Friday, September 19, 2008

Adakah MAGERAN Akan Diisytiharkan?

Ekoran peristiwa 13 Mei 1969, negara telah diisytiharkan darurat selama 21 bulan dan ditadbir dibawah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Peristiwa 13 Mei 1969 tercetus akibat rusuhan kaum yang berpunca dari Pilihanraya Umum yang ketiga. Parti Perikatan yang diwakili oleh UMNO/MCA/MIC buat pertama kalinya mengalami kekalahan teruk dan gagal memperolehi majoriti dua pertiga. Didalam pilihanraya ini parti pemerintah telah memperolehi 95 kerusi daripada 144 kerusi yang ditawarkan iaitu sejumlah 66% kerusi parlimen manakala pembangkang telah memperolehi 49 kerusi iaitu sejumlah 34% kerusi parlimen. Keputusan undi popular menunjukkan Parti Perikatan hanya memperolehi 49.3% undi manakala pembangkang telah memperolehi 50.7% undi. Keputusan undi popular memihak kapada pembangkang namun sistem persempadanan pilihanraya memberi kelebihan kepada Parti Perikatan untuk mendapat lebih kerusi parlimen.

Keputusan Pilihanraya Umum Ketiga (Mei 1969)

Tragedi ini telah menyebabkan kematian dan kemusnahan hartabenda yang besar. Walaupun tidak diketahui jumlah sebenar kehilangan nyawa didalam peristiwa 13 Mei 1969 tetapi ada penyelidikan menyatakan hampir 2,000 orang telah terbunuh. Angka rasmi menyatakan bahawa seramai 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan telah 9,143 ditahan ekoran dari peristiwa tersebut. Tidak dapat dinafikan, sentimen perkauman telah menjadi punca kepada kejadian peristiwa pahit ini didalam sejarah negara. Namun demikian, rusuhan sebenarnya tidak berlaku di seluruh Tanah Melayu dan ia hanya lebih tertumpu di Kuala Lumpur. Tiada sebarang rusuhan dilaporkan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan.

Syed Hussein Alatas (kiri) dan Lim Chong Eu (kanan) diangkat ketika meraikan kemenangan Parti Gerakan Rakyat Malaysia yang amat besar dalam pilihan raya umum 1969


Penubuhan Majlis Gerakan Negara

Tragedi 13 Mei 1969 telah melahirkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang bertujuan untuk menangani permasalahan yang timbul akibat daripada peristiwa tersebut. Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri telah mengisytiharkan darurat diseluruh negara dan berikutan itu juga sistem kerajaan berparlimen telah digantung. Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai Pengarah MAGERAN dengan ahli-ahlinya terdiri daripada yang berikut:

a. YAB Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussein (Pengarah MAGERAN)
b. YAB Tun (Dr.) Ismail bin Dato’ Abdul Rahman(Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri)
c. YB Tun Tan Siew Sin(Menteri Tugas-tugas Khas)
d. YB Tun V.T. Sambanthan (Menteri Kerja Raya, Pos dan Telekom)
e. YB En. Hamzah bin Abu Samah (Menteri Penerangan dan Penyiaran)
f. Ketua Turus Angkatan Tentera – Jeneral Tunku Osman bin Tunku Mohd. Jewa (diganti oleh Jeneral Tan Sri Abu Hamid bin Bidin)
g. Ketua Polis Negara (YB Tan Sri Salleh bin Ismael)
h.YB Tan Sri Abdul Kadir bin Shamsuddin (Ketua Pentadbir Hal Ehwal Awam dan kemudiannya Ketua Setiausaha Kerajaan)
i. YB Tan Sri Muhammad Ghazali bin Shafie (Setiausaha Tetap Kementerian Luar Negeri)

Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berkhidmat sebagai pegawai kerajaan ketika itu telah dilantik sebagai Setiausaha MAGERAN.

Pada dasarnya fungsi MAGERAN ialah untuk mengawal ketenteraman, mempastikan kelicinan pentadbiran negara dan mengawal keadaan harmoni serta saling mempercayai di kalangan rakyat pelbagai kaum. Dua permasalahan utama yang perlu diselesaikan oleh MAGERAN ialah masalah perpaduan kaum dan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum. Berikutan daripada itu, Majlis Perundingan Negara dan Jabatan Perpaduan Negara telah ditubuhkan pada tahun 1970. Beberapa dasar telah diwujudkan dan berkekalan sehingga ini antaranya adalah Akta Hasutan dan Rukun Negara. Manakala Dasar Ekonomi Baru telah dirangka dan dilancarkan pada Januari 1971 yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum serta menyusun semula masyarakat.

Pilihanraya Umum ke 12

Untuk buat kali kedua didalam sejarah Malaysia, Barisan Nasional iaitu parti pemerintah hasil pergabungan semula Parti Perikatan dalam tahun 1973 telah hilang majoriti dua pertiga dalam Piliharaya Umum yang ke duabelas. Barisan pembangkang yang digabungi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Rakyat (DAP) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang kemudiannya menamakan diri mereka sebagai Pakatan Rakyat (PR) telah berjaya memperolehi 82 daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Malahan enam negeri tediri daripada Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Perak daripada 14 negeri-negeri di Malaysia telah jatuh ketangan PR. Wilayah Persekutuan, walaupun masih terus ditadbir dibawah kerajaan pusat yang diwakili oleh BN tetapi umumnya juga jatuh ke tangan PR kerana hampir semua kerusi parlimen yang dipertandingkan di Wilayah Persekutuan dimenangi oleh calon-calon PR.

Keputusan Pilihanraya Umum Keduabelas (Mac 2008)

Didalam pilihanraya ini, buat julung-julung kalinya, orang-orang bukan Melayu khususnya Cina dan India secara majoritinya menolak Barisan Nasional yang ditunjangi oleh UMNO. Sentimen perkauman tidak menjadi isu utama didalam pilihanraya ini malahan untuk buat pertama kalinya, orang Cina boleh mengundi PAS dan orang Melayu boleh mengundi DAP.

Ekoran kekalahan teruk, BN walaupun masih boleh mendirikan kerajaan persekutuan, suasana politik Malaysia menjadi tidak stabil. Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim berusaha untuk mempengaruhi ahli-ahli Parlimen BN bersama PR untuk membolehkan untuk buat pertama kalinya didalam sejarah, BN ditumbangkan.


Adakah MAGERAN akan diisytiharkan?

Keadaan mencemaskan UMNO khususnya dan BN amnya telah menimbulkan kegelisahan bahawa kemungkinan pemerintah negara menggunakan MAGERAN sebagai senjata untuk menamatkan ancaman PR untuk mendirikan kerajaan. Suasana 1969 amat berbeza dengan suasana 2008. Isu perkauman jelas menjadi tunggak didalam tragedi 13 Mei 1969 manakala suasana sekarang lebih kepada penolakan rakyat kepada BN diatas kegagalan mereka mentadbir negara dengan baik. Hubungan sesama kaum rakyat Malaysia berada didalam keadaan yang terbaik didalam sejarah negara. Permasalahan ekonomi diantara menjadi isu utama penolakan rakyat kepada BN dan bahang kemelesetan ekonomi ini telah memberi kesan kepada setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.


Teresa Kok bersama ibu-bapanya jelas gembira setelah dibebaskan dari tahanan ISA

Barisan kepimpinan BN telah berusaha untuk meredakan kemaraan PR dengan membuat penahanan dibawah ISA untuk blogger Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang banyak memberi laporan yang tidak disenangi pemerintah dan Teresa Kok ahli DUN DAP serta seorang wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng. Malangnya tindakan tersebut telah menjadi “backfire” kepada BN dan akhirnya terpaksa akur untuk membebaskan Tan Hoon Cheng hanya setelah 18 jam beliau ditahan dan kemudian diikuti oleh pembebasan Teresa Kok setelah hanya beberapa hari beliau ditangkap.


Siri-siri ucapan Dato’ Seri Abdullah Badawi dan Menteri Dalam Negerinya Syed Hamid Albar dikebelakangi ini telah menyatakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai ancaman kepada kestabilan negara khususnya keamanan dan ekonomi. Mungkinkah, beliau akan ditahan dibawah ISA? Andaikata beliau ditahan dibawah ISA, adakah tindakan tersebut akan menghentikan usaha PR untuk mendirikan kerajaan?

Mungkinkah kerajaan dibawah pimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menggunakan undang-undang darurat untuk memastikan mereka terus berkuasa? Sebarang usaha untuk bertindak demikian akan menyebabkan kemarahan majoriti rakyat kerana ia akan menambahburukkan keadaan ekonomi yang sememangnya semakin parah.

Pemimpin-pemimpin BN sewajarnya akur kepada angin perubahan. Mereka sepatutnya bersedia untuk menghadapi kekalahan setelah 50 tahun mereka diberi kuasa oleh rakyat untuk memerintah negara. Sebarang tindakan menakut-nakutkan rakyat tidak akan memberi impak yang baik di era zaman teknologi maklumat ketika ini. Mereka wajar bersedia untuk menjadi barisan pembangkang dan negara memerlukan barisan pembangkang yang kuat untuk memastikan ada “check and balance” didalam kerajaan baru Pakatan Rakyat.

Keangkuhan dan keegoaan pimpinan BN jika ingin terus berkuasa tanpa mengira apa cara sekali apapun akan hanya mempercepatkan proses kemusnahan dan akhirnya kehancuran mereka didalam dunia politik negara. Mereka perlu memilih samada masih ingin terus wujud tetapi berperanan sebagai pembangkang atau hilang terus didalam arena politik negara. Rakyat Malaysia sudah boleh menerima sistem dua parti yang mempunyai kekuatan yang hampir sama yang akan memecut ekonomi negara.

Etika kepartian didalam berpolitik sewajarnya perlu lebih matang. Kalah dan menang sudah menjadi resam didalam pertandingan. Kemenangan didalam politik tidak menjamin kepada kejayaan. Kejayaan sejati didalam politik adalah apabila kesejahteraan rakyat diperjuangkan tanpa mengira perbezaan kefahaman politik apatah lagi perbezaan bangsa dan agama. Tindakan-tindakan untuk membunuh parti lawan dengan apa cara sekalipun tidak lagi bersesuaian digunakan khususnya diera globalisasi yang memerlukan setiap rakyat Malaysia bersatu untuk mecapai kejayaan bersama.