletup apabila tiba masanya," katanya. Selain itu ujar Idris, isu misteri pembunuhan warga Mongolia Antatuya Shaaribuu masih menghantui Najib dan sedikit sebanyak menganggu pemikiran beliau. Najib juga jelasnya dilihat lemah untuk membaik pulih Umno dan meningkat pengurusan ekonomi.  Beliau kata Idris hanya boleh mencipta beberapa slogan transformasi tetapi masih tidak berisi.
 
     "Beliau memang terkenal sebagai pemimpin sejak muda lagi hanya pandai mengumpan, bukan menyelesaikan masalah pokok," tegasnya. Mengulas isentif yang diperkenal Najib pula, beliau berkata, BRIM contohnya diberikan kerana untuk umpan pilihanraya dan bukan satu mekanisme jangka panjang.  Malah ia sebenanrnya melibatkan peningkatan hutang negara secara berterusan. Beliau turut mempersoal apa perancangan Najib untuk mengurang hutang negara sehingga mencecah RM502 bilion sehingga 2012 lalu.
     "Hutang negara pada tahun 2009 hanya RM363 bilion meningkat sebanyak RM139 bilion dalam masa empat tahun," katanya lagi. Lebih malang kata Idris, Najib dilihat lebih berminat mencuri idea yang dibuat oleh negeri Pakatan Rakyat untuk membuat kebajikan. Namun apa yang dijanjikan Pakatan Rakyat adalah dengan menggunakan wang lebihan, bukan pinjaman seperti yang dibuat Najib.
     Kelemahan lain Najib lagi katanya termasuk gagal menangani masalah pengaliran wang haram hampir RM200 bilion. Selain itu zaman Najib juga menyaksikan 271 ekar tanah KTMB di Tanjung Pagar terlepas kepada Singapura. Isu mengaitkan Datuk Musa Aman Ketua Menteri Sabah yang dituduh menerima wang RM40 juta daripada tauke balak juga mencalar imej Najib. Paling memberi kesan kepada anak muda adalah masalah pengangguran di kalangan siswazah hingga mencecah 76,200 orang.
     "Najib bernasib malang kerana beliau memimpin Umno di era ledakan teknologi maklumat, di mana rakyat tidak boleh ditipu. Ditambah pula dengan masalah peribadi sehingga masih tidak bertemu tarikh pilihanraya. Beliau begitu trauma untuk menentukan tarikh, kerana membayangkan jika BN kalah maka bebanan akan dihempap kepada beliau," kata Idris.

BR1M 2 – RM500 menjadi gula-gula pilihanraya Barisan Nasional

Rakyat berhak memperolehi lebih dari RM500 setahun

      Di dalam kegairahan pemimpin-pemimpin Umno/BN menyerahkan BR1M 2 yang bernilai RM500 ketika ini, rakyat tidak sewajarnya melupakan bahawa kroni Umno, Tan Sri Tajudin Ramli dapat RM589 juta sedangkan rakyat berpendapatan rendah sekadar hanya mendapat RM1,000 setelah dicampur BR1M 1 dan BR1M 2 semenjak 55 tahun Umno/BN memerintah negara. Pada Februari 2012, pengurusan Danaharta Nasional Bhd telah melupuskan hutang Tajudin sebanyak RM589 juta sebagai sebahagian daripada penyelesaian luar mahkamah yang dicapai dengan beberapa syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Hutang kroni jutaan ringgit boleh dilupus, tetapi PTPTN untuk pelajar tidak boleh dilupus
     Dengan segala riuh rendah yang tidak terkawal, rakyat berpendapatan rendah digula-gulakan dengan hanya RM500 untuk buat kali kedua tetapi rakyat tidak lupa bahawa hartawan Tajudin Ramli telah memperolehi sebesar RM589 juta diberikan percuma kepadanya oleh pentadbiran Umno/BN. Malahan sehingga hari ini hutang RM250 juta yang diberi kepada keluarga keluarga Ketua Wanita Umno Malaysia masih juga belum berbayar. Kesemua wang ini adalah wang yang diperolehi dari titik peluh rakyat dan bukannya wang hak milik Umno/BN.
Hingga kini RM250 juta yang diserah kepada NFC masih tidak diserah semula kepada negara
          Jelas kerajaan pimpinan Umno/BN hanya mengutamakan kroni-kroni mereka sedangkan nilai RM500 yang diberi amat kecil untuk menampung kesukaran rakyat dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup yang amat tinggi ketika ini. Kos nilai wang ketara amat merosot hari demi hari dan dari tahun ke setahun yang lain. Peningkatan pendapatan rakyat amat kecil berbanding dengan peningkatan harga kos barangan.
Nilai harga wang semakin menurun dari tahun ke setahun
 
     Malangnya, pentadbiran Umno/BN gagal melihat permasalahan rakyat dan dalam masa yang sama dana negara secara sewenang-wenangnya dibazirkan untuk kroni-kroni mereka. Pelbagai skandal yang melibatkan ribuan juta ringgit berlaku di bawah pentadbiran mereka seperti skandal Port Klang Free Zone (PKFZ) yang bernilai lebih dari RM12 bilion, skandal tukaran wang asing (Bank Negara Forex Scandal) yang mengakibatkan kehilangan RM30 bilion dan pelbagai skandal lain seperti Scorpene, Perwaja, dan lain-lain yang bernilai ribuan juta ringgit.
Salahguna kuasa amat berleluasa di bawah pentadbiran Barisan Nasional
Skandal tukaran wang asing dianggarkan bernilai RM30 bilion
     Pemberian RM500 kepada rakyat amat kecil berbanding dengan pembaziran yang dilakukan oleh pimpinan Umno/BN yang telah memberi puluhan atau ratusan atau ribuan juta ringgit kepada individu-individu terpilih dikalangan mereka. Kekayaaan negara gagal diagihkan secara tidak adil dan secara tidak saksama oleh pemimpin-pemimpin yang korup di negara ini yang sekarang bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan mereka di dalam PRU ke 13 yang akan datang ini.
     Media-media perdana Umno/BN samada media cetak mahupun elektronik memperbesar-besarkan berita kononnya pimpinan Umno/BN cukup berjasa kepada rakyat dengan menyumbang RM500 yang sedang giat dilakukan mereka sekarang ini. Malahan pimpinan politik ini mengambil kesempatan untuk mengadakan ceramah-ceramah kepada orang ramai sebelum RM500 di dalam BR1M 2.0 ini diserahkan kepada orang ramai. Hakikatnya rakyat berhak mendapat lebih dari RM500 setahun dan pimpinan Umno/BN gagal menyalurkan nilai sebenar hak rakyat dalam pengagihan harta kekayaan negara.