Tuesday, April 2, 2013

Melayu hilang kuasa kalau PR menang di NS?

 
Adakah benar orang Melayu akan hilang kuasa dan kedudukan agama Islam akan tergugat apabila kerajaan Pakatan Rakyat menang di Negeri Sembilan? Isu ini telah diwarwarkan oleh pemimpin BN untuk merayu orang-orang Melayu untuk menolak calon-calon PR khususnya calon-calon PAS dan Keadilan.

Hakikatnya, kesemua lawan kepada calon UMNO adalah orang Melayu/Islam dan malahan jika kita nilai secara terperinci, Parti Keadilan Rakyat dan PAS akan mengetengahkan calon-calon yang bermaruah dan berwibawa. Malahan entiti calon-calon PR ini lebih Islamik dan lebih Melayu di atas dasar perjuangan mereka untuk membela nasib orang Melayu yang sekarang jauh tertinggal di dalam pelbagai bidang berbanding dengan pemimpin-pemimpin UMNO yang sedia ada.

Pemimpin-pemimpin PAS dan Keadilan majoritinya boleh menjadi imam di dalam solat berjamaah samada di surau-surau atau di masjid-masjid. Kecintaan mereka kepada Islam dan terdidik di dalam kekeluargaan Melayu yang kuat mendorong mereka untuk membabitkan diri di dalam politik. Justeru dasar prinsip perjuangan mereka adalah sebagai ibadat kepada Allah dan bukannya untuk kepentingan peribadi untuk merebut kuasa yang kemudian mengkayakan diri dan keluarga.

Mengulas isu Melayu hilang kuasa jika PR tadbir NS, Pengerusi DAP NS, YB Anthony Loke menegaskan bahawa DAP tidak pernah mempersoalkan kedudukan orang Melayu/Islam sebagai Menteri Besar NS.

Ujar beliau, “DAP hanya bertanding 11 kerusi berbanding dengan keseluruhan 36 kerusi DUN di NS dan majoriti kerusi DUN iaitu 22 kerusi atau lebih dari 60% akan ditandingi dan diduduki oleh pemimpin-pemimpin Melayu/Islam.”

Malahan lebih menarik, kedudukan Melayu lebih mantap di bawah PR. Sebagai contoh, kerusi Parlimen Telok Kemang yang menjadi kerusi MIC atau bukan Melayu di bawah BN ditandingi oleh wakil Melayu dari Keadilan. Ini bukan sahaja berlaku di NS tetapi di seluruh negara seperti kerusi Parlimen Bandar Tun Razak, Kuantan dan lain-lain.

Di dalam kejadian terbaru, kain rentang aktiviti program PKR di rentap dan di koyakkan yang dilakukan dipercayai dari ahli parti lawan. Parti lawan mula merasa gusar dan bimbang apabila menyedari bahawa rakyat telah mula memahami bahawa perubahan perlu dilakukan demi masa depan negara. Pilihanaraya Umum ke 13 adalah masa yang paling sesuai untuk menukar kerajaan sedia ada kepada Kerajaan Pakatan Rakyat. Justeru mereka berusaha sedaya upaya untuk menyekat maklumat berkaitan PR sampai kepada masyarakat.